Sebelum berkahwin, bakal isteri pasang banyak angan-angan dan matlamat untuk capai jadi isteri solehah. Mungkin secara ringkasnya, menjadi isteri yang baik adalah dengan menjaga makan-minum suami, memberi kasih sayang dan sebagainya. Tetapi ada perkara yang lebih deep untuk anda tahu apa yang perlu dibuat. Baca ni!
Kata suami, seorang isteri yang baik perlu pandai masak, jaga ‘perut’ suami dan keluarga serta pandai bersolek untuk suami. Ada suami lain pula kata, isteri solehah itu adalah isteri yang boleh buat semua kerja rumah, pandai cari duit sendiri dan pandai berdikari. Kalau itulah jawapan suami, boleh pengsan isteri dibuatnya sebab macam tak ‘kena’ pula.
Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:
لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ ِلأَحَدٍ َلأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا
“Seandainya aku boleh menyuruh seorang sujud kepada seseorang, maka aku akan perintahkan seorang wanita sujud kepada suaminya.” [1]
Jom kita senaraikan apa sebenarnya tanggungjawab isteri sehingga boleh mencapai title ‘solehah’ tu! Ini adalah pesanan daripada isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah.
“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.”
- Berkhidmat dengan rasa puas
Sebagaimana kita mahukan yang terbaik dalam urusan kerja, begitulah juga sepatutnya kita mahu lakukan yang terbaik untuk suami dan keluarga. Ikhlaskan diri dalam melaksanakan tugasan di rumah tanpa ada perasaan ingin mengungkit.
2. Taat dan baik kepadanya
Sebelum bergelar isteri, seorang anak perempuan perlu taat kepada kedua ibu bapanya. Sebaik bernikah, ketaatan itu perlu diutamakan kepada suami. Tetapi ia tidak bermakna anda hanya menurut kata suami. Perbincangan dan komunikasi yang baik sangat perlu seandainya ada perkara yang berbangkit di antara pasangan.
3. Memerhatikan tempat pandangan matanya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu.
Jadilah ‘pemandangan’ paling indah untuk suami. Pilihlah pakaian yang bersih dan cantik dan bersoleklah dengan warna menarik untuk suami melihat kecantikan isterinya. Pastikan juga kediaman anda sentiasa kemas dan bersih agar suami tidak terlihat sesuatu yang buruk dari isteri sendiri.
4. Memerhatikan bau yang diciumnya. Jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.
Berwangi-wangian apabila bersama suami dan jangan sampai dia terhidu bau yang kurang enak. Peliharalah kebersihan dirimu dan kediaman agar suami sentiasa selesa dan tenang berada di sampingmu.
5. Memerhatikan waktu makannya kerana lapar yang berlarutan mengganggu emosi.
Sebagai isteri solehah, janganlah membiarkan suami berlapar. Tidak mengapa jika anda tak pandai memasak atau tidak berkesempatan untuk memasak. Pastikan jadual waktu makan suami terjaga. Sepertimana kita, suami juga akan menjadi emosi ketika lapar.
6. Memerhatikan waktu tidurnya kerana tidur yang terganggu boleh menimbulkan rasa marah.
Isteri kena tahu waktu tidur suami dan perlu peka sekiranya suami kelihatan letih dan memerlukan rehat. Janganlah terus menyuruh mereka lakukan macam-macam perkara bila pulang dari kerja. Mereka juga perlukan rehat yang cukup untuk sihat dan mengembalikan tenaga.
7. Menjaga hartanya
Sama ada anda mengahwini suami yang kaya atau miskin, anda perlu menjaga harta milik suami. Uruskan kewangan keluarga dengan sebaiknya. Belajarlah bersyukur dengan apa yang ada tanpa membebankan suami.
8. Memelihara kehormatan serta keluarganya.
Jangan memburuk-burukkan suami di hadapan orang. Jagalah aibnya dan peliharalah keluarganya. Sebagaimana anda menyayangi dan menghormati ahli keluarga anda, begitulah juga sebaiknya dilakukan kepada keluarga mentua.
9. Jangan membangkang perintahnya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya.
Jaga hati suami. Berkomunikasi dengan baik dengan suami sekiranya anda ingin menyuarakan pendapat. Lelaki ini ada egonya sendiri.
10. Jangan membuka rahsianya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.
Jagalah rahsia rumahtangga anda. Tidak perlu dicanangkan rahsia yang telah diamanahkan kepadamu. Jangan sesekali bercerita hal dalam kain kepada orang luar kerana apabila anda mengaibkan suami, itu sebenarnya adalah aib anda sendiri.
Jadilah isteri dambaan suami. Pilihlah untuk mencari keredhaan suami kerana Allah Taala.
***JOM SERTAI CHANEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI