Suami harus tahu bahawa gangguan terhadap ketenteraman rumah tangga sebenarnya berpunca daripada ketidaktahuan suami terhadap apa yang diinginkan isteri. Sebenarnya ingin memahami isteri bukanlah sukar kerana yang penting suami harus peka terhadap keinginan isteri.
Lagipun jarang seorang isteri mengungkapkan keinginannya kepada suami secara berterus-terang. Apatah lagi jika isteri jarang mengeluh, suami akan sentiasa bersangka baik bahawa isterinya tiada masalah.
Untuk memastikan hubungan rumah tangga yang dibina semakin harmoni hingga terbentuknya sebuah keluarga sakinah mawaddah wa rahmah, suami perlu mengetahui 11 perkara yang sering diinginkan isteri daripada anda selama ini.
1. Jadikan isteri satu-satunya wanita teristimewa
Ini merupakan perkara yang paling diinginkan isteri terhadap suaminya. Apabila suami menjadikan isteri sebagai satu-satunya wanita paling istimewa dalam dirinya, ini akan menjadi salah satu alasan untuk isteri terus menjalankan rutin hariannya dengan penuh semangat, ceria dan rasa gembira.
2. Ungkapkan rasa cinta setiap hari
Ketahuilah bahawa luahan dan tindakan anda mempamerkan rasa cinta, kasih sayang serta belaian merupakan kunci untuk meraih bahagia dalam sesebuah rumah tangga. Tidak perlu keterlaluan mengungkapkan rasa cinta kepada isteri, cukup sekadar suami melakukan dengan gaya yang santai dan tanpa dibuat-buat kerana ia akan lebih menyentuh hati seorang isteri.
Ads
3. Isteri perlukan waktu rehat
Sesekali seorang isteri juga memerlukan masa untuk dirinya ‘bebas’ daripada melakukan rutin harian dalam urusan rumah dengan membiarkan isteri berjumpa atau berkumpul dengan teman atau ahli keluarganya. Selain memerlukan rehat daripada melakukan kerja rumah, isteri juga memerlukan jiwa yang sihat untuk terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.
4. Beri penghargaan kepada isteri
Dalam satu masa isteri banyak memainkan peranan sekali gus membahagikan masa dalam pelbagai perkara rumah tangga. Oleh itu sebagai suami mainkan peranan anda dengan memberikan penghargaan terhadap apa yang telah isteri lakukan, isteri capai atau pandangan yang telah isteri lontarkan. Penghargaan ini boleh suami mulakan dengan ucapan terima kasih, memuji, memeluk hingga memberikan isteri hadiah agar isteri tahu bahawa pengorbanan dan tindakannya itu sentiasa dihargai.
Ads
5. Sentiasa memahami isteri
Setiap isteri sentiasa mengharapkan suaminya memahami dirinya dengan cara suami mendengar keluhannya, bersimpati terhadap perasaannya dan membantunya di saat isteri menguruskan hal rumah tangga.
6. Beri perhatian terhadap isteri
Cinta adalah memberi. Pemberian cinta yang pertama adalah perhatian. Sifat semula jadi wanita adalah mereka sangat menghargai setiap waktu yang mereka luangkan bersama suami selain menginginkan perhatian dan fokus sepenuhnya daripada suami. Misalnya saat penampilan isteri berubah dengan mencantikkan dirinya untuk kebahagiaan suami, isteri sangat mengharapkan suami memberikan perhatian terhadap perubahan tersebut dengan respons yang positif. Namun jika suami ambil sambil lewa, isteri merasakan yang dirinya tidak diendah dan terabai. Oleh itu berilah perhatian terhadap isteri walaupun sekejap kerana perhatian ini akan memberi makna yang cukup besar dalam dirinya.
7. Sentiasa hulurkan bantuan
Walaupun isteri memiliki kemampuan yang luar biasa iaitu ‘multitasking’, namun isteri bukanlah seorang ‘superwoman’ yang sanggup mengharungi pelbagai perkara tentang perihal rumah tangga seorang diri. Walaupun isteri mungkin jarang mengeluh atau meminta pertolongan suami untuk menguruskan kerja-kerja rumah, ketahuilah bahawa bantuan-bantuan kecil yang suami hulurkan akan membuatkan hati isteri gembira dan rasa bertuah memiliki anda sebagai insan istimewanya.
Ads
8. Mampu merendahkan ego
Jadilah seorang suami yang dapat merendahkan diri, adil dan sopan dalam melayani isteri. Lelaki sememangnya tidak dapat lari daripada memiliki sifat ego yang tinggi. Namun jangan disebabkan anda ketua keluarga, anda menjadi seorang yang kasar, ego, angkuh dan zalim terhadap isteri. Sentiasalah lemah lembut dalam setiap ungkapan dan tindakan serta jagalah hati isteri agar rumah tangga yang dibina sentiasa mendapat keberkatan.
9. Memiliki sifat humor
Rumah tangga yang sentiasa serius tanpa gelak ketawa tentu membosankan. Ketahuilah bahawa sifat humor merupakan cara yang terbaik untuk memberikan keceriaan dan mengurangkan ketegangan dalam hubungan suami isteri. Sememangnya wanita menyukai lelaki yang memiliki sifat humor sehingga mampu membuatkannya ketawa. Secara tidak langsung gelak ketawa boleh merapatkan lagi hubungan anda berdua.
10. Terima isteri seadanya
Tiada pasangan yang tidak dilanda masalah dalam hubungan rumah tangga kerana manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Isteri akan rasa bahagia jika suami dapat menerima diri dia seadanya dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Kekurangan dan kelemahan isteri itu bukanlah untuk dihakimi sebaliknya anda sebagai suami haruslah berusaha membaiki kelemahan tersebut ke arah yang lebih baik.
11. Ingat setiap momen penting
Ini yang sering diabaikan oleh kebanyakan suami iaitu sering melupakan tarikh-tarikh penting anda berdua. Wanita sememangnya seorang yang teliti. Setiap saat yang menggembirakan akan diingati malah hatinya akan gembira jika suaminya turut sama mengingati saat tersebut kerana ia akan rasa dihargai dan disayangi. Oleh itu pastikan suami membuat ‘reminder’ pada telefon anda tentang tarikh-tarikh penting ini.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kini, kolagen telah menjadi ramuan yang mendapat permintaan tinggi dalam pembangunan pemakan yang sihat. Pengeluaran kolagen dalam tubuh berkurang akibat faktor usia dan diet yang tidak baik. Malah, suntikan kolagen bukan menjadi pilihan bagi kebanyakan orang. Jadi alternatif terbaik untuk mereka mendapatkan kolagen adalah melalui diet. Oleh itu, kolagen telah dicampurkan bersama di dalam pelbagai produk makanan dan minuman.
Tetapi adalah ia benar-benar memberi manfaat kepada kulit untuk kelihatan muda atau hanya helah kecantikan?
Apa itu kolagen?
Ahli dermatologi di New York City, Dr Debra Jaliman menyatakan bahawa kolagen adalah protein yang paling banyak terdapat di dalam kulit, membentuk 75-85% organ yang mengagumkan. Berserta tisu elastik, kolagen ditemui pada dermis atau lapisan tengah kulit dan menyebabkan kulit anjal. Selain itu, kolagen juga terdapat dalam tulang, tendon, ligamen, otot, saluran darah dan rambut. Ia merupakan komponen utama tisu penghubung tubuh.
Kolagen dalam minuman
Kini, minuman kolagen menjadi satu trend dalam pasaran global. Terdapat pelbagai produk di pasaran yang dikeluarkan seperti kolagen soya, kolagen koko, jus kolagen dan juga minuman sarang burung berkolagen.
Menurut kajian Collagen in food and beverage industries, Tree (2012) minuman bertenaga yang mengandungi kolagen membantu menggalakkan keupayaan semula jadi tubuh untuk menjana tisu lemak. Secara umumnya, minuman kolagen untuk merangsang mekanisma penghasilan kolagen dalam tubuh, seterusnya menggalakkan tisu tubuh dan mengurangkan kedutan kulit dan kulit kendur.
Walau bagaimanapun, kolagen yang mengandungi perasa makanan dan minuman boleh meningkat dengan ketara dengan menggabungkan sucralose dan ekstrak stevia, dengan lebih baik lagi bercampur denganacesulfame potassium.
Adakah kolagen bermafaat untuk kulit dan rambut?
Oleh kerana banyak kolagen dipecahkan semasa proses peningkatan usia atau penuaan, pengambilan peptida kolagen boleh meningkatkan kolegen dalam tubuh kita.
Menurut Dr Jaliman, pengambilan kolagen boleh meningkatkan keanjalan kulit dan membantu proses pembaikan kulit sehingga mendorong tubuh membentuk kolagen baru. Minuman dan serbuk kolagen telah terbukti mempunyai sifat antioksidan, dan antioksidan melindungi kulit dengan mengehadkan pengeluaran radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel kulit.
Hasilnya, minman ini dapat membantu memperbaiki kulit yang rosak kerana antioksidan menjanjikan perlindungan persekitaran dan meningkatkan pembaikan garis-garis halus dan kedutan serta tekstur kulit.
Sementara itu, lebih banyak kajian mengenai kolagen yang perlu dilakukan. Beberapa kajian awal mungkin menunjukkan manfaat seperti keanjalan kulit yang lebih baik dan sakit sendi yang berkurang. Terdapat juga kajian yang dikaitkan dengan suplemen peptida kolagen oral untuk meningkatkan pertumbuhan dan tekstur kuku. Dan dalam kajian dari tahun 2016, suplemen kolagen peptida oral meningkatkan penghidratan kulit selepas lapan minggu dan meningkatkan kepadatan kolagen dalam dermis selepas empat minggu.
Menunggu saat untuk disatukan dengan pasangan adalah momen yang dinantikan buat sesiapa pun. Tentukan si gadis mahu bersolek rapi agar tampil menonjol di hari penuh bersejarah. Buat pengantin yang berhijab pastikan anda berdandan sebijaknya dengan memilih rekaan gaun perkahwinan yang sesuai dengan penampilan dan sempurna dipadankan dengan hijabnya.
Manfaat tip berikut untuk menentukan hijab yang sesuai dikenakan pada majlis berbahagia anda, yang penting ia tidak mencacatkan penampilan.
1. Tidak Jarang
Bagi wanita berhijab, rambut merupakan mahkota yang tidak boleh dilihatkan oleh orang lain yang bukan muhrim, sehingga sangat penting untuk memilih bahan hijab yang tidak telus pandang. Bahan yang ringan bukan bermaksud telus pandang ye. Walau mahu bergaya, aurat menjadi keutamaan.
2. Lembut
Hal lain yang perlu dipertimbangankan adalah memilih bahan hijab yang lembut, tidak licin dan tidak kasar. Hijab yang lembut tentu akan membuat penggunanya merasa selesa. Pastikan yang benar-benar selesa dengan anda, tidak mudaratkan anda jangan pula tiba-tiba diserang sakit kepala kerana dilanda kepanasan.
3. Ringan & Tidak Terlalu Tebal
Pilihlah bahan yang memiliki tekstur ringan dan tidak terlalu tebal agar tidak berat ketika dikenakan. Bahan yang ringan juga memungkinkan udara untuk dapat keluar masuk dengan mudah sehingga kulit kepala dan rambut tetap terasa segar meski tertutup hijab. Pilih juga bahan yang mudah menyerap peluh, tidaklah mengeluarkan bau yang kurang enak pula nanti.
4. Pertimbangkan Motif
Jika anda inginkan hijab yang memiliki beberapa motif, pilihlah motif yang sama pada dua sisi hujung hijabnya, agar memudahkan ketika digayakan nanti.
5. Fabrik Hijab Yang Sesuai
Ada banyak bahan yang dapat dipilih untuk hijab sehari-hari, namun untuk hari istimewa, pilihlah bahan terbaik yang akan membuat anda tampil cantik dan selesa. Berikut beberapa bahan fabrik yang boleh menjadi pilihan:
6. Sifon
Jenis tudung ini dibuat dari bahan dasar sutra, kapas dan serat sintesis. Ciri-ciri bahan ini memiliki sifat yang licin, tipis dan tidak panas. Kelebihannya, bahan ini sangat ringan dan mudah diolah ke pelbagai bentuk. Bahan sifon dapat memberikan kesan elegan pada pemakainya.
7. Hycon
Bahan ini mirip dengan dengan sifon namun lebih lembut dan tidak terlalu licin. Hycon memiliki serat kain yang lebih rapat dibanding kain paris kw1, lebih halus, bahannya pun jatuh dan tidak mengembang.
8. Spandek
Diperbuat daripada unsur non alami, bahan spandek sangat halus, lembut dan selesa, namun harganya agak mahal. Beberapa kain bahan spandek kebanyakannya sangat elastik dan mudah untuk dibentuk. Hijab dengan bahan spandek yang berkualiti mampu menyerap peluh dengan baik, sehingga akan rasa selesa dikenakan walaupun ketika cuaca panas.
9. Jersi
Ini merupakan jenis kain cotton stretch yang halus dan lebih tebal dari spandek rayon. Kainnya fleksibel, elastik, ringan dan tidak berbulu, sehingga sangat selesa. Sangat sesuai untuk anda yang berwajah tirus kerana akan membuat pemakainya kelihatan lebih berisi.
Sumber : The Wedding.id
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap pasangan yang dah berkahwin pasti menginginkan zuriat sebagai pengikat kasih sayang antara suami dan isteri. Sama ada cepat atau lambat, ia bergantung kepada rezeki yang Allah berikan. Kita hanya boleh merancang dan berusaha, selebihnya hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Jika anda sedang merancang untuk mempunyai zuriat, jangan lupa ambil asid folik. Ia penting untuk mencegah kecacatan janin dan boleh membawa maut iaitu Neutral Tube Defect (NTD). Anda digalakkan mengambil asid folik sebelum hamil lagi untuk mengelakkan masalah ini daripada berlaku.
Pengambilan asid folik ini ditekankan oleh Doktor Imelda Balchin di laman Facebooknya. Menurutnya, masih ramai lagi wanita di Malaysia tidak mengetahui kepentingan pengambilan suplemen folik asid sebelum hamil dan diteruskan pengambilannya semasa tiga bulan pertama kehamilan.
Masih ramai lagi wanita Malaysia yang tak tahu apakah kepentingannya mengambil suplemen folic acid sebelum hamil dan diteruskan pengambilannya semasa tiga bulan pertama kehamilan.
Tujuan suplemen folic acid ialah bukan untuk kesuburan, dan bukan untuk mencegah keguguran.
Suplemen folic acid itu penting walaupun untuk wanita yang tiada masalah kesuburan.
Tujuan utama folic acid suplemen ialah untuk mencegah kecacatan janin yang teruk dan boleh membawa maut, iaitu Neural Tube Defect (NTD).
Salah satu contoh NTD ialah tempurung kepala yang tidak terbentuk, iaitu Anencephaly. Bila tiada tempurung kepala, tidak ada perlindungan kepada otak yang bertisu lembut. Akibatnya otak yang terdedah kepada air ketuban akan dihakis atau dikikis di dalam kandungan ibu, sehingga ia hancur dan hilang, dan kemudiannya bayi ini akan dilahirkan tanpa otak.
Kita boleh mengesan dan mengesahkan kecacatan anencephaly ini melalui imbasan ultrasound scan dari 11 minggu kehamilan, seperti di dalam gambar.
Janin yang tiada otak boleh hidup di dalam kandungan ibu sehingga dilahirkan sebab tidak perlu bernafas sendiri. Ia mendapat oxygen terus dari uri ke dalam darahnya. Ia tak payah makan sebab boleh mendapat semua nutrisi dari uri terus ke dalam darahnya. Tetapi setelah dilahirkan, ia perlukan fungsi otak untuk bernafas dan perlukan fungsi otak untuk menghisap dan menelan susu. Tanpa fungsi otak, sejurus selepas bersalin, bayi ini akan meninggal dunia.
Begitulah kepentingannya suplemen folic acid, terutama sekali untuk wanita yang ada Diabetes atau wanita yang obese, sebab risiko NTD adalah lebih tinggi untuk wanita yang ada Diabetes yang tidak dikawal sebelum hamil atau wanita obese yang hamil. Satu lagi cara untuk mencegah kecacatan NTD ialah mengawal Diabetes dan kurangkan berat badan yang obese sebelum hamil.
Semoga semua ibu-ibu kita mendapat zuriat yang sihat dan bersalin dengan selamat.
Nota tambahan: Jangan tunggu dah hamil dan jangan tunggu buka buku pink di Klinik Kesihatan baru nak dapatkan suplemen folic acid. Anda boleh beli sendiri di mana-mana farmasi, murah saja, tak payah pun beli jenama yang mahal, sebab memang pun folic acid suplemen tu murah saja. Saya tak promote mana-mana jenama tertentu sebab itu tidak penting.
Untuk wanita yang ada diabetes, obesiti, atau pernah mendapat anak dengan kecacatan NTD, dos folic acid yang disarankan ialah 5mg sehari.
Untuk wanita yang tiada Diabetes, tiada obesiti atau tidak pernah mendapat anak dengan kecacatan NTD, dos 400 microgram atau 0.4mg sehari sudah pun mencukupi. Kalau tak boleh cari dos rendah 0.4mg, beli dos 0.8mg atau 1mg atau 5mg pun tak mengapa.