12 Cara Romantis Isteri Nak Suami Buat, Tak Susah Pun Tapi Kalau Buat Gerenti Isteri Terlebih Sayang

Share

Sebenarnya banyak cara romantis yang suami boleh buat, malah tak susah mana pun kalau nak isteri terlebih sayang suami. Apatah lagi wanita memang suka jika lelaki yang disayanginya melakukan aksi-aksi romantis buatnya.

Tak payah nak keluarkan modal besar, 12 cara ini boleh bantu para suami untuk berikan kejutan romantis buat isteri anda. Gerenti cara-cara ini mampu mencairkan hati isteri sekali gus membuatkan rumah tangga anda berdua bertambah hangat dan romantis.

1. Isteri suka kalau suami siapkan sarapan pagi sebelum isteri bangun tidur
Alamak seronoknya kalau suami berusaha bangun awal untuk siapkan isteri sarapan pagi lalu membawanya ke bilik tidur. Kemudian suami cium lembut pipi isteri sambil berbisik, “Morning sayang. Abang dah siapkan sarapan.”

2. Isteri suka kalau suami ambil hatinya dengan cara memujinya
Tidak dinafikan, ada sebahagian suami yang agak berat mulut untuk memuji isterinya. Ambillah hati isteri dengan cara memujinya. Memuji isteri cantik misalnya, tidak semestinya diungkapkan ketika isteri dalam keadaan yang bersiap dan cantik sahaja. Pujilah isteri anda walaupun mungkin ketika isteri anda baru bangun tidur.

3. Isteri suka kalau suami menciumnya saat nak pergi kerja
Sebelum ke tempat kerja, pastinya isteri inginkan kucupan mesra suami di bibir dan pipinya sambil suami menggenggam erat kedua-dua belah tangannya.

4. Isteri suka kalau suami selalu memeluknya
Pelukan erat dan hangat daripada orang yang dicintai mampu memberikan ketenangan. Sebelum masing-masing berpisah kerana ingin ke tempat kerja, peluklah isteri anda dengan erat sekurang-kurangnya lima saat.

5. Isteri suka kalau suami sering kirimkan ungkapan romantis buatnya
Mungkin bagi suami kata-kata romantis seperti ‘I love you’ dianggap remeh tapi sebenarnya ia merupakan kata-kata yang sering dinanti-nantikan oleh seorang isteri. Bayangkan jika suami mengungkapkan kata-kata romantis seperti, “Sayang, awak wanita teristimewa dalam hidup abang” atau “Berjauhan dengan sayang buat hati abang tak keruan”, bertambah sayanglah isteri terhadap anda.

6. Isteri suka kalau suami buat dia sentiasa tersenyum dan ketawa
Semua isteri suka jika suami boleh membuatkannya tersenyum dan ketawa. Pastikan suami sentiasa mencari idea untuk menceriakan mood isteri. Anda boleh menghantar gambar mimik muka anda yang melucukan di awal pagi ketika masing-masing sudah berada di tempat kerja. Melihatkan gambar mimik muka anda itu pasti membuatkan hari-hari yang isteri lalu penuh ceria.

7. Isteri suka kalau suami kirimkan alasan cinta atau kata-kata penghargaan buatnya
Selain kalimat romantis yang pendek-pendek, suami juga boleh kirimkan nota cinta berisi alasan kenapa dia mencintai isterinya atau nota penghargaan yang dia berterima kasih atas pengorbanan isteri sama ada menerusi telefon bimbit atau e-mel. Walaupun mungkin nota tersebut panjang dan memerlukan masa lama untuk isteri membacanya, namun percayalah kesan nota ini mampu membuatkan isteri terharu.

8. Isteri suka kalau suami memeluknya dari belakang sambil berbisik di telinganya
Saat isteri sedang leka, rangkullah pinggang isteri dari arah belakang dengan erat sambil mencium pipinya. Setelah itu bisikkan sesuatu ke telinganya dengan ungkapan “Hai sayang”, “Abang rindu sayang” atau sebagainya. Pelukan erat seperti ini pastinya membuatkan isteri tersenyum.

9. Isteri suka kalau suami mengurut dan membelai manja tubuhnya
Sambil isteri berehat, apa kata suami rapati isteri dan urutlah tubuh isteri dengan manja. Belaian yang manja boleh membuatkan hubungan anda berdua bertambah romantis. Sentuhan manja itu terletaknya titik kemesraan dan rasa penghargaan suami terhadap isterinya.

10. Isteri suka kalau suami tinggalkan nota romantis di atas katil
Alangkah gembiranya hati isteri apabila pulang dari kerja dan masuk ke bilik tidur, isteri melihat adanya nota cinta bersama sekuntum bunga mawar di atas katil. Melihatkan kejutan itu pasti hilang kepenatan yang isteri rasai sepanjang hari di tempat kerja.

11. Isteri suka kalau suami mendukungnya macam dalam drama
Pasti ramai isteri yang ingin merasai nikmat didukung oleh suaminya seperti yang sering kita lihat dalam drama. Sebelum mengajak isteri berhubungan intim, berikan ciuman penuh kasih dan sentuhan sensual pada tubuh isteri. Jika suami yakin dan mampu, dukung isteri ke bilik tidur sebelum meneruskan hubungan panas anda berdua di atas katil.

12. Isteri suka kalau suami ceriakan kembali hatinya ketika mood isteri sedang swing
Mungkin ketika mood isteri tidak menentu atau isteri merajuk, suami dalam diam keluar rumah dan belikan bunga atau coklat untuk menghiburkan hati isteri. Sekembalinya suami ke rumah, berikan hadiah-hadiah itu kepada isteri untuk memujuknya. Mungkin cara ini tak 100% menjadi tapi tak salah untuk anda mencubanya.

Published by
Roselinda Mohd Yusof