pic-pinterest

Perkahwinan yang sempurna tidak semestinya besar dan gah. Biarpun skalanya sederhana namun jika dirancang dengan teliti pasti mampu menjadikan ia sebagai sebuah majlis perkahwinan yang diingati buat pasangan pengantin, keluarga dan juga tetamu yang hadir.

Belanja untuk mengadakan majlis perkahwinan sudah pasti besar namun jika anda bijak merencana dengan baik pasti belanja kahwin tidak akan tersasar. Bahkan perkara yang anda rasa tidak perlu, usahlah diletakkan dalam senarai kahwin. Buatlah majlis mengikut kemampuan dan bukannya majlis yang bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Bimbang jika berbelanja secara berlebihan untuk majlis kahwin, ada yang berhutang pula selepas majlis selesai.

Sebaiknya sebelum merancang untuk mengadakan majlis kahwin, elok anda dan pasangan sediakan bajet kahwin dan bagaimana untuk menguruskan wang agar selepas berkahwin nanti anda berdua tidak berdepan dengan konflik kewangan.

Tip berikut boleh membantu anda untuk merancang majlis perkahwinan secara bajet mengikut kemampuan.

1. TETAPKAN JUMLAH TETAMU

Memang sangat penting jika anda mengundang seluruh keluarga dan teman-teman baik yang anda kenal. Namun jumlah tetamu undangan ini sangat mempengaruhi kos perkahwinan. Semakin ramai tetamu, semakin besar kos katering yang perlu anda siapkan. Sebaiknya tetapkanlah jumlah tetamu yang bakal dijemput agar anda dapat merancang bajet perkahwinan dengan baik. Apabila anda sudah menetapkan bilangan tetamu, ini akan memudahkan anda untuk mengira bajet makanan, cenderamata, kad kahwin dan sebagainya.

2. SEWA BAJU KAHWIN

Elakkan menempah pakaian yang baharu, sebaiknya menyewa adalah lebih murah. Terdapat perkhidmatan yang membolehkan anda menempah baju kahwin baharu dan mengambilnya secara sewa sahaja. Ini bermakna selepas anda memakainya, anda perlu memulangkannya semula kepada butik perkahwinan. Sewaan sebegini jauh lebih rendah harganya daripada anda ingin membeli baju kahwin baharu yang pastinya hanya akan dipakai sekali sahaja.

Ads

3. BELI BARANG KAHWIN MASA DISKAUN

Rebutlah peluang membeli barang kahwin ketika kedai atau pusat membeli-belah mempunyai potongan harga kerana harganya tentu jauh lebih murah daripada sebelumnya. Belian pada ketika ini ternyata sangat menguntungkan. Namun pastikan anda bijak mengawal nafsu. Jangan disebabkan barangan yang dijual kebanyakannya murah anda berbelanja di luar kemampuan.

4. ELAK GUNA KAD KREDIT 

Tidak dinafikan kad kredit ada baik dan buruknya. Bagi anda yang tidak tahu untuk menggunakan kad kredit secara baik dan bijak, anda dinasihatkan untuk tidak memakainya. Berbelanja dengan hanya swipe akan menyebabkan anda terlebih berbelanja dan akhirnya rasa terbeban untuk membayar banyak hutang di penghujung bulan.

5. BUAT MAJLIS SECARA GOTONG ROYONG

Majlis yang diadakan secara gotong royong ternyata lebih menjimatkan berbanding jika anda lakukan secara katering. Aktiviti gotong-royong dapat menjimatkan kos kerana anda hanya perlu mengeluarkan wang membeli bahan basah dan membayar upah tukang masak sahaja. Malah dengan cara ini akan mengeratkan lagi tali silaturahim keluarga anda dengan saudara-mara dan jiran tetangga.

Ads

6. KAWAL PERBELANJAAN SETIAP BULAN

Perbelanjaan pada setiap bulan amat mempengaruhi simpanan kewangan anda. Jika anda berbelanja lebih, segala bajet yang telah anda tetapkan akan berubah dan akan menyusahkan anda kelak. Bijaklah berbelanja dan buat tabungan setiap bulan agar duit tersebut dapat digunakan untuk pelbagai keperluan di majlis perkahwinan.

7. BERHENTI MEROKOK

Tidak kira lelaki atau wanita yang merokok, belajarlah untuk berhenti. Selain tidak baik untuk kesihatan, ia juga boleh membazirkan wang anda. Jika anda campur tolak wang yang telah anda belanjakan selama ini untuk membeli sekotak rokok pasti anda akan terkejut dengan jumlahnya. Jadi tindakan anda berhenti merokok sangat menguntung bukan hanya untuk kesihatan malah poket anda juga tidak bocor kerana membeli rokok.

8. KAWAL NAFSU KETIKA BERBELANJA

Bukan sahaja lelaki, wanita juga tidak kurangnya. Memandangkan anda bakal berkahwin, belajarlah untuk mengawal nafsu ketika berbelanja terutamanya bagi wanita yang gemar membeli peralatan mekap atau kasut setiap bulan. Bayangkan dengan duit yang anda laburkan untuk membeli peralatan mekap atau kasut setiap bulan itu jika disimpan pasti akan menjadi banyak.

Ads

9. KURANGKAN MEMBELI GAJET ELEKTRONIK

Ada sesetengah orang tidak boleh hidup tanpa membeli barangan baharu yang keluar setiap bulan terutamanya barangan gajet. Bagaikan tidak lengkap hidupnya jika tidak mengikut trend semasa. Berpada-padalah dan ingat yang anda akan melangsungkan perkahwinan. Hentikan seketika nafsu anda terhadap barangan gajet semata-mata untuk menyimpan wang.

10. TEMPAHAN SERVIS KAHWIN KETIKA PROMOSI

Pastinya untuk majlis kahwin nanti anda akan menggunakan pelbagai servis kahwin seperti fotografi, video, pelamin, khemah dan sebagai. Untuk menjimatkan belanja kahwin, seeloknya anda tempah servis-servis ini ketika ekspo perkahwinan yang sering diadakan di pelbagai tempat. Ini kerana ekspo perkahwinan menawarkan servis dengan harga istimewa selain menyediakan banyak hadiah menarik untuk pelanggan. Rebutlah peluang ini untuk kerana ia menguntungkan dan menjimatkan belanja kahwin anda!

11. JANGAN KETERLALUAN MEMBERI BARANG HANTARAN

Dulang hantaran sangat penting dalam sesebuah majlis perkahwinan. Pastinya anda ingin memberi pelbagai barangan untuk dipersembahkan dalam dulang hantaran itu. Bagi menjimatkan kos, elakkan berbalas hantaran dengan jumlah yang banyak. Memadai memberi barangan hantaran dengan barang penting sahaja. Janganlah kerana ingin bersaing dengan saudara-mara atau kawan-kawan menyebabkan anda sanggup berkorban duit.

12. BUKA AKAUN KHAS

Salah satu cara untuk menjimatkan kos kahwin adalah dengan membuka akaun khas untuk belanja kahwin anda. Ini dapat memastikan supaya anda tidak menggunakan kesemua wang simpanan, seterusnya berhutang. Tabung ini tidak semestinya diwujudkan ketika anda ingin kahwin sahaja. Jika belum ada hasrat untuk berkahwin, tidak salah untuk anda menyediakan tabungan sebegini sebagai persediaan di masa depan. Sediakan payung sebelum hujan kan lebih baik!

13. JANGAN PENTINGKAN STANDAND

Berhutang pasti membuatkan kepala pening. Bebanan ini akan menyebabkan anda dan pasangan tersepit dengan hutang yang terlalu banyak dan sering runsing. Jangan semata-mata inginkan sebuah majlis perkahwinan yang gah, anda sanggup berbelanja keterlaluan. Bukan standard atau benda mahal sahaja yang harus anda titikberatkan dalam majlis kahwin, sebaliknya majlis yang berlangsung dalam keadaan sempurna dan lancar itu yang menjadi keutamaan.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI