Sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini menjadi lebih bermakna buat empat beradik apabila mereka memilih tarikh sama untuk disandingkan dalam satu majlis perkahwinan di Batu 14, Teluk Medan.
Majlis perkahwinan itu menyaksikan pasangan kembar lelaki tak seiras, Abdul Rahman Abdul Aziz dan adik kembarnya, Abdul Rahim, 27, selamat disandingkan dengan pilihan hati masing-masing iaitu Nur Atiqah Ishak, 27, dan Nurul Nadia Othman, 20.
Manakala dua lagi adik mereka, Nur Laila Munirah, 20, dan Izzatul Amani, 18, disatukan dengan jejaka pilihan masing-masing iaitu, Muhd Amirul Ashraf Salim Pahri, 23, dan Mohd Firdaus Johari, 19.
Majlis perkahwinan anak ke-6, 7, 11 dan 12 pasangan Abdul Aziz Rahman, 58, dan Fitrah Mat, 54, itu meriah dengan kehadiran lebih 1,500 tetamu.
Fitrah berkata, dia berasa lega apabila empat anaknya itu bersetuju mengadakan majlis perkahwinan serentak.
Menurutnya, dia dan suami mengambil keputusan untuk mengadakan majlis persandingan serentak dan kebetulan, keempat-empat anaknya itu memilih tarikh sama untuk memulakan kehidupan berumah tangga.
“Saya sangat bersyukur kerana mendapat empat menantu serentak dan berlangsung seperti yang diharapkan.
“Ini akan menjadi detik bersejarah buat kami sekeluarga dan diharapkan penganjuran majlis walimatulurus secara serentak beroleh keberkatan serta membawa kebahagiaan kepada semua anak saya hingga akhir hayat,” katanya.
Fitrah berkata, penganjuran majlis perkahwinan serentak itu membolehkan 10 daripada 12 anaknya kini sudah mendirikan rumah tangga.
“Tujuan utama penganjuran majlis persandingan empat anak secara serentak adalah untuk menjimatkan kos perlaksanaan majlis.
“Namun, saya tidak menyangka sambutan orang ramai terutama penduduk kampung amat hebat dengan ramai hadirin hadir ingin menyaksikan sendiri majlis persandingan yang unik itu,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman dan pasangannya teruja dapat berkongsi kegembiraan di hari persandingan mereka bersama pasangan kembar dan dua lagi adik perempuannya.
Dia yang bertugas sebagai pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, hari perkahwinan serentak dia bersama tiga adik lain merupakan peristiwa paling bermakna yang tidak akan dilupakannya.
“Sejujurnya kami berempat tidak pernah merancang untuk mengadakan majlis persandingan serentak memandangkan tarikh kami diijabkabulkan bersama pasangan masing-masing tidak sama.
“Namun, takdir ALLAH sudah menentukan hari bersejarah kami berempat bakal dilaksanakan secara serentak dan ternyata pengalaman ini amat istimewa,” katanya.
Bagi pengantin bongsu, Izzatul Amalin pula, dia tidak menyangka gurauan ibunya yang memujuknya berkahwin serentak bersama tiga adik beradik lain bertukar menjadi kenyataan.
“Saya rasa amat bersyukur majlis persandingan kami berempat berlangsung dengan jayanya dan berharap ikatan perkahwinan kami akan berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.
Kami dari Pesona Pengantin mengucapkan selamat menempuh hidup baru, semoga jadi kalian semua menjadi satu keluarga yang saqinah, mawaddah, warrohmah, mendapatkan keturunan yang soleh soleha, diberikan rezeki yang berkah dan melimpah, serta selalu didalam lindungan serta kasih sayang Allah swt.
Sumber: Sinar Harian
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI