Rata-rata lelaki pastinya menginginkan seorang wanita yang baik untuk dijadikan isteri dan teman hidup. Budi pekerti yang tinggi, lemah lembut dan sopan adalah antara kriteria yang menjadi dambaan bagi seorang lelaki. Namun adakah kriteria-kriteria ini sudah memadai buat seorang wanita yang layak untuk dijadikan calon isteri?
Salah satu bukti bahawa wanita memiliki kedudukan yang mulia dalam Islam adalah bahawa terdapat pilihan untuk memilih calon isteri dengan lebih selektif iaitu dengan adanya beberapa kriteria khusus untuk memilih calon isteri. Di antara kriteria tersebut adalah:
Seorang suami adalah pemimpin dalam rumah tangga. Sebagaimana firman Allah Ta’ala,
“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita.” (QS. An Nisa: 34)
Memang sepatutnya seorang pemimpin untuk ditaati. Ketika ketaatan ditinggalkan maka hancurlah ‘organisasi’ rumah tangga yang dijalankan. Oleh kerana itulah, Allah dan Rasul-Nya memerintahkan seorang isteri untuk taat kepada suaminya, kecuali dalam perkara yang diharamkan. Tidak taat kepada suami merupakan dosa besar, sebaliknya ketaatan kepadanya diberi ganjaran pahala yang sangat besar.
Berpakaian muslimah yang sempurna dan tidak melanggar syariat islam adalah kewajipan bagi seorang wanita islam. Seorang muslimah yang solehah tentunya tidak akan melanggar ketentuan ini. Allah S.W.T berfirman,
“Wahai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.’” (QS. Al Ahzab: 59)
Berdasarkan dalil-dalil yang ada, para ulama merumuskan syarat-syarat pakaian muslimah yang berlandaskan hukum syarak di antaranya ialah menutup aurat dengan sempurna, tidak ketat dan tidak jarang. Selain itu tujuan muslimah berpakaian bukan untuk mempamerkan kecantikan di depan lelaki bukan mahramnya, tidak meniru ciri khas pakaian bukan islam, tidak meniru ciri khas busana lelaki dan sebagainya.
Maka pilihlah calon isteri yang menyedari dan memahami perkara ini, iaitu para muslimah yang berpakaian muslimah yang berlandaskan hukum syarak.
Rasulullah S.A.W menggalakkan agar menikahi wanita yang masih gadis.Ini kerana, secara umumnya wanita yang masih gadis memiliki kelebihan dalam perkara kemesraan dalam perkara memenuhi keperluan biologi. Perkara ini dapat menambah kebahagiaan dalam hubungan pernikahan. Rasulullah S.A.W bersabda,
“Bernikahlah dengan gadis, sebab mulut mereka lebih jernih, rahimnya lebih cepat hamil, dan lebih rela pada pemberian yang sedikit.” (HR. Ibnu Majah. Dishahihkan oleh Al Albani)
Namun tidak menjadi kesalahan untuk bernikah dengan seorang janda jika melihat maslahat yang besar.
Digalakkan kepada seseorang yang hendak meminang seorang wanita untuk mengambil tahu mengenai asal usul dan keturunannya. Ini penting dalam mempengaruhi ilmu, akhlak dan keimanan seseorang. Seorang wanita yang lahir dalam keluarga yang baik lagi Islami biasanya menjadi seorang wanita yang solehah.
masyarakat kita mungkin masih keliru berkaitan dengan status anak zina. Mereka menganggap bahawa jika dua orang berzina, cukup dengan menikahkan keduanya maka selesailah masalah tersebut. Namun, ia bukanlah semudah itu kerana dalam Islam, anak yang dilahirkan dari hasil zina tidak di-nasab-kan kepada si lelaki penzina, namun di-nasab-kan kepada ibunya. Oleh itu, seorang lelaki yang hendak meminang wanita perlu untuk mengetahui latar belakang keluarga dan keturunan dari calon pasangan.