5 Amalan Suami Isteri Agar Hubungan Berkekalan

Share

Buat pasangan muda dan mereka yang bakal mendirikan perkahwinan, sudah tentu menantikan hari tersebut dengan perasaan gembira dan semangat yang berkobar-kobar. Perkahwinan yang dirancang diharap akan membawa sinar bahagia dalam kehidupan baru bersama kekasih hati.

Tetapi lima atau enam bulan kemudian, barulah mereka menyedari bahawa perkahwinan tidak seindah yang diimpikan. Hakikatnya, perkahwinan memerlukan pengorbanan, kesabaran dan usaha yang berterusan untuk menjadikannya sebuah perkahwinan yang cemerlang seperti yang diidam-idamkan.

Bagaimana untuk mewujudkan sebuah perkahwinan yang cemerlang? Antaranya ialah dengan membina perhubungan yang cemerlang bersama pasangan. Untuk itu, ikuti tip-tip di bawah:

1.Niat yang ikhlas

Niat amat penting ketika melakukan sesuatu pekerjaan. Niat yang betul akan membawa hasil yang baik dalam pekerjaan itu. Demikianlah dengan sebuah perkahwinan. Betulkan niat anda, iaitu berkahwin demi mendapat keredaan Allah. Perkahwinan adalah satu bentuk ibadah kepada Allah. Keredaan Allah akan membawa kebahagiaan, kestabilan dan kegembiraan sepanjang masa.

Sebagai manusia yang memiliki kelemahan, tidak mustahil niat akan berubah terutama ketika berlaku sesuatu perkara yang tidak dijangka. Oleh kerana perkahwinan adalah pekerjaan yang dilakukan terus-menerus dalam satu jangka masa yang panjang, maka memperbaharui niat dari semasa ke semasa adalah penting. Ini untuk memastikan anda sentiasa berada di landasan yang betul.

2.Jangan membuat tanggapan yang tidak realistik

Sebelum perkahwinan dilangsungkan, biasanya setiap pasangan akan mengimpikan perkara yang indah-indah sepanjang perkahwinan itu berlangsung nanti. Hakikatnya tidak semudah itu. Jangan fikir bahawa pasangan anda memiliki kesempurnaan untuk memenuhi impian tersebut. Sebagai manusia, kelemahan dan kekurangan akan dilihat di mana-mana. Tanggapan yang tidak realistik hanya akan mengundang masalah.

Dengan membuat tanggapan bahawa pasangan anda adalah manusia yang tidak sempurna seperti anda juga, barangkali ini akan menjadi satu kejutan apabila setelah berkahwinan nanti anda dapati dia jauh lebih baik daripada yang anda fikirkan. Tentunya ini akan membawa kegembiraan kepada anda dan rumah tangga anda.

3Jadikan pasangan sebagai rakan karib

Rakan karib adalah seseorang yang mempunyai ikatan hati yang kuat dengan kita. Kita berkongsi minat, pengalaman, impian, kegagalan dan harapan dengannya. Dua sahabat karib akan saling faham-memahami, mengetahui minat dan kegemaran masing-masing serta berusaha untuk menggembirakan hati satu sama lain. Rakan karib adalah orang yang kita percayai dan menjadi harapan dalam satu-satu perkara.

4.Luangkan masa berkualiti bersama

Adalah tidak memadai anda dan pasangan hanya makan bersama dan melakukan lain-lain perkara rutin bersama. Anda seharusnya melakukan sesuatu untuk memantapkan perhubungan dengan pasangan. Jangan terlalu sibuk dengan urusan sendiri sehingga terlupa memberi perhatian terhadap elemen yang tidak kurang penting ini.

Barangkali anda boleh fikirkan satu perjalanan yang menyeronokkan atau hobi bersama yang boleh dilakukan selain rutin harian. Apa kata bincangkan satu projek yang sama-sama suka, misalnya tentang konsep baru untuk hiasan rumah?

5.Selalu luahkan perasaan

Ini mungkin dianggap sebagai konsep yang dipegang oleh orang-orang Barat dan hanya sesuai untuk mereka, tetapi sebenarnya ia tidak begitu. Saling mengungkapkan rasa kasih sayang dan rindu kepada pasangan adalah perkara positif dan ini digalakkan oleh Islam.

Apa yang penting, anda haruslah jujur dan bersikap terbuka terhadap pasangan. Sekiranya ada sesuatu yang menghiris perasaan anda yang telah dilakukan oleh pasangan, anda perlu meluahkannya dengan fikiran yang terbuka. Usah pendam sesuatu masalah. Perkara yang kecil akan menjadi besar jika tidak ditangani segera denga kaedah yang betul. “Silent treatment” iaitu memendamkan saja perkara itu bukanlah ubat kepada sebarang masalah.

 

Published by
Putri Adila