5 Mitos Berkahwin Dengan Janda Atau Duda

Share

Dara atau janda? Duda atau teruna? Tentunya apabila memperkatakan hal yang satu ini, pastinya ramai yang mempunyai pendapat yang berbeza. Soal status ini amat mempengaruhi seseorang dalam membuat calon pasangan pilihan. Selalunya status janda dan duda sering mendapat persepsi yang berbeza daripada golongan masyarakat.

Ketika memulakan hubungan dengan orang yang sudah berumah tangga sebelumnya (janda atau duda) ada-ada sahaja mitos yang menyelubungi status mereka. Mungkin akan ada ahli keluarga yang menentang hubungan yang terjalin lantaran pasangan berstatus duda atau janda.

Status janda atau duda cenderung disertai konotasi negatif di mata masyarakat Timur. Apalagi yang memicu status tersebut adalah penceraian. Anggapan ketidaksetiaan dalam rumah tangga sering membuatkan mereka dianggap tidak sebaik orang yang belum pernah berkahwin sebelumnya.

Mitos-mitos ini cenderung ke arah negatif, dan jika dipercayai, akan membuatkan anda ragu-ragu untuk menjalin hubungan dengan mereka yang berstatus janda atau duda.

Jika anda sedang menjalin hubungan dengan pasangan yang berstatus duda/janda, berikut beberapa mitos tentang janda dan duda yang perlu anda semak. Kenali dan pastikan anda mengetahui fakta di sebaliknya.

Orang Yang Gagal

Mereka yang bercerai bukan bererti mereka gagal dalam berumah tangga. Anda harus memandang daripada perspektif yang berbeza. Mereka adalah orang yang berani dalam mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah yang berlarutan. Penceraian bukanlah kegagalan. Boleh jadi mereka belum berjumpa pasangan yang tepat. Kini mereka menantikannya, pasangan hidup yang sesungguhnya untuk mereka.

Cari Pasangan Hanya Kerana Anak

Keadaan ini sering kali wujud ketika anda sedang menjalinkan hubungan dengan janda atau duda yang memiliki anak. Apa yang salah dengan kehadiran seorang anak? Jika anda benar-benar sayangkan pasangan anda, sudah tentu anda sudah bersedia untuk membesarkan anak yang bukan darah daging sendiri.

Tanya pada diri anda, jika belum bersedia menjadi ibu/bapa segera, lebih baik lupakan sahaja hasrat anda untuk berkahwin dengan pasangan yang berstatus duda/janda. Walau bagaimanapun mereka yang berstatus duda/janda berkahwin semula bukan hanya kerana anak-anak semata-mata tetapi juga cinta. Tujuan utama mereka mendirikan rumah tangga tentulah kerana cinta selain anak-anak kerana tanpa cinta, mana mungkin sesebuah rumah tangga itu akan berkekalan.

Tidak Akan Ragu-Ragu Untuk Bercerai

Penceraian adalah sesuatu yang serius dan biasa diambil setelah pertimbangan matang. Pastikan anda tahu masalah yang dialami pasangan dalam perkahwinan sebelumnya. Dengan cara ini, anda berdua dapat ‘belajar’ daripada masalah masa lalu dan lebih.

Anggapan mengatakan mereka yang berstatus duda/janda lebih mudah atau tanpa ragu-ragu mengambil keputusan untuk bercerai apabila ada masalah tidak boleh diterima seratus peratus. Ini kerana keputusan untuk bercerai biasanya diambil selepas tiada lagi persefahaman dan jalan penyelesaian untuk menyelamatkan sesebuah rumah tangga.

Belum Move On

Jangan pernah terfikir pasangan anda yang berstatus duda/janda masih memikirkan tentang bekas pasangan mereka. Hal ini kerana apabila mereka sudah bersedia untuk membina hidup baharu ini bermakna mereka sudah benar-benar telah melupakan kisah lalu.

Ego

Bercerai tidak bererti mereka ego atau hanya mementingkan diri sendiri semata-mata. Mereka melakukan ini kerana tidak bertemu dengan kedamaian dalam rumah tangga. Selalunya ada alasan kukuh di sebalik penceraian. Sebelum memutuskan perpisahan, tentu mereka telah memikirkannya semasak-masaknya tindakan mereka tersebut. Maka adalah tidak wajar sekiranya masyarakat menganggap golongan duda/janda ini berpisah hanya kerana ego.

Published by
Bella