5 Persiapan Awal Untuk Pasangan Muda Yang Ingin Berkahwin

Share

Kebelakangan ini, ramai pasangan yang mengambil keputusan untuk berkahwin muda. Sebenarnya berkahwin muda tidak menjadi masalah, malah digalakkan untuk mengelakkan daripada sebarang maksiat. Namun begitu, kedua-dua pasangan perlu membuat beberapa persediaan sebelum melangkah ke alam berumah tangga.

1. Persediaan Mental Dan Fizikal

Berkahwin dalam usia muda ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental kerana anda akan menghadapi banyak cabaran dan dugaan. Segala cabaran perlu diatasi dengan pertimbangan akal bukan mengikut nafsu amarah. Malah pelbagai  dugaan juga tidak datang melalui hubungan si gadis dan sang arjuna tetapi cabaran itu juga datangnya daripada orang luar.

2. Kewangan

Pasangan juga perlu bersedia daripada soal kewangan. Pastikan ada menyimpan sedikit wang untuk keperluan pada awal-awal perkahwinan. Malah kedua-duanya juga perlu saling bekerjasama dan bantu-membantu. Jangan terlalu boros berbelanja sebaliknya menggunakan apa sahaja yang ada untuk keperluan harian.

3. Restu Ibu Bapa

Walau apa jua keputusan yang anda buat, paling penting adalah dengan mendapat restu kedua-dua ibu bapa. Berbincang secara baik dengan mereka dan nyatakan kenapa anda berdua perlu berkahwin awal. Minta nasihat dan panduan dalam melayari kehidupan berumah tangga ini. Pasti banyak info berguna daripada mereka kerana orang tua kita diumpamakan terlebih dulu makan garam.

4. Tanggungjawab

Baik bakal suami atau isteri, kedua-duanya perlu bersikap lebih matang dalam mengemudi bahtera rumah tangga yang mahu dibina. Jika bakal isteri tidak matang, suami boleh ajar perlahan-lahan kerana keputusan berkahwin muda ini adalah keputusan bersama.

Antara tanggungjawab suami dan isteri:

i- Tanggungjawab suami kepada isteri

Suami perlu mengalas tanggungjawab besar kepada sebuah keluarga. Iaitu tanggungjawabnya kepada isteri dengan mendidik si isteri supaya taat kepadanya dan menjaga kehormatan dirinya .

ii- Tanggungjawab isteri kepada suami

Seorang isteri mestilah menjalankan tanggungjawab dalam menguruskan diri, suami, anak serta hal menguruskan kebersihan rumah. Tetapi buat isteri yang bekerja seharusnya si suami menjalankan sifat tolenrasi. Di mana jika isteri, tidak sempat untuk menyediakan sarapan, tidak menjadi salah untuk si suami membuatkan sarapan.

iii- Tanggungjawab kepada ibu bapa dan mertua

Walaupun sudah berkahwin  tanggungjawab isteri adalah untuk suaminya. Suami pula harus menjalankan tanggungjawab kepada ibu bapa mertua seperti tanggungjawab kepada ibu bapanya. Isteri juga perlu menghormati ibu bapa si suami seperti si suami menghormati ibu bapanya.

5. Pengetahuan Agama

Kesempurnaan tidak dimiliki oleh manusia. Tetapi jangan jadikan alasan itu sebagai alasan untuk tidak tahu serba sedikit pun tentang agama. Bagaimana mahu menjadi suami untuk membimbing isteri sedangkan diri sendiri tidak mampu diuruskan. Jadi sebagai lelaki yang mahu mendirikan rumah tangga di usia awal seeloknya anda belajar dahulu tentang agama. Walaupun tidak banyak yang dipelajari, tetapi sekurang-kurangnya mampu untuk menjadi imam si gadis apabila sudah berkahwin nanti.

 

 

Published by
Ros Nana