5 Petanda Lelaki Serius Dalam Hubungan! Kalau Pasangan Ada Ini, Tolong Jangan Lepaskan

Share

Sebagai wanita pastinya anda mengharapkan pasangan serius saat menjalinkan hubungan, selain mengimpikan agar hubungan ini akan berakhir dengan satu ikatan perkahwinan. Hubungan yang serius boleh dilihat melalui niat pasangan dalam memelihara keharmonian sepanjang bersama.

Masalah akan timbul jika salah seorang daripada anda berfikir tentang hubungan sebagai metode sementara untuk menghabiskan waktu, selain menganggap hubungan yang dijalinkan tidak serius. Ketika seseorang tidak serius tentang hubungan, biasanya akan terlihat menerusi tingkah laku serta tanda-tanda lainnya. Oleh itu cuba perhatikan pasangan anda, adakah dia serius menjalinkan hubungan ataupun mungkin sekadar main-main dengan anda.

Jika anda menemui satu atau dua daripada tanda-tanda ini, ia bukanlah jaminan teman lelaki anda serius. Cuba lihat setidak-tidaknya tiga daripada tanda-tanda ini, di samping anda juga perlu memerhatikan faktor-faktor lain.

1. SELALU BERKOMUNIKASI

Tanda-tanda kuat seorang lelaki serius dalam sesebuah hubungan apabila dia mempunyai perancangan jangka masa panjang dengan anda. Semakin serius sesebuah hubungan, seorang lelaki akan berfikir tentang masa depan untuk bersama anda dengan lebih jauh bahkan kadang-kadang berfikir sehingga ke sebuah perkahwinan.

Berlainan dengan lelaki yang tidak serius dalam hubungan, dia biasanya jarang menghubungi anda, mengabaikan anda, tidak menjawab panggilan telefon, tidak menjawab SMS dan sebagainya. Lelaki sebegini hanya fokus pada kesenangan jangka pendek. Jika anda juga hanya terfikir menjalinkan hubungan dengannya untuk masa jangka pendek, maka itu boleh mendatangkan kerugian.

2. GAMBARAN TENTANG REAL LOVE

Wanita sebenarnya boleh membaca situasi hubungan dengan lelaki, walaupun hanya dengan perbincangan kecil yang berdurasi pendek. Jika lelaki yang anda kenali memang mempunyai perasaan cinta yang serius, dia akan memberikan gambaran tentang masa depan hubungannya dengan anda. Oleh sebab itu, ajaklah pasangan anda berbincang secara serius dan kemudian amati serta semak apa yang dia sampaikan.

3. BERCERITA TENTANG PERIBADI

Ketika seseorang tidak serius tentang hubungan yang dijalaninya, dia biasanya akan menjaga jarak dengan anda. Dia mungkin tidak memberitahu anda tentang peribadi dirinya. Dia lebih banyak berahsia atau berdolak-dalik dalam percakapannya dengan anda. Itu tandanya dia hanya ingin menjadikan anda sebagai teman persinggahannya sahaja.

4. APAKAH DIA BERBOHONG?

Cara terbaik untuk mengetahui adakah hubungan itu serius atau tidak, ialah dengan meminta orang lain menyelidik apa yang dia sampaikan kepada anda. Jika apa yang disampaikannya tidak benar, maka ada baiknya anda juga perlu membatasi hubungan dengan lelaki sebegini. Ingat! Lelaki yang cenderung tidak setia merupakan lelaki yang sering berbohong.

5. BERTEMU ORANG TUA

Salah satu tanda-tanda yang menunjukkan bahawa seseorang lelaki serius tentang hubungan apabila dia berusaha untuk memperkenalkan anda kepada orang tuanya. Jika lelaki senang untuk memperkenalkan anda kepada orang tuanya, maka ada indikasi dia ingin menjamin sesuatu yang lebih “serius” dengan anda.

Published by
Putri Adila