Setiap pasangan harus saling menyayangi antara satu sama lain agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia. Berasa selesa dan tak kisah terhadap pasangan boleh mendatangkan mudarat pada hubungan suami isteri. Sudah masanya untuk anda segera ambil petua awetkan asmara suami isteri.

Sekian lama melayari bahtera cinta sebagai suami isteri,  tanpa anda sedar, anda dan pasangan mula ambil mudah pada ikatan yang sedia ada. Mungkinkah ini terjadi kepada anda? Sebelum hubungan mula memudar, pulihkan hubungan anda. Eratkan rasa cinta dan bangkitkan asmara dalam rumah tangga yang dibina.

Jom lihat 5 petua awetkan asmara agar rumah tangga yang anda berdua bina lebih diberkati!

1. KUCUPAN MESRA

5 Petua Awetkan Asmara Ini Boleh Bawa Berkat! Suami Isteri Jangan Malu, Kena Cuba

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah, bahawa dia berkata: “Rasulullah SAW pernah mencium salah seorang isteri baginda kemudian berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

PENGAJARAN DAN TELADAN:

Cinta itu lebih bermakna jika dilestarikan dengan sentuhan yang membuai perasaan lantas membangkitkan rasa kasih kepada pasangan. Sementelah hubungan suami isteri adalah halal di sisi agama, maka bertindaklah dengan rasional.

Buktikan rasa kasih anda wahai isteri dengan melakukan aksi menggoda yang bukan sahaja boleh menterjemahkan rasa sayang kepada suami, malah sebagai tanda penghargaan bahawa anda menghargai untuk hidup bersamanya sebagai suami isteri.

Teladanilah apa yang dilakukan Rasulullah SAW ke atas salah seorang isterinya dan masih sempat melayangkan kucupan sebelum menunaikan kewajipan kepada Allah SWT. Lantaran itu wahai  suami dan isteri, luangkan sedikit masa bermanja-manja agar hubungan ada berdua bertambah erat dan mesra.

2. BERSIHKAN DIRI BERSAMA

Diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah pernah berkata: “Aku biasa mandi bersama dengan Nabi dalam satu bejana (bekas menyimpan air). Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana).” (Hadis Riwayat ‘Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)

Ads

PENGAJARAN DAN TELADAN:

Amalan mandi atau membersihkan diri sesama suami isteri mungkin amat janggal dan dianggap taboo dalam kalangan masyarakat kita. Namun, telah diriwayatkan bahawa ia pernah dilaksanakan dalam sejarah rumah tangga Rasulullah SAW. Ia sememangnya satu cara yang amat indah untuk suami isteri saling menghargai suasana menyucikan tubuh badan sambil mengakrabkan perasaan.

Bila hubungan suami isteri dah halal mengapa tidak anda berdua saling menyapukan dan meratakan air dengan tertib dengan cara yang elok? Lakukan sekali-sekala pada waktu-waktu yang membenarkan anda melakukannya, misalnya pada hujung minggu yang santai di mana anda berdua tidak terkejar-kejar melakukan sebarang urusan atau punya waktu yang panjang untuk beristirahat.

3. TIDUR DI PANGKUAN ISTERI

5 Petua Awetkan Asmara Ini Boleh Bawa Berkat! Suami Isteri Jangan Malu, Kena Cuba

Diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah berkata: “Nabi biasa meletakkan kepalanya pada pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian baginda membaca Al-Quran.” (Hadis riwayat ‘Abdurrazaq)

PENGAJARAN & TELADAN:

Ads

Meskipun diri dalam keadaan yang tidak mengizinkan untuk bermesra secara berlebihan atau berhubungan badan dengan suami, itu bukan alasan untuk isteri menolak ‘permintaan-permintaan kecil’ suami untuk bermanja.

Mengawetkan asmara bukan terbatas kepada soal hubungan badaniah semata-mata. Ia adalah tentang perlakuan kecil yang bersahaja. Ia melibatkan sentuhan fizikal dan kesediaan isteri untuk berkongsi kepenatan atau kelelahan suami.

Walaupun dalam keadaan tidak suci, pastikan isteri menjaga kebersihan intim dan kesegaran bau tubuh agar suami senang dan selesa untuk mendampingi anda. Sebagaimana isteri Nabi SAW Saidatina Aisyah melayani dan menjadi ‘bantalnya’ yang paling empuk serta nyaman.

4. HIBURKAN HATINYA

Rasulullah SAW dalam hadisnya pernah bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya, kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu.”

PENGAJARAN & TELADAN:

Ads

Sesungguhnya bukanlah satu tugas yang mudah untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai isteri. Ketaatan, keikhlasan dan budi pekerti yang mulia adalah sebahagian daripada elemen yang dituntut dalam membina rumah tangga yang bahagia.

Malah ganjaran pahala menanti khususnya buat isteri yang menggembirakan dan menyenangkan hati suami. Menyediakan segala kelengkapan, pakaian, makanan dan pelbagai keperluan malah memberikan ‘layanan’ yang sempurna pasti dapat menggembirakan hatinya.

Antara cara yang paling mudah dipraktikkan termasuklah dengan senyuman, tutur kata yang lemah lembut, ungkapan sayang tiga kali sehari, lakukan perkara sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah pasti dapat awetkan asmara suami isteri.

5. BIARLAH RAHSIA

5 Petua Awetkan Asmara Ini Boleh Bawa Berkat! Suami Isteri Jangan Malu, Kena Cuba

Rasulullah SAW bersabda, “Seburuk-buruk manusia di sisi Allah SWT pada hari kiamat adalah seorang lelaki yang menceritakan hubungan dengan isterinya dan isteri yang berhubungan dengan suaminya lalu menyebar luaskan rahsia mereka.”

PENGAJARAN & TELADAN:

Rahsia dalam kain itu adalah hak eksklusif suami isteri sahaja. Dalam Islam juga tidak mengesyorkan apa yang berlaku di kamar tidur dihebahkan kepada sesiapa kerana bimbang ia akan mendatangkan aib seolah-olah membuka pekung di dada. Biarlah apa yang berlaku itu menjadi rahsia dalam simpanan anda berdua.

Jangan sesekali merendahkan martabat mahupun menceritakan kelemahan pasangan, apatah lagi memuji kehebatan masing-masing kepada sesiapa, walau dengan apa tujuan sekalipun.

Berpeganglah kepada sabda Rasulullah SAW bahawa sesungguhnya, seorang lelaki yang menceritakan hubungannya dengan isteri, dan isteri yang berhubungan dengan suaminya itu menyebarkan rahsia mereka, adalah seburuk-buruk manusia di sisi Allah SWT.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI