Hujung-hujung tahun macam ni, memang seronok kalau dapat meluangkan masa berehat dan ‘mencuci mata’. Buat pasangan yang baharu berkahwin ketika PKP,mesti belum berkesempatan nak berbulan madu, apatah lagi mengadakan masjlis resepsi.
Disebabkan kerajaan sudah membenarkan rakyat merentas daerah maka jangan lepaskan peluang ini untuk bersama keluarga. Sebelum pandemik, kita semua sibuk mencari destinasi percutian di luar negara namun kali ini apa kata kita teroka Selangor dan menikmati keindahan yang ada tanpa perlu merentas negeri!
Carpe Diem, Serendah
Carpe Diem terletak di Pekan Serendah merupakan sebuah penginapan yang membawakan konsep gaya hidup kampung. Carpe Diem adalah perkataan Latin yang membawa maksud “merebut hari”. Lokasi ini membawa anda melangkah ke pesona percutian ala kampung yang juga bertepatan sekiranya anda mencari tempat untuk menjalankan sesi latihan pasukan. Carpe Diem juga dikelilingi oleh tanaman menghijau yang subur, menjadikannya tempat yang sesuai untuk mencari ketenangan dan bersantai.
Sri Damai Resort, Kalumpang
Sri Damai Resort menawarkan penginapan berkonsepkan alam sekitar, dilengkapi dengan kolam renang dari air sungai untuk kanak-kanak, serta kolam memancing bagi mereka yang suka menangkap spesies langka seperti ikan kelah dan baung. Bukan itu sahaja, pelbagai aktiviti riadah yang menyeronokkan ada ditawarkan di sini seperti aktiviti berbasikal air dan memandu kenderaan ATV. Selain itu, terdapat ladang rusa, kambing, serta buah-buahan tempatan yang boleh dikunjungi semasa anda menginap di sini.
Resort Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang
Resort Taman Eko Rimba Komanwel ini terletak di Hutan Simpan Bukit Lagong di jalan menuju ke Pekan Rawang. Sudah namanya taman rimba, ianya pilihan yang tepat untuk anda menikmati keindahan alam semulajadi dan menghirup udara segar. Apa yang lebih menarik di sini adalah, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti menyihatkan seperti berkayak, jungle trekking, mountain bike trails dan banyak lagi sambil merakam detik-detik kegembiraan bersama orang bersayang. Ini adalah tempat yang tepat untuk menghabiskan masa hujung minggu anda dalam keindahan alam yang menghijau.
Rumah Hutan Bonda, Batang Kali
Hanya mengambil masa lebih kurang satu jam perjalanan dari Bandar Petaling Jaya, anda boleh kunjungi salah satu tarikan pelancongan di Daerah Hulu Selangor, iaitu Rumah Hutan Bonda. Ianya menampilka konsep rumah Melayu asli yang pasti akan membuat anda terpegun melihatnya. Tempat penginapan ini turut dikelilingi keindahan hutan dan alam semulajadi. Rumah Hutan Bonda juga mempunyai kawasan yang luas dan sesuai untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.
PulaiThree, Kuala Kubu Bharu
PulaiThree merupakan lokasi percutian yang terletak di Pekan Kuala Kubu Bharu, di tengah kawasan hutan hujan dan kawasan bukit milik peribadi. Konsepnya direka dengan ruang terbuka menghadap alam sekitar namun masih menerapkan unsur kelestarian. Vila yang dikelilingi keindahan alam dan suasana yang amat menenangkan ini menawarkan dua bilik tidur dengan pemandangan indah seperti gunung hijau zamrud di luar bandar. Selain itu, tempat penginapan ini yang dilengkapi dengan kolam renang dan dapur lengkap dengan set barbeku sememangnya akan memberikan pengalaman yang tiada tandingan.
Tentunya, tempat penginapan yang tersenarai di atas bakal mengubati kerinduan anda kepada keindahan alam semulajadi, namun tidak mengetepikan faktor keselesaan. Tidak dapat dinafikan lagi, Negeri Selangor sememangnya mempunyai banyak tempat penginapan yang menarik. Tempah masuk sahaja ke tempat-tempat yang telah disenaraikan di atas jika berpeluang satu hari nanti!
Di samping itu, adalah diingatkan, ianya adalah tanggungjawab kita semua untuk sentiasa berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dalam memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa, menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap, terutamanya ketika memasuki premis-premis di Negeri Selangor.
Kredit: Tourism Selangor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI