Hubungan cinta jarak jauh pasti membebankan bagi sesetengah pasangan. Rasa rindu yang cukup mendalam antara satu sama lain amat mendalam kerana jarang sekali untuk bertemu atas urusan yang tidak dapat dielakkan.
Perasaan jadi tidak menentu dan ada kalanya menimbulkan persoalan adakah si dia disana setia dan masih mencintai. Mungkin anda sendiri pernah mengalami perasaan ini hingga menjadi tidak keruan akibat rindu yang berlebihan. Jom pengantin kongsikan 5 tip pengubat rindu bagi anda yang menjalinkan hubungan cinta jarak jauh!
Biar hanya seketika pastikan anda berdua akan terus berhubung setiap kali sebelum menamatkan hari-hari anda. Skype, Google Talk atau panggilan sekadar lima minit pun memadai mahupun hanya ucapan selamat malam. Ini bukti cinta anda masih utuh buatnya.
Namun usah lakukan kerana terpaksa dan pastikan anda sentiasa ada setiap kali si dia mahu berkongsi cerita. Selagi pasangan anda masih mahu berhubung maknanya si dia masih lagi serius untuk meneruskan hubungan yang dijalin walau jarak waktu dan masa memisahkan anda berdua.
Sedangkan pasangan yang sering bersama pun kadang sukar untuk menyatakan perasaan sebenar apatah lagi mereka yang bercinta jarak jauh. Namun ada cara bagaimana anda boleh memperbetulkan situasi ini. Dr. Gary Chapman menerusi artikelnya ‘The Five Love Languages for Singles’, menyatakan cara terbaik meluahkan perasaan adalah dengan pemilihan kata dan ayat yang betul kepada pasangan anda.
Usah mudah terlarut emosi ketika menyatakan sayang atau rindu kerana itu belum tentu akan membuat pasangan anda selesa malah lebih teruk merimaskan. Apa yang boleh dilakukan, hantarkan kiriman kata-kata pujangga cinta melalui e-mel berserta lagu yang tepat dengan perasaan anda ketika itu. Hal ini merupakan salah satu saluran yang boleh anda lakukan untuk mengekspresikan perasaan kepada si dia.
Syarat pertama harus jujur dan telus. Tiada apa yang boleh kekal lama tanpa ketulusan juga ketelusan dalam mengukuhkan sesuatu perhubungan. Jika syarat ini tidak berjaya dipegang kedua-dua belah pihak maka kasih dijalin hanya sekadar di permukaan, sama ada kerana takut putus atau sekadar bermain tarik tali.
Dr. Greg Guldner, pengarang ‘Long Distance Relationship : The Complete Guide‘ menyatakan 70% daripada pasangan yang mengalami epidemik cinta sebegini selalunya gagal dalam mempertahankan perhubungan kerana tidak mampu membiasakan diri dengan perubahan yang berlaku bila berhadapan dengan situasi baru ini.
Kejutan manis buat si dia adalah perkara yang sentiasa boleh anda fikirkan. Tidak salah wang yang anda laburkan setiap kali keluar bersama dulu dikumpul dan gunakan untuk memberi kejutan dengan mengunjungi si dia yang jauh. Hal ini pasti saja akan memberi keterujaan kepada pasangan selain menjadi bukti sayang kepada si dia.
Jika masih belum mampu untuk melakukan perkara tersebut banyak kejutan lain boleh diberi seperti mengirimkan CD band tempatan kegemarannya atau membuat kolaj memori, kompilasi komunikasi anda berdua di media sosial seperti Yahoo Messenger dan jadikannya satu himpunan seakan cerpen. Pasti akan membuat si dia tersenyum kembali ketika membacanya.
Cipta hobi serta minat baru agar masa lapang yang selalunya anda habiskan bersama si dia terisi. Dekatkan diri dengan aktiviti kesukaan anda seperti membeli-belah, bersukan atau meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan anda.
Aktiviti begini mampu menukar duka sendiri anda selain memberi pengalaman berbeza ia juga pasti akan membikin si dia ingin tahu lebih lagi tentang aktiviti yang anda lakukan. Elakkan dari bersendirian dan ia boleh menyebabkan anda sentiasa teringatkan si dia. Penuhi hari demi hari anda dengan aktiviti berfaedah dan boleh menceriakan hari anda!