Setelah penat menguruskan hal kahwin , sebaiknya pengantin baru menikmati masa bersama atau dalam erti kata lain bulan madu. Bulan madu ada ruang peribadi untuk anda dan pasangan, mengenali dengannya dengan lebih intim. Ada sesetengah pasangan tidak mempunyai masa selepas kahwin terus bekerja minggu seterusnya. Lepaskan rasa tekanan dengan persiapan majlis kahwin dan kerja dengan berbulan madu.
Andainya anda mahu merancang percutian yang biasa tentunya mengambil masa beberapa bulan meneliti tentang sesuatu destinasi, tiket penerbangan, hotel serta membuat jadual percutian anda. Tetapi ini bukanlah waktu biasa dalam kehidupan anda. Ini adalah “perancangan hidup selepas berkahwin,” dan anda akan sibuk di masa akan datang. Oleh itu luangkan sedikit masa untuk merancang bulan madu anda, kerana apabila anda sudah merancangnya, anda akan lega kerana percutian tersebut adalah suatu percutian yang melegakan. Tidak perlu pergi jauh di luar Malaysia kerana nergara kita sendiri mempunyai keindahan semula jadi yang boleh dibanggakan.
Berikut antara lokasi bulan madu yang anda boleh rasai pengalaman yang berbeza;
Tanah Aina Fahad di Ulu Dong, Raub
Eko resort ini lain dari lokasi percutian sebelum ini kerana di sini pengunjung merasai sendiri kehidupan berada di hutan semula jadi, sambil menikmati kemudahan yang disediakan. Suasananya sangat indah dan mendamaikan. Bunyi air sungai mengalir, bunyi burung berkicauan dan juga dapat hirup udara segar di sekitar resort dapat anda rasai. eko resort yang mempunyai 20 khemah penginapan itu mampu memuatkan 150 pengunjung dalam satu masa. Tanah Aina Fahad turut menyediakan kemudahan bagi aktiviti lasak seperti cabaran ‘flying fox’, mengharungi sungai bersih dengan aktiviti ‘tubing’, menyusuri hutan dara yang penuh dengan pelbagai tumbuhan semulajadi melalui program ‘jungle tracking’, melawat kehidupan kampung berdekatan, barbeku, unggun api dan mandi sungai.
Tadom Hill Resort Banting
Jika anda mencari destinasi percutian yang unik dan berdekatan dengan Bandar Kuala Lumpur, Tandom Hill Resort adalah pilihan terbaik untuk anda. Dikelilingi alam semulajadi, Tadom Hill Resort ini terletak 12 minit dari Lapangan Terbang KLIA dan 45 minit dari Kuala Lumpur, menjadikan ia destinasi percutian yang sesuai kepada sesiapa yang merancang percutian pendek di hujung minggu.
Resort ini dikelilingi 40 ekar bukit batu kapur, tasik dan terselindung dari dunia luar. Resort yang bertema Eco-Pelancongan ini memberi anda pilihan penginapan, antaranya Bamboo Hut, Hammock Spheres, Gendui Chalets, Bamboo Garden Tents Site, Bamboo Lakeside Tents Site, Eco Tent Site, Astana Ninik.
Caravan Serai
Di kelilingi oleh hutan semulajadi, ladang buah-buahan, sungai dan bukit-bukau yang sejuk mata memandang. Hanya 15 minit dari Bandar Bentong. Tempat percutian yang paling sempurna untuk merehatkan diri. Ia menawarkan pelbagai jenis Caravan Suite dan Safari Tent untuk keselesaan para pengunjung. Safari Tent yang ada di Caravan Serai ini merupakan yang pertama didirikan di Malaysia. Terdapat 7 jenis khemah yang disediakan di Caravan Serai ni. Khemah di sini dilengkapi dengan katil yang terdiri daripada pelbagai saiz mengikut jenis khemah, perabot asas, kipas berdiri dan penghawa dingin. Malahan bilik mandi pun turut disediakan dalam khemah.
The Hut, Melaka
Lagi satu lokasi percutian yang berunsur tradisional melayu adalah The Hut Melaka. Rumah yang dibina daripada kayu yang dikitar semula bersama atap nipah menambah kepada suasana kampung melayu asli. Tetamu dapat menikmati pemandangan sawah padi dan jeti nelayan di Pantai Siring. Terdapat kemudahan basuh baju, memasak dan dapur yang lengkap untuk keperluan memasak. Setiap bilik dilengkapi dengan penghawa dingin, televisyen dan katil yang selesa. Datang ke sini jangan lupa menikmati ikan bakar yang terbaik di Melaka. Medan Ikan Bakar boleh dijumpai berhampiran dengan resort. TheHut hanya 25 minit sahaja dari Bandar Melaka.
Sailors Rest, Pahang
Jika anda mencari pengalaman bermalam di atas sebuah bot, anda perlu ke Sailor’s Rest, Bentong Pahang. Bot ini boleh memuatkan dua orang dan mempunyai tempat rehat dan ruang tamu yang tersendiri. Anda boleh memilih sama ada ingin menginap di boathouse, khemah atau chalet. Boleh pilih mengikut keselesaan masing-masing. Jika inginkan kelainan, anda boleh menginap di boathouse. Terdapat pelbagai aktiviti yang menarik yang boleh anda lakukan di Sailors Rest ini. Antarnya ialah mandi di sungai, waterfall trekking dan banyak lagi.
Templer Park Rainforest Retreat, Selangor
Templar Park Rainforest Retreat ini menjadi destinasi utama pilihan pelancong luar Negara yang mencari destinasi Eco Tourism yang tidak jauh dari Bandar Kuala Lumpur. Hanya 40 minit memandu dari pusat bandar, resort yang terletak di tengah-tengah hutan simpan Kancing ini memberi anda peluang untuk menenangkan diri dari kesibukan bandar tanpa berjalan jauh. Sesuai untuk percutian hujung minggu yang singkat.
Di sini, pengunjung boleh menikmati pemandangan 360 darjah sekeliling Hutan Simpan Kanching. Hanya 30 minit dari Kuala Lumpur, tak syak lagi ini antara tempat menarik untuk lari seketika dari kesibukan hidup untuk seketika. Untuk menginap di villa ini, anda boleh memilih samada mahu menginap di villa lama ataupun villa baru.
Kelebihan berbulan madu
Ia bakal menjadi momen yang istimewa
Walaupun anda bersumpah tidak semesra pasangan lain yang bermesra berpegangan tangan, jangan terkejut anda bertukar karakter bermesra seperti pasangan yang lain. Anda merasakan ia momen yang bermakna dengan pasangan- tidak perlu merasa tertekan. Nikmatilah dengan orang yang tersayang.
Anda merasakan jiwa lebih tenang dan bersemangat
Anda mungkin kerap bercuti sebelum ini tetapi tidak akan sama jika bersama pasangan. Selepas balik dari bulan madu diri kembali segar dan bersemangat apatah lagi kini sudah mempunyai pasangan hidup. Rancanglah percutian anda yang boleh menghilangkan kelelahan sebaik selesai majlis kahwin