Sesunggunya jatuh cinta itu bukanlah satu kesalahan. Ia merupakan hakikat dan fitrah yang dirasakan oleh setiap manusia yang hidup di muka bumi ini. Jika ditakdirkan tiba-tiba anda terjatuh hati, atau terpikat, atau tersuka kepada seseorang yang mana sebelumnya perasaan tersebut langsung tidak ada, maka terima dan raikannya terlebih dahulu.
Oleh sebab itulah panduan dan langkah yang betul perlu dilaksanakan agar perasaan suka, terpikat dan minat dapat dirai dengan sempurna. Setelah anda meletakkan diri anda dalam konteks yang betul dan stabil, maka barulah anda boleh ‘memandu’ fitrah tersebut ke jalan yang sepatutnya. Jom kita lihat 6 panduan dan langkah bernas ketika anda jatuh cinta dan menemukan cinta sejati!
1. HUBUNGAN DENGAN ALLAH
Ini perkara yang paling penting. Saat anda jatuh hati dan terpikat itu, bagaimana sebenarnya hubungan anda dengan Allah? Solatnya bagaimana, zikirnya bagaimana, bacaan Al-Quran dan amalan sunat yang lain di tahap mana?
Ini kerana, suara hati yang selamat adalah suara hati yang paling teguh dan kukuh hubungannya dengan Allah.
Di dalam hadith Nabi s.a.w menyebut bagaimana hati boleh menjadi hitam, gelap dan keras akibat daripada amalan dosa tanpa taubat. Justeru hati yang seperti itu bicaranya sangat bahaya. Bicaranya lebih condong ke arah kejahatan, kemungkaran dan kemaksiatan. Maka berhati-hati. Tatkala mahu mendengar suara hati tersebut, perbaiki dahulu perhubungan dengan Allah ta’ala.
2. IMAN ATAU NAFSU
Tanya kembali pada hati, apa yang membuatkan anda terpikat? Anda mungkin sukar untuk jujur dengan orang lain. Tapi anda secara hakikatnya boleh jujur dengan diri sendiri.Jika faktor rupa paras atau bentuk tubuhnya sangat dominan di pertimbangan anda, besar kemungkinan anda akan berdepan dengan jatuh hati pada banyak lagi keadaan yang lain. Maknanya, hari ini terpikat dengan Timah, esok dengan Yati pula. Lusa nampaknya Ina lebih baik, dan sebagainya.
Tetapi jika faktor budi bahasanya, atau kecantikan akhlaknya yang mendominasi, anda lebih dekat dengan zon selamat. Tinggal lagi untuk mengawal dan mengemudi hati ke landasan yang sepatutnya.
3. MASUK SECARA TERHORMAT
Dalam Islam, bab hubungan manusia sesama manusia adalah bab yang diperakui pentingnya. Tidak ada mana-mana bahagian pun dalam Islam yang mencacatkan atau menidakkan soal hubungan manusia sesama manusia, sebaliknya sangat dititkberatkan dan disertakan pula dengan pelbagai panduan dan peraturan.
Maka untuk menyambut suara hati dan memandunya ke jalan selamat, cara terbaik adalah dengan ‘masuk’ secara terhormat. Masuklah ke dalam hidupnya dengan cara yang paling baik. Bukan melalui pintu belakang. Rumah buruk macam mana sekalipun, kalau kita masuk ikut tingkap atau pintu dapur, tuan rumahnya tetap pasti merasa marah.
4. KETUK PINTU DENGAN PENUH ADAB
Sebelum masuk ke rumah orang, terlebih dahulu ketuklah pintu dan berilah salam. Kita sebagai tetamu, kalau datang dengan cara baik, insyaAllah tuan rumah juga akan layan kita dengan cara yang baik. Apa yang penting adalah kita lakukan dengan adab sebagai seorang muslim. Cara untuk ‘mengetuk pintu’ itu pelbagai. Samada sendiri atau menggunakan perantaraan seperti orang tengah dan sebagainya.
5. MENGENAL BESAR DAN LEBIH BESAR
Ketika perasaan tersebut menyesak jiwa dan mengganggu hati kita, biasanya kita terdorong untuk menganggap bahawa itulah persoalan paling besar yang perlu diatasi. Dengan apa cara sekalipun, perasaan tersebut mesti tertunai dan si dia mesti dimiliki.
Sebab itu ada yang mengistilahkan ia sebagai soal ‘hidup dan mati’. Seolahnya, kalau tak dapat akan menderita hingga mati.
Islam ternyata lebih awal menyediakan penyelesaian untuk kita. Islam mendidik kita supaya membezakan antara perkara besar dengan yang lebih besar. Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda tentang takdir : Telah diangkat kalam dan telah keringlah dakwat.
Bermakna, semua perkara telah ada ketetapannya, termasuklah apa yang sedang kita usahakan. Justeru, melipatgandakan usaha dan ikhtiar itu tidak salah, cuma perlu dikawal supaya tidak ‘mencabar’ perkara yang lebih besar iaitu TAKDIR.
Paling cantik, mantapkan dahulu iman dan keyakinan dalam diri sebelum ‘mencabar’ diri untuk tampil ‘mengetuk pintu’.
6. BAHAGIA DAN SENYUM
Dalam apa keadaan sekalipun, kata kunci untuk tersenyum dan bahagia adalah REDHA. Justeru sangatlah penting untuk memegang panduan pertama yakni soal hubungan hati dengan Allah dalam menelusuri panduan-panduan seterusnya.
Yang penting, kita yakin bahawa setiap orang ada takdirnya masing-masing. Justeru mengapa tidak kita dan mereka berbahagia dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas setiap daripada kita?
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI