Dalam menjalani hubungan suami isteri pasti ada beberapa kebiasaan buruk yang sering dilakukan. Walaupun ada ketikanya anda tahu bahawa ia salah dan boleh membahayakan hubungan namun anda masih melakukannya kerana ia sudah menjadi satu kebiasaan dalam diri anda berdua.
Namun anda harus sedar jika kebiasaan buruk ini berlarutan dan tidak diatasi dengan segera, lama-kelamaan boleh menjejaskan hubungan sekali gus membawa pada keretakan rumah tangga.
Oleh itu suami isteri, jangan sesekali anda memperlekehkan enam perkara buruk ini. Tolong atasi segera agar hubungan anda berjalan dengan penuh harmoni.
1. Sering Ulang Kesalahan Yang Sama
Ini merupakan tabiat buruk yang kebanyakan daripada kita sering lakukan dalam alam rumah tangga. Ramai suami isteri tanpa sedar melakukan kesalahan yang berulang-ulang. Walaupun kesalahan yang dilakukan itu mungkin kecil namun jika selalu dihadapkan dengan kesalahan yang sama, lama-kelamaan membuatkan pasangan rasa tertekan, geram dan fed up.
2. Tidak Menjadi Pendengar Yang Baik
Menjadi perkara yang menyenangkan dalam hubungan suami isteri apabila anda memiliki pasangan yang sanggup meminjamkan telinganya dan berusaha memahami diri anda saat anda berkongsi masalah yang dihadapi. Ini kerana setelah berumah tangga pasangan merupakan orang yang selayaknya menjadi pendengar setia anda. Bayangkan jika pasangan mengelak daripada menjadi pendengar yang baik tentu sahaja akan menyebabkan rumah tangga anda kucar-kacir.
3. Sering Perbesarkan Perkara Remeh
Tidak dinafikan ada sesetengah pasangan mempunyai tabiat terlalu fokus atau memikirkan pada masalah-masalah kecil yang akhirnya dibesar-besarkan sehingga mengakibatkan pergaduhan. Misalnya suami terlupa menyidai tuala di tempat yang sepatutnya sehingga menimbulkan kemarahan besar isteri. Ya! Mungkin anda seorang wanita yang inginkan kesempurnaan namun ada ketikanya hal-hal kecil ini tidak perlu dibesar-besarkan sehingga boleh menyebabkan berlakunya pertengkaran mulut. Jika isteri menegur suami secara berhemah agar dia tidak mengulangi kesilapan kecil itu lagi, pasti masalah ini dapat diselesaikan dengan baik. Mudah bukan?
4. Menolak Kehadiran Keluarga Atau Teman Pasangan
Walaupun pasangan sudah menjadi milik anda sepenuhnya bukan bermakna pasangan anda harus mengabaikan keluarga atau kenalannya. Harus diingatkan bahawa sebelum berkahwin dengan anda, keluarga dan kenalan merupakan orang penting yang menjadi sebahagian daripada hidup pasangan anda. Jika anda boleh menerima kehadiran keluarga mertua mahupun kenalan pasangan dengan baik tentu sahaja anda akan menjadi pasangan yang disenangi.
5. Main Gadget Berlebihan
Gadget merupakan peralatan penting dalam kehidupan manusia pada masa kini. Tidak dinafikan ia mempunyai banyak tarikan yang boleh membuatkan anda sering terleka dengan keadaan dan orang sekeliling. Perlu diingatkan bahawa kehadiran gadget yang berlebihan boleh menjejaskan hubungan suami isteri termasuk anak-anak. Tanpa sedar jika terlalu asyik dengan gadget, anda telah mengabaikan orang yang disayangi sehingga akhirnya menghilangkan kepercayaan pasangan. Tentu sahaja pasangan akan rasa curiga apabila gadget tidak lekang daripada genggaman anda dan anda sering membawanya ke mana sahaja termasuk ke tandas.
6. Tiada Pengurusan Masa Yang Baik
Perkara ini selalunya dihadapi oleh mereka yang workaholic sehingga terlupa tentang tanggungjawabnya terhadap keluarga. Sudah semestinya menjadi tanggungjawab untuk anda mencari nafkah bagi menyara keluarga namun jika terlalu mementingkan kerjaya hingga mengabaikan kehadiran anda bersama keluarga tentu ia boleh membawa pada kepincangan dalam hubungan suami isteri. Ingatlah bahawa keluarga menjadi keutamaan anda. Pastikan anda bijak menguruskan masa kerja dengan baik agar anda boleh menikmati saat bersama pasangan dan keluarga dengan seimbang.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI