Setiap pasangan yang baharu sahaja melangsungkan majlis perkahwinan pastinya ingin pergi berbulan madu. Tidak kira sama ada lokasi percutian yang dipilih di dalam mahupun luar negara, persiapan rapi perlu dibuat agar perjalanan berjalan dengan lancar.
Dalam keterujaan untuk berbulan madu, ada beberapa perkara perlu diberi perhatian. Ini penting agar mood percutian anda tidak terganggu apatah lagi percutian ini merupakan percutian pertama anda selepas bergelar pasangan suami isteri.
Jom kita lihat 6 tip mudah untuk melancarkan percutian bulan madu bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga!
1. BAWA YANG ASAS
Kebanyakan wanita cenderung membawa barang yang banyak ketika mengembara. Tidak perlu rasanya membawa semuapakaian yang ada dalam almari anda. Ingat, anda bukan ingin berpindah tapi untuk berbulan madu. Cukup sekadar membawa keperluan seperti beberapa pakaian asas harian.
Bagi lelaki pula, gajet pasti menjadi teman baik anda! Muat turun aplikasi Waze, telefon pintar dan iPad membantu melancarkan perjalanan anda dengan kemudahan jalur lebar.
2. DOKUMEN
Buat lelaki serahkan saja hal-hal berkaitan dokumen penting kepada pasangan anda. Sebagai wanita pula ini tugas anda untuk menyimpan dan membuat salinan kesemua dokumen penting semasa berbulan madu nanti. Jika destinasi yang dituju ialah ke luar negara, pastikan dokumen penting seperti pengenalan diri, pasport, visa dan lain-lain dibuat salinan agar jika berlaku kehilangan anda masih punya salinan sebagai bukti.
3. SIFAR EMOSI
Setiap tingkah anda perlu sentiasa dikawal agar tidak diulit emosi kerana bimbang akibatnya membawa kesan yang tidak baik kepada perhubungan. Sentiasa bertolak ansur dalam membuat timbang tara dan hadapi kesulitan dengan penuh sabar. Kehendak anda dan si dia mungkin berbeza namun apa yang boleh dilakukan bagi memuaskan hati masing-masing adalah dengan mengatur pelan yang mampu memenuhi kehendak masing-masing sepanjang percutian.
4. BAHAGI MASA
Tidak semestinya jika anda berbulan madu bersama pasangan menjadi kemestian untuk sentiasa bersama si dia. Jika mahu, bahagikan masa anda untuk diri sendiri! Elak daripada sentiasa bersama sepanjang masa. Apa yang boleh anda lakukan adalah biar si lelaki ambil masa untuk praktik hobi seperti fotografi atau rutin di gimnasium sementara si wanita pula membuat aktiviti shopping! Hal ini akan memberi ruang kepada anda dan pasangan melakukan aktiviti sendiri buat jangka masa pendek.
5. CUBA SESUATU YANG BARU
Sesekali bercuti berdua apa kata lari dari kebiasaan dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang jarang atau tidak pernah anda lakukan berdua. Lihat peluang yang anda boleh lakukan bersama untuk menambah pengalaman baru dalam perhubungan anda.
Jangan takut mencuba kerana bila lagi anda mahu makan makanan yang tidak boleh ditemui di tempat sendiri atau mencuba aktiviti ekstrem yang mampu menguji tahap keberanian anda dan pasangan? Jadikan trip ini sebagai satu wadah yang memberi lembaran baru dalam perhubungan anda dan si dia.
6. KEJUTAN
Buat lelaki ini masa yang tepat untuk lakukan sedikit kejutan manis. Idea ini boleh dilakukan di malam terakhir anda bersama sebelum pulang ke kota. Jadi lebih kreatif dan bijak dalam menyusun strategi agar kejutan yang diberi akan membuat si dia merasai apa yang cuba anda lakukan sebagai bukti akan kesetiaan dan sayang anda pada pasangan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI