“Kajian mendapati kebanyakan perkahwinan kali pertama yang berakhir dengan perceraian atau perpisahan adalah dalam tempoh lima tahun dan ke bawah,” jelas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun.
Perceraian, sudah tidak asing lagi apabila hal ini dibahas dalam individu dewasa kini. Apabila hati sudah tawar, semuanya nampak tak betul di mata pasangan. Beberapa kajian mendapati bahawa punca tertinggi penceraian berlaku di Malaysia adalah disebabkan oleh tujuh perkara ini.
1. TIADA PERSEFAHAMAN
Isteri tidak faham tugas suami. Suami juga tidak mahu memahami tugas isteri. Masing-masing bekerja, masing-masing penat, malah masing-masing buat hal sendiri walaupun sudah ada anak.
Jumlah wanita lebih ramai memenuhi institusi pengajian tinggi dan seterusnya semakin banyak menguasai jawatan dalam bidang pekerjaan. Pendidikan dalam rumah tangga semakin terhakis, satu puncanya apabila wanita semakin ramai diperlukan untuk keluar bekerja sedangkan lelaki pula gagal menampung keperluan membantu dalam pendidikan anak.
Dalam kata mudahnya, dunia pekerjaan kini memerlukan bantuan wanita untuk terus bergerak tetapi dunia rumah tangga memerlukan bantuan lelaki untuk terus harmoni. Apabila wanita kelihatan berjaya menampung keperluan dunia pekerjaan, tentu kemampuannya menguruskan isi rumah tangga menyusut. Ketika itulah peranan lelaki diperlukan tapi sedikit malang apabila lelaki terus terkebelakang.
Di dunia kerjaya mereka menyusut, manakala di dalam rumah tangga mereka sering gagal menampung ruang kosong yang ditinggalkan isteri bekerja. Hasilnya pergolakan pasti berlaku, rumah tangga berantakan, anak pasti terkena impak negatif dan seterusnya mendasar di dalam jiwa mereka sehingga dewasa.
Apabila tiada persefahaman, ditambah lagi jurang pendidikan antara suami dan isteri, jalan penyelesaian yang paling mudah ialah bercerai.
2. TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
Juga berkait rapat dengan tiada persefahaman antara suami dan isteri. Apabila tiada persefahaman, pasangan mula rasa bosan dan malas untuk berkomunikasi. Ini menyebabkan mereka terus meninggalkan tanggungjawab sebagai seorang suami atau isteri.
Tiada sifat tolong-menolong dalam melakukan kerja-kerja rumah bersama. Penjagaan anak diserahkan seratus peratus kepada isteri, sedangkan ia adalah tanggungjawab bersama. Apabila berlaku jurang yang besar dalam pembahagian urusan rumah tangga, isteri akan merasa terbeban dan stres dengan kehidupan alam pekerjaan dan keadaan dalam rumah sendiri.
3. KAHWIN MUDA
Apabila berkahwin muda, katakan pada umur 18 tahun, sejurus selepas SPM, pasangan itu masih lagi boleh dikatakan belum matang. Dengan suami yang mungkin masih belum ada mata pencarian yang kukuh, ia sedikit sebanyak akan memberi impak kepada keluarga.
4. CAMPUR TANGAN MERTUA
Apabila sudah berkahwin, sudah tentu keputusan mesti dibuat oleh suami isteri. Amat malang apabila mertua yang membuat segala pilihan. Ramai yang mengatakan, ibu mertua selalu campur tangan. Apa sahaja yang dilakukan oleh menantu akan dibantah. Lebih-lebih lagi menantu yang tinggal sebumbung dengan mertua.
5. KETAGIHAN DADAH
Ganja dan heroin adalah yang paling popular. Apa yang mengejutkan, ramai bakal isteri sudah tahu bakal suami mereka adalah seorang penagih dadah. Namun, mereka berfikiran bahawa suami akan berubah jika berkahwin. Percayalah, jika sekali seseorang itu merasai nikmatnya dadah, amat sukar untuk dia melupakannya.
Bayangkan jika suami gian dengan dadah, apa akan jadi kepada keluarga? Tentunya diabaikan. Maka apabila diabaikan, isteri akan menuntut cerai.
6. CURANG DENGAN PASANGAN
Curang masih lagi sesuatu yang taboo. Jika membincangkan perkara discreet hubungan suami orang dengan isteri orang, ia adalah sesuatu yang menjijikkan. Tergamak pasangan melakukan perkara keji tersebut?
Namun, ia telah menjadi barah dalam masyarakat kita. Mereka bagaikan seolah-olah tidak bersalah dengan mengadakan hubungan sulit di belakang pasangan masing-masing. Bukan sekadar lelaki sahaja, ramai perempuan juga melakukan perkara yang sama.
Jadi, apabila pasangan mengetahui perkara ini, sudah tentu perceraian adalah jalan terakhir. Siapa yang mahu tinggal dengan penzina?
7. ENGGAN DIMADUKAN
Apa salahnya jika suami ingin berkahwin lain? Ramai isteri yang tidak mahu dimadukan dan rela diceraikan. Tidak ada kajian khusus yang dilakukan setakat ini kenapa isteri enggan dimadukan. Daripada sumber-sumber tidak rasmi dan sekadar perbualan mulut, ramai isteri yang tidak mahu berkongsi suami kerana tidak mahu suami ‘celup sana, celup sini’. Nampak agak kurang sopan, tapi itulah kebenarannya. Isteri hanya mahukan suami di sisinya untuk melayan mereka secara eksklusif dan bukannya dengan perempuan lain walaupun berstatus halal.
Sumber: Sirap Limau