Apakah Rahsia Dan Hikmah Perkahwinan
1. Perkahwinan dianggap sebagai salah satu daripada sunnah para nabi dan rasul.
Firman Allah SWT maksudnya:
Demi sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutuskan beberapa rasul sebelum kamu dan Kami menjadikan untuk mereka isteri-isteri dan keturunan.
— Surah ar-Ra’di ayat ke 38
2. Kurniaan nikmat Allah kepada hamba-hambaNya agar menerusi perkahwinan akan lahir pula zuriat keturunan yang beriman dan bertakwa yang akan memakmurkan bumi Allah SWT.
3. Perkahwinan dianggap sebagai suatu ibadah yang dapat menyempurnakan setengah daripada agama seseorang, dengan dia bertemu Allah dalam keadaan suci dan diredhai.
Al-Baihaqi RA meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW yang maksud:
Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh (yang belum disempurnakan) lagi.
— Hadis riwayat ath-Thabarani (7643)
4. Galakan nikah kahwin meliputi semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang miskin.
Islam ingin mengikis rasa takut, tidak mampu memikul tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak kerana Allah menjamin rezeki mereka.
Ini diperkuat oleh hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW maksudnya:
Sesiapa yang meninggalkan perkahwinan kerana takut kemiskinan maka ia bukanlah daripada golonganku
— Hadis riwayat al-Iraqi (2/29)
5. Sebaik-sebaik jalan untuk memelihara maruah kesopanan diri seseorang ialah melalui perkahwinan.
Rasulullah SAW bersabda:
Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu bersetubuh/berumahtangga, hendaklah dia berkahwin, kerana ia paling menundukkan penglihatan dan memelihara kehormatannya. Sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah pemelihara (dapat mengekang keinginan nafsu syahwat) baginya
— Hadis riwayat al-Bukhari
6. Dapat menyuburkan perasaan keibubapaan dalam memberi perlindungan, pendidikan dan kesejahteraan kepada anak-anak.
7. Melalui perkahwinan, wujud disiplin rumah tangga melalui pengagihan tugas suami isteri, ibu dan bapa yang membawa kepada disiplin dan kesejahteraan keluarga serta masyarakat.