Kasih-sayang antara suami isteri perlu sentiasa dipupuk agar rumah tangga yang dibina kekal utuh dan harmoni. Hubungan yang dijalinkan hendaklah dijaga sebaiknya agar cinta antara satu sama lain tidak mudah pudar. Ini penting untuk memastikan hubungan suami isteri kekal dan berpanjangan.
Selalu kita dengar pasangan yang sekian lama mendirikan rumah tangga menghadapi masalah dalam perhubungan, tidak seperti saat bercinta yang penuh dengan bunga-bunga cinta dan perasaan sayang yang meluap-luap. Perkara ini mungkin terjadi disebabkan oleh perkara-perkara tertentu seperti kurangnya toleransi, komunikasi dan lain-lain lagi.
Sebelum perkara ini menjadi lebih parah, lebih baik anda mengambi tindakan sewajarnya. Ada cara yang boleh dipraktikkan untuk mengeratkan kembali hubungan cinta suami isteri yang semakin pudar. Jom kita lihat lapan cara berkesan dan praktikal ini agar hubungan suami isteri kembali berseri!
Segala permasalahan yang berlaku dalam rumah tangga hendaklah dibawa berbincang. Sekiranya ada perasaan tidak puas hati antara satu sama lain, luahkan dan jangan simpan terlalu lama. Jika tidak diluahkan, pasangan tidak tahu apa yang anda rasai.
Pertengkaran antara suami isteri adalah perkara biasa dan mustahil sekiranya tidak terdapat perselisihan faham. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Sekiranya terdapat perselisihan faham, salah seorang daripada anda haruslah beralah dan mengambil jalan untuk menyelesaikan perselisihan faham ini.
Bawa berbincang dan luahkan isi hati yang mungkin anda pendamkan selama ini. Jangan memendam perasaan marah terlalu lama kerana ia boleh merosakkan lagi hubungan anda berdua.
Bab-bab membebel ini biasanya berlaku pada isteri. Kepada isteri di luar sana, kurangkanlah membebel. Pasangan anda akan rasa bosan sekiranya setiap hari anda membebel. Malah anda sendiri pun tidak suka mendengar orang membebel, betul tak?
Suami isteri harus mengingati tarikh-tarikh penting seperti hari ulang tahun perkahwinan, hari lahir dan lain-lain lagi. Jia perlu set reminder di telefon bimbit ataupun catatkan dalam diari. Ucapan pun sudah cukup untuk menandakan yang anda ingat tarikh tersebut. Jangan pula senyap sunyi saja dan akhirnya terus lupa. Pasti pasangan anda rasa amat sedih. Masa belum kahwin punyalah ingat semua benda, tup-tup dah kahwin semuanya lupa!
Setiap hari mesti paling kurang ada satu waktu yang pasangan boleh solat jemaah bersama-sama. Contohnya Solat Subuh, Maghrib dan Isyak sebab kalau solat Zuhur dan Asar mungkin masing-masing bekerja. Solat bersama pasangan amat berkesan untuk mengeratkan hubungan suami isteri dan juga keluarga.
Ada pasangan yang terlalu sibuk dengan kerja hingga langsung tidak ada masa untuk makan bersama. Seboleh-bolehnya cubalah untuk makan bersama, tidak kira ketika makan tengah hari atau makan malam. Makan malam bersama semua ahli keluarga elok diamalkan bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Anda juga boleh memuji pasangan untuk mengambil hatinya. Tidak menjadi satu kesalahan jika anda membuka mulut untuk memuji suami atau isteri anda. Contohnya, anda boleh memuji suami tampak kacak saat mengenakan pakaian baharu yang dibelinya. Begitu juga sebaliknya. Lumrah seorang manusia suka dan merasa gembira saat ada orang lain memujinya dengan pujian yang tulus dan ikhlas.
Cemburu yang melampau boleh mengeruhkan hubungan. Anda harus mempercayai sepenuhnya terhadap pasangan anda. Jangan sesekali ada prasangka yang tidak baik sekiranya anda tidak pasti mengenai sesuatu perkara. Cemburu boleh membawa bencana dalam hubungan rumah tangga. Elakkan sifat cemburu yang melampau serta jadilah pasangan yang lebih matang dan positif.