Tiada manusia yang inginkan hubungan cinta terputus di tengah jalan. Hubungan cinta yang berkekalan dan mengecapi kebahagiaan menjadi impian dalam menuju kehidupan yang lebih sempurna. Namun, dalam usaha untuk memastikan hubungan sentiasa mekar, siapa sangka ia boleh berakhir begitu saja.

Perasaan berbunga-bunga dan cinta itu seperti pudar, ditambah pula dengan permasalahan lain yang mendatang dan menambah kerungsingan. Mungkin anda tidak sedar tabiat atau sikap jelik yang ada pada diri membuatkan hubungan tersebut berakhir. Sebelum terlambat perbaiki diri dan buang sikap tersebut agar hubungan sentiasa utuh. Jom Lihat pada 8 perangai atau tabiat ini yang menjadi punca rosaknya hubungan cinta, serta cara untuk mengelaknya.

1. KURANG KASIH SAYANG

Asyik berkepit pun tidak bagus, tapi kurang perhatian juga boleh merosak hubungan cinta. Sentuhan dalam perkahwinan amat perlu, jadikan tabiat bercumbu sebelum keluar rumah satu rutin harian. Jika anda mahu selamatkan keadaan, mulakan terlebih dulu. Berpegang tangan, berpeluk adalah antara cara untuk kembalikan cinta dalam perhubungan.

2. BERLAGAK BUJANG

Nama pun perhubungan, kenalah babitkan dua orang. Tapi, jika anda masih berlagak seperti hidup sendirian, tanpa ambil kira perasaan pasangan, bermakna anda tidak betul-betul komited pada si dia. Bila anda dalam perhubungan, anda kena beringat sama akan perasaan suami.

Adakah anda buat rancangan tanpa memberitahu padanya? Adakah anda suka berahsia daripada pengetahuan si dia? Tak bolehlah masih hidup seperti bujan tetapi masih mahukan manfaat berteman seranjang. Jika anda mahu hidup bujang, hiduplah bujang. Jika anda mahu komited dalam perkahwinan, kenalah komited pada setiap perbuatan anda, secara bersama-sama.

IKLAN

3. BERSIKAP SINIKAL DAN SUKA MEMERLI PASANGAN

Sekali-sekala sudah tentu tidak mengapa untuk bergurau nakal, tetapi bila asyik memerli dan memperlekeh, itu sudah jatuh status tidak menghormati. Perbuatan sebegini akan buat pasangan terluka dan defensif. Pastikan pasangan tahu jika ‘gurauannya’ melampaui batas.

4. TERLALU SENSITIF DAN KURANG KEYAKINAN

Tiada yang lebih melukakan daripada terasa tidak bernilai dalam hubungan cinta dan perkahwinan. Rasa kurang yakin ini lama kelamaan boleh membibit cemburu. Sukar untuk mempercayai pasangan jika dia hanya buat anda rasa tidak berharga. Jika keadaan ini berterusan, anda kena tanya pada diri sendiri, adakah ianya berbaloi untuk diteruskan?

5. TIADA MINAT DAN HOBI LAIN

Kesannya sama seperti berlagak bujang, apabila anda hanya melakukan apa yang pasangan anda minati. Anda masih perlukan hidup, teman, minat, hobi dan masa sendiri. Malah, pakar perhubungan turut berkata, dalam usaha untuk ‘bersatu’ dengan suami atau isteri, ramai yang lupa minat, hobi dan cita-cita sendiri, padahal impian anda yang itulah buat pasangan minat pada anda.

Anda perlu cuba untuk menghargai waktu untuk diri sendiri, sebab tiada peraturan mengatakan anda hanya perlu berkepit dengan pasangan 24/7. Jika anda sudah lama tidak berjumpa dengan kawan-kawan, minta izinnya dan keluarlah berjumpa mereka.

6. TIDAK JUJUR

Ini adalah ‘punca kematian’ dalam perkahwinan. Jika anda tidak dapat percaya si dia, anda tidak lagi layak berada dalam perhubungan ini. Bila anda rasa tidak dihargai, tidak dipercayai, tidak dicintai, anda sebenarnya tidak lagi didahului dalam perhubungan ini. Jika anda rasa tidak lagi percayakan si dia, tanya diri: “Kenapa? Adakah si dia buat anda tertanya akan nilai diri? Adakah si dia sedang curang?” Atau, adakah anda yang tidak jujur dalam perhubungan ini. Adakah anda yang curang? Jika ya, cari cara untuk tamatkan kitaran ini. Lepaskannya pergi. Pilih untuk jadi jujur.

7. KUAT MEMBEBEL

Ini adalah pemusnah keseronokan dalam hubungan cinta dan perkahwinan. Malah, satu laporan Wall Street Journal pernah mengatakan yang bebelan dalam interaksi di mana seorang asyik buat permintaan dan seorang lagi hanya ‘buat bodoh’ dan kedua-duanya jadi sakit hati adalah isu yang pasangan perlu lalui. Pakar berkenaan berkata, ia adalah sejenis toksik komunikasi yang boleh menenggelamkan perhubungan. Cara terbaik menamatkan bebelan adalah menyelesaikan isu berkenaan.

8. PERANGAI KOMPULSIF

Bila anda tidak gembira, anda cuba salurkan pada sesuatu atau seseorang. Ini adalah bendera merah dalam perkahwinan. Jika anda suka habiskan masa membeli-belah, makan banyak atau sehingga sanggup membuka laman pornografi setiap hari, anda telah mencapai tahap mengetepikan pasangan. Anda perlu berterus-terang kepada pasangan supaya dia tahu apa dilema yang bermain dalam fikiran.