8 Tanda Si Dia Pasangan Yang Tepat Sebagai Teman Hidup. Sebelum Kena Rembat, Baik ‘Ikat’ Dia Cepat!

Share

Lumrah manusia suka melihat akan perkara-perkara yang cantik dan menarik. Begitu juga saat memilih pasangan untuk dijadikan teman hidup. Namun, rupa paras bukanlah jaminan untuk memperolehi kehidupan rumah tangga yang harmoni dan sejahtera. Sebaliknya, hati yang suci dan ikhlas mampu menjamin rumah tangga yang lebih bahagia.

Jika anda sudah menemukan seseorang yang boleh dianggap istimewa untuk dijadikan pilihan hati, anda perlu melihat tanda-tanda yang si dia mungkin pilihan yang tepat untuk dijadikan pasangan hidup.

Jom kita lihat lapan tanda si dia pasangan yang tepat untuk dijadikan teman hidup. Jika si dia mempunyai kesemua tanda-tanda ini, jangan tunggu lagi, lekas-lekas masuk meminang ya!

1. SENANG BEKERJASAMA

Bagi anda yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, anda dan si dia perlu saling bekerjasama dalam menjayakan hubungan cinta anda. Anda dan kekasih perlu memberi kerjasama dalam melakukan suatu perkara samada perkara remeh ataupun sukar.

Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan anda pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi anda untuk hidup bersamanya. Hidup anda akan menjadi sukar jika semua tanggungjawab terletak di bahu anda.

2. BERSAHAJA

Si dia itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik.

Jika pasangan anda nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, anda boleh mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup anda yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh anda.

3. SALING MEMPERCAYAI

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila anda mempunyai rahsia dan ingin memberitahu si dia, adakah rahsia anda selamat di tangannya?

Sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani sekiranya anda yakin si dia adalah jodoh anda. Anda merasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasih anda berbanding rakan-rakan yang lain. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran.

4. TUNJUKKAN KELEMAHAN

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi si dia yang bersedia menjadi teman hidup anda, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu anda.

Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Apabila anda dan pasangan saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan anda hidup bersamanya.

5. SENTIASA JUJUR DAN TELUS

Si dia tidak kisah apa yang anda lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati anda. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Anda pasti dapat mengesyaki sesuatu apabila si dia menipu anda. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan akan menjadi milik anda.

Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada anda. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta antara anda dan pasangan. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

6. TERIMA ANDA SEADANYA

Apapun kisah silam yang pernah anda lakukan, dia tidak ambil peduli. Dia juga tidak mengambil kisah siapa anda sebelum ini. Paling penting baginya, siapa anda sekarang. Biarpun si dia tahu yang anda pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung.

Apa yang dia tahu, anda kini miliknya. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup anda.

7. MEMAHAMI DIRI ANDA

Sebagai pasangan yang baik, si dia harus memahami anda sebagai pasangan. Contohnya ketika anda sakit, dia akan bawa ke klinik. Semasa anda berduka, dia menjadi penghibur. Apabila anda mengalami kesusahan, dia sedia menghulurkan bantuan dan saat anda sedang berleter, dia setia menjadi pendengar.

Dia selalu bersama anda dalam apa jua situasi. Si dia sentiasa ada untuk anda dan bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Apabila dia sentiasa bersama anda melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup anda.

8. SOLAT ISTIKHARAH DAN TAWAKAL

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh Yang Maha Esa. Ada kalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati.

Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila anda melakukan solat Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinNya anda akan mendapat petunjuk-Nya. Jika si dia pilihan anda, buatlah keputusan sebaiknya.

Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang anda lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepada-Nya dan terus berdoa.

Published by
Fadhli Ismail