Setiap kali selesai menunaikan solat, tunggu seketika. Jika tiada urusan penting, luangkan sedikit masa untuk berzikir kerana amalan itu bakal menyelamatkan kita daripada api neraka.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 41 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang banyak dan bertasbihlah pada waktu pagi dan petang. Dialah yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikat-Nya (yang memohon keampunan untukmu) agar Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya. Dia Maha Penyayang kepada orang yang beriman.”
Dalam ayat itu, ada perkataan ‘asila’ yang bermaksud waktu selepas Asar hingga Maghrib. Selain itu, satu lagi perkataan ialah ‘bukratan’ bermaksud awal waktu Subuh sebelum naik matahari.
Maka, waktu untuk berzikir mengingati Allah yang dimaksudkan dalam ayat itu ialah selepas mendirikan solat Asar dan selepas solat Subuh.
Zikir itu hanya mengandungi tiga rangkap dan mengambil masa sekitar lima hingga 10 saat untuk membacanya sebanyak tujuh kali.
.
Daripada al-Harits bin Muslim al-Tamimi berkata, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Apabila kamu selesai solat Subuh maka ucapkanlah sebelum berbicara, Ya Allah lindungilah aku daripada api neraka (Allahumma ajjirni minannar)” sebanyak tujuh kali kerana jika kamu meninggal dunia pada hari itu, nescaya Allah menulis bagimu perlindungan daripada api neraka dan apabila kamu selesai solat Maghrib, maka ucapkanlah sebelum berbicara,
“Ya Allah lindungilah aku daripada api neraka (Allahumma ajjirni minannar) sebanyak tujuh kali kerana sesungguhnya jika kamu meninggal dunia pada malamnya itu, nescaya Allah menulis bagimu perlindungan daripada api neraka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibnu Hibbaan, At-Thabraani dan Al-Baihaqi di dalam Ad-Da’a-waat Al-Kabirnya).
Doanya cukup pendek, ringkas dan mudah dihafal. Sesiapa saja mampu membacanya dengan lancar lalu doa itu terus memanah tepat kepada objektif dan sasarannya.
Paling penting adalah usaha kita untuk kekal istiqamah mengamalkan doa itu. Doa itu menuntut kita untuk membacanya setiap pagi dan malam kerana mati itu datangnya cukup misteri.
Maka, setiap hari kita perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan seberapa banyak bekalan. Jika terlalu sibuk atau mempunyai urusan, kita masih boleh mengamalkannya sambil bergegas berjalan untuk melaksanakan tanggungjawab itu.
Selain itu, amalan lain yang tidak sepatutnya ditinggalkan adalah membaca ayat Kursi. Daripada Abu Umamah al-Bahiliy, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas solat fardu, maka tiada apa yang penghalangnya daripada syurga kecuali kematian.” (Syeikh al-Al-bani mensahihkannya dalam al-Silsilah al-Sahihah – 972)
Kata Imam al-San’ani yang bermaksud: “Kelebihan ayat Kursi ini adalah disebabkan padanya terhimpun segala usul nama dan sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-‘Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak).” (Lihat: Subul al-Salam, 297/1)
Seterusnya, amalan sunat lain yang tidak patut ditinggalkan adalah solat sunat rawatib. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang melakukan solat sunat (sunat rawatib) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam, akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga, empat rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh.” (Riwayat al-Tirmidzi, al-Nasa’I, Ibnu Majah dan Imam Ahmad)
.
Saat ini kita mungkin sedang berusaha keras membayar ansuran bulanan rumah yang dibeli. Banyak waktu dihabiskan untuk melakukan kerja lebih masa bagi mengelakkan rumah dilelong oleh pihak bank.
Namun, Allah SWT akan memberi ganjaran untuk amal yang sedikit iaitu sebuah mahligai serba mewah di syurga kelak.
Terdapat juga solat sunat rawatib yang disebut sebagai solat sunat ghairu muakkadah (solat sunat yang tidak dituntut). Salah satunya adalah dua rakaat lagi tambahan sesudah melaksanakan dua rakaat solat sunat selepas Zuhur.
Ummu Habibah iaitu isteri Nabi SAW berkata, “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menjaga empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, haram atasnya neraka.” (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai, dan Imam Ahmad)
Ada pendapat ulama seperti Imam al-Nasa’i, apabila seseorang hendak menambah dua rakaat selepas Zuhur (muakkad) dengan dua rakaat ghairu muakkad, hendaklah dikerjakan empat rakaat dengan tahiyat awal dan sekali salam (seperti pelaksanaan solat Zuhur).
Bagaimanapun, itu isu khilaf dan lakukanlah mengikut kemampuan masing-masing. Zuhur adalah waktu yang sangat singkat terutamanya bagi mereka yang bekerja.
Waktu rehat rata-ratanya dari jam 1 hingga 2 petang saja. Mungkin pada saat itu kita mahu tidur seketika (qailulah), makan, urusan bank dan melakukan urusan lain.
Apabila kita mula meletakkan solat sunat sebagai satu keutamaan, pasti kita mampu menyediakan masa untuk melaksanakannya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI