Tubuh badan yang sihat mempercepatkan anda untuk melakukan pelbagai aktiviti harian. Jika anda sering sakit mungkin disebabkan kurangnya zat di dalam badan atau dengan erti kata lain pemakanan yang tidak seimbang diamalkan. Amalkan lima pemakanan berikut untuk kekal sihat.
1.Lobak merah kaya khasiat
Lobak merah atau nama saintifiknya Dancus Coreta merupakan salah satu sayuran yang memang kaya dengan pelbagai khasiat termasuk vitamin A yang baik untuk kesihatan tubuh kita. Selain dimasak dan dicampurkan dengan sayur-sayuran lain, lobak merah juga boleh dibuat jus, bahan campuran salad, dimakan secara mentah, ataupun sebagai bahan perisa untuk membuat kek.
Lobak ini mengandungi banyak zat yang berguna di dalamnya seperti kandungan vitamin yang tinggi seperti vitamin B, C, D F, G dan K. Lobak merah juga kaya dengan beta karotena, protein, karbohidrat, kalium, natrium dan kalsium. Jus lobak merah adalah tergolong dalam kategori jus multivitamin.
Selain itu, lobak merah juga dikatakan mampu membantu mengurangkan gejala pelbagai penyakit lain seperti bagi mereka yang mempunyai kadar kolesterol yang tinggi.
Ads
2.Atasi bau badan
Masalah bau badan memang sesuatu yang memalukan. Ini kerana ia bukan sahaja membuat kita berasa tidak selesa kerana bimbang akan membuatkan orang di sekitar kita kurang senang. Namun anda tidak perlu susah hati kerana masalah ini boleh dikurangkan. Selain menggunakan haruman badan, yang bersifat sementara, anda boleh mengurangkan bau badan dengan pengambilan beberapa jenis makanan berikut:
Makan dadih – kandungan kalsium bayang tinggi dalam dadih boleh mengurangkan masalah pengeluaran peluh yang berlebihan sekali gus mengurangkan bau badan.
Minum banyak air putih – air putih bukan sahaja meneutralkan asid dalam badan yang menyebabkan badan berbau tetapi juga membantu melembapkan tubuh serta menstabilkan suhu badan
Ads
Daun pudina – daun pudina membantu meredakan ketegangan dan menjaga suhu badan. Apabila suhu badan stabil badan tidak akan berpeluh secara berlebihan.
3.Kelebihan air limau
Semasa anda makan di kedai makan, pesanlah air limau nipis atau oren. Ini kerana, minuman yang masam rasanya dapat menggalakkan pembakaran lemak di dalam badan. Tetapi perlulah dikurangkan gula atau pesan tanpa gula.
Ads
4.Putih telur kurangkan tekanan darah tinggi
Berdasarkan maklumat dari Newsmaxhealth, menerusi penelitian yang dilakukan oleh Universiti Clemson, mendapati terdapat peptida iaitu sejenis bahan yang mengandungi dua atau lebih asid amino di dalam putih telur. Ia dikatakan dapat membantu untuk mengurangi tekanan darah tinggi. Putih telur sangat bagus untuk diambil kerana tidak mengandungi kolesterol berbanding kuning telur yang mengandungi kolesterol.
5.Madu Pemanis Semula Jadi
Walau pun sudah banyak info berkaitan dengan khasiat madu, namun masih ramai yang ragu-ragu untuk memakannya. Madu kadang kala disamakan dengan gula kerana rasa manisnya. Padahal madu ialah pemanis semula jadi dan menguntungkan kesihatan jantung. Beberapa kajian menunjukkan, madu mampu mengurangi kadar kolesterol dalam tubuh.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kitaran haid wanita tidak selalunya berjalan dengan lancar. Sesetengahnya mempunyai tempoh yang tepat mengikut jadual setiap 28 hari, sesetengah wanita lagi haid mereka agak sukar diramal.
Sekurang-kurangnya 30 peratus wanita mengalami haid yang tidak teratur semasa usia reproduktif. Walaupun kebanyakan kitaran yang tidak teratur biasanya tidak mendatangkan masalah, tetapi ia kadang-kadang memberikan isyarat yang anda mungkin menghadapi masalah kesihatan.
Apakah yang dimaksudkan dengan haid tidak teratur ?
Satu kitaran haid yang normal berkitar di antara 21- 35 hari. Aliran haid dianggap tidak teratur jika ia berlaku lebih cepat dari 21 hari atau lebih lama dari 35 hari. Sekiranya terlewat berbulan bulan atau haid berlaku 2 kali sebulan ia dianggap tidak teratur.
Untuk menentukan sama ada haid anda teratur atau tidak, kira dari hari pertama haid anda sehingga hari pertama haid yang seterusnya. Ulang pengiraan ini untuk tiga bulan. Jika tarikh haid anda sangat berbeza dan tidak jatuh dalam lingkungan 21-35 hari, anda mengalami haid tidak teratur.
Punca Haid tidak teratur
Dalam banyak kes, haid yang tidak teratur adalah berkaitan dengan keadaan yang dipanggil anovulation atau tidak bertelur dan ia selalunya berkait dengan ketidakseimbangan hormon.
Haid tidak teratur di kalangan gadis belasan tahun sangat kerap terjadi. Selalunya disebabkan tahap hormon yang tidak stabil. Biasanya ia akan beransur pulih secara semulajadi walaupun mungkin memakan masa bertahun-tahun.
Haid juga boleh menjadi sangat tidak teratur di lewat usia reproduktif anda. Ramai wanita sedar bahawa mereka menghampiri menopos apabila haid mereka menjadi tidak seimbang. Apabila haid tidak datang selama 12 bulan berturut, anda dikatakan sudah menopos.
Hamil dan keguguran pula kerap menjadi penyebab kepada haid yang tidak teratur terutama sekiranya anda dalam lingkungan usia 20-40an. Pastikan dahulu anda tidak hamil dengan menjalani ujian kehamilan sebelum bergegas ke klinik doktor anda.
Faktor-Faktor lain
SENAMAN ATAU BERDIET KETERLALUAN.
Terlalu banyak bersenam boleh menyebabkan haid menjadi tidak teratur atau ia berhenti terus. Ini kerap berlaku pada ahli sukan yang berbadan kurus dan tidak berlemak. Kehilangan berat badan yang keterlaluan dari diet yang melampau boleh memberi kesan yang sama.
TEKANAN.
Tekanan perasaan yang kronik atau kebimbangan luar biasa tentang masalah tertentu boleh menyebabkan hormon anda tidak stabil seterusnya kitaran haid yang tidak teratur.
TEKANAN FIZIKAL.
Sekiranya anda baru pulih dari penyakit yang berat atau mengalami pembedahan, kitaran haid anda mungkin terjejas tetapi ia tidak memakan masa yang lama.
KAEDAH MERANCANG KELUARGA BERHORMON
Seperti Pil Perancang, Implanon atau Depo-provera boleh membuat tempoh haid anda menjadi singkat, berlaku sekali sekala atau tiada langsung untuk berbulan-bulan lamanya. Intrauterine Contraceptive Device (IUD) atau alat dalam rahim juga boleh menyebabkan haid tidak teratur.
POLYCYSTIC OVARIAN SYNDROME (PCOS).
Sindrom ovari Polisistik iaitu satu masalah perubatan yang menyebabkan sista kecil pada ovari dan mengganggu ovulasi anda. Wanita dengan PCOS biasanya mempunyai sejarah haid yang tidak teratur selama bertahun-tahun. Selain dari sukar hamil disebabkan tidak bertelur, PCOS boleh meningkatkan risiko penyakit kencing manis dan jantung.
MASALAH KETUMBUHAN DALAM RAHIM.
Fibroid rahim, polip dan endometriosis kerap dikaitkan dengan haid tidak teratur.
MASALAH PERUBATAN.
Gangguan tiroid boleh menyebabkan haid yang tidak teratur jika tahap darah hormon tiroid terlalu rendah atau terlalu tinggi. Keadaan kesihatan lain yang boleh menyebabkan kitaran yang tidak teratur termasuk penyakit buah pinggang, penyakit kencing manis dan masalah prolaktinemia.
MENYUSU BADAN.
Mereka yang menyusukan badan kerap mengalami haid yang tidak teratur tetapi haid anda akan pulih dengan sendiri sekiranya anda berhenti menyusu.
Jumpa Doktor Anda
Haid tidak teratur boleh menjadi petunjuk pertama bahawa anda mungkin mengalami masalah perubatan. Sekiranya anda mempunyai berat berlebihan dan haid yang tidak teratur bertahun-tahun lamanya anda mungkin mengalami PCOS. Kajian mendapati 10 peratus daripada wanita dalam usia reproduktif mengalami PCOS.
Anda juga perlu disaring untuk mengesan gangguan tiroid, prolaktin dan penyakit lain yang boleh dikaitkan dengan haid yang tidak teratur.
Kitaran haid yang tidak teratur juga boleh menyebabkan anda sukar hamil kerana anda tidak bertelur (ovulasi) secara semula jadi. Ujian ultrasound dan darah boleh memberikan diagnosa yang tepat terhadap masalah ini.
Rawatan Haid tidak teratur
Rawatan bergantung kepada punca kenapa haid anda tidak teratur. Jadi amat penting untuk anda berjumpa dengan doktor agar rawatan yang tepat dapat diberikan.
SUMBER : alamhamilblog.com
OLEH : Dr R Juhaidah adalah Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Columbia Asia Puchong dan mempunyai 17 tahun pengalaman sebagai Pakar.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cinta merupakan satu anugerah daripada Allah swt. yang tidak ternilai. Cinta kepada Allah dan Rasul merupakan cinta yang paling tinggi nilainya mengatasi segala cinta. Namun, Allah tidak menidakkan perasaan cinta termasuk juga cinta semasa manusia dan makhluk. Perasaan cinta merupakan fitrah seorang manusia sama ada lelaki mahupun perempuan. Persoalannya adalah bagaimana kita mahu mengurus perasaan cinta ini agar ia masih dalam lingkungan syarak yang dibenarkan oleh agama islam.
Mungkin ada hikmah mengenai apabila cinta sesama makhluk terputus di tengah jalan. Apa yang kita harus renungkan ? Pernah atau tidak kita berhadapan dengan situasi demikian atau melihat sahabat terdekat kita yang mengalami situasi yang sama ? Kadang kala ada antara kita yang sudah bertunang dan hampir ke jinjang pelamin, tetapi tetap putus akibat tidak serasi atau berbagai faktor yang lain. Jadi ini mungkin beberapa hikmah yang perlu kita renungkan apabila kita putus cinta.
1.Lebih dekat dengan Allah.
Mungkin ada perkara yang membuat kita jauh daripada Allah apabila bersama si dia. Jadi Allah sayang kepada kita dan tunjukkan bahawa si dia mungkin bukan jodoh yang terbaik buat kita. Kembalilah kepada Allah. Banyakkan berdoa dan memohon petunjuk supaya kita bertemu dengan calon yang benar-benar baik agama dan akhlaknya.
2.Mempunyai lebih masa berharga.
Sedar atau tidak ketika kita mabuk dengan dunia cinta, kita sebenarnya banyak menghabiskan masa untuk si dia. Dating, mesej, whatsapp dan segalanya adalah untuk si dia. Jadi selepas si dia sudah tiada dalam hidup kita, kita boleh gunakan masa-masa tersebut untuk kerja dan perbuatan yang lebih berfaedah.
3.Masa untuk bahagiakan ibu bapa.
Kadang kala apabila tengah mabuk bercinta, kita mengabaikan ibu bapa kita. Kita asyik berkepit dengan si dia termasuk dalam telefon atau bermesej. Masa untuk ibu dan bapa kita abaikan. Mungkin inilah masa yang terbaik untuk kita bahagiakan mereka kerana ibu bapa mungkin sudah tua dan mereka ingin bersama dengan anak-anak sebelum mereka tiada di dunia ini.
4.Menyelamatkan diri daripada pasangan yang tidak baik.
Setiap yang berlaku sudah tertulis dan ditentukan oleh Allah. Benar, kita berasa sangat sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Sentiasa berfikiran positif dengan perkara yang telah ditakdirkan untuk kita. Mungkin di sana ada seseorang yang lebih baik yang disediakan oleh Allah untuk kita. Siapa tahu kan ?
5.Bebas daripada membazir wang.
Apabila kita bercinta banyak duit yang dihabiskan untuk pasangan kita sama ada lelaki atau perempuan. Shopping bersama, lunch dan dinner bersama dan macam-macam lagi yang kita beli untuk pasangan kita. Jadi dengan putus cinta, kita tak perlu bazirkan lagi wang kepada si dia. Simpan wang anda untuk perbelanjaan masa hadapan. Siap boleh bagi ibu bapa lagi!
Putus cinta bukanlah bermaksud segala-galanya sudah berakhir seperti lagu kumpulan atmosfera, ‘berakhirlah sudah’. Kita sukakan sesuatu, padahal ia bukanlah baik untuk kita dan kita benci sesuatu padahal ia baik untuk kita. Banyak perkara yang diluar pengetahuan kita sebagai manusia. Jadi, yakin kepada Allah. Allah mungkin merancangkan sesuatu yang lebih baik untuk anda. Fikirlah secara positif.
Sumber : baitulmuslim
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Soalan: Adakah sahih suami akan menanggung segala dosa isterinya?
Jawapan:
Di dalam al-Quran banyak ayat yang memerintahkan agar setiap daripada manusia itu menjaga diri mereka dan juga orang-orang yang berada di sekitar mereka daripada melakukan maksiat atau dosa. Antara firman Allah SWT yang menceritakan perkara tersebut adalah:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka.”
Syeikh Muhammad Sayyid Thanthawi dalam tafsirnya menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar mereka menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan perkara kebaikan serta menjauhi diri daripada melakukan perkara maksiat dan ahli keluarga mereka dengan cara menasihati mereka, menunjukkan jalan yang benar kepada mereka dan menyuruh mereka melakukan perkara yang ma’ruf serta mencegah diri daripada melakukan perkara munkar. Di samping itu, Imam al-Qurthubi menukilkan daripada pendapat Qatadah dan Mujahid bahawa maksud memelihara diri adalah memelihara diri dengan menjaga tingkahlaku dan memelihara ahli keluarga pula adalah dengan menasihati mereka. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 476/14]
Berdasarkan soalan di atas, secara asalnya di dalam syara’ setiap insan itu tidak akan menanggung dosa orang lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا
al-An’am:164
Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.”
Imam al-Hafiz Ibn Kathir mengatakan ketika menafsirkan ayat ini bahawa ayat ini menceritakan perihal hari Kiamat ketika berlakunya pembalasan, hukuman dan pengadilan daripada Allah SWT. Selain itu, setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya. Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya. Dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain. Hal ini membuktikan akan keadilan Allah SWT sepertimana firman Allah SWT: [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 383-384/3]
Maksudnya: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.”
Melihat kepada ayat dan kenyataan daripada Imam Ibn Kathir di atas, jelas menunjukkan di dalam syara’ bahawa setiap insan yang sempurna akal fikirannya dan telah baligh (mukallaf), dosanya itu akan ditanggung oleh dirinya sendiri tidak kira apa statusnya sama ada dia seorang suami, isteri, ayah, ibu, anak atau selain daripadanya. Adapun, suami itu atau sesiapa sahaja akan berdosa bila mana dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya seperti menasihati isteri dalam perkara yang ma’ruf dan menghalangnya daripada melakukan perkara yang munkar. Perkara ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadith iaitu:
Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu akan ditanya berkaitan orang dibawahnya. Seorang Imam (ketua atau pemimpin) ke atas manusia adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya).” [Riwayat Muslim (1829)]
Imam al-Nawawi berkata yang dimaksudkan dengan pemimpin di dalam hadith ini sebagaimana yang dikatakan oleh ulama’ adalah seorang penjaga yang telah diamanahkan dan beriltizam dalam memperbaikkan setiap perkara yang dilakukan terutama orang yang berada dibawah penjagaannya. Jika terdapat kekurangan terhadap orang berada dibawah penjagaannya, maka dia dipertanggungjawabkan untuk mengadilinya (jika berlaku kezaliman) serta menguruskan keperluan yang diperlukannya (orang yang berada di bawah) sama ada perkara itu melibatkan agama, dunia atau mana-mana perkara yang berkaitannya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 213/12]
Selain itu juga, di dalam al-Quran terdapat firman Allah SWT yang menunjukkan bahawa lelaki merupakan pemimpin buat wanita. Antaranya:
Firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
al-Nisa’:34
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.”
Kata Syeikh al-Sa’di, maksud lelaki adalah pemimpin di dalam ayat ini adalah kaum lelaki wajib menyuruh wanita (isteri) menunaikan hak-hak Allah seperti menjaga perkara-perkara yang fardhu dan mengahalang mereka daripada melakukan perkara maksiat. Ayat ini menunjukkan tanggungjawab kaum lelaki (suami) terhadap wanita (isteri) dalam memastikan mereka menjalankannya hak-hak tersebut. [Lihat: Taysir al-Karim, 177]
Bagi menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa si suami sama sekali tidak akan menanggung dosa isterinya jika si suami itu telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Adapun, jika si isteri masih melakukan perkara maksiat setelah ditegur (dinasihati) atau si isteri melakukan maksiat di belakang suami (tanpa pengetahuan suami) maka si isteri itu tetap berdosa dan suami tidak akan sama sekali menanggung dosa-dosa tersebut. Ini kerana, tanggungjawab adalah untuk menasihati isteri kerana ia merupakan satu kewajipan yang perlu dilakukan dan perkara itulah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di Akhirat kelak jika si suami cuai dalam mendirikan hal tersebut. Untuk itu, kami tegaskan bahawa kenyataan bahawa suami akan menanggung segala dosa isteri adalah tidak benar kerana ia bertentangan dengan dalil-dalil yang telah kami sebutkan di atas.
Penutup
Kesimpulannya, setiap insan (mukallaf) akan menanggung dosanya sendiri di hadapan Allah SWT apabila tiba hari pengadilan dan setiap insan itu sama sekali tidak akan membawa atau menanggung dosa orang lain apabila dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita isteri-isteri yang solehah dan menjadikan keluarga yang terbina itu penuh dengan sakinah (ketenangan), rahmah (rahmat) dan mawaddah (kasih sayang). Amin.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nampak bahagia dan semakin jelita, pelakon Siti Saleha memberi bayangan bakal mendirikan rumah tangga dengan pereka fesyen ternama tempatan, Joshua Fitton.