Anak Gadis Meningkat Dewasa, Arni Nazira Kongsi Ciri-Ciri Calon Menantu Pilihan!

Share

Sudah lama tidak melihat kelibat Arni Nazira menghadiri majlis-majlis hiburan apatah lagi sebaik mendirikan rumahtangga pada tahun 2009. Namun kelibat Arni yang hadir di majlis Anugerah Pesona Pengantin baru-baru ini begitu menarik perhatian.

Masih cantik , tinggi lampai dan langsing, kulit putih gebu dirias sederhana dengan mengenakan solekan tipis. Cukup menawan dan tidak salah jika penulis katakan. aura pelantun lagu Cinta Antara Benua ini amat kuat. Apatah lagi sepanjang majlis, dia melemparkan senyuman manis dan ramah apabila diminta berkongsi rona kebahagiaannya kini. Wanita berusia 44 tahun ini masih seperti dulu. Mesra dan menyenangkan!


Melayari rumahtangga bahagia bersama suami tersayang, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar pada tahun 2009, Arni memberikan sepenuh perhatian terhadap rumahtangga apatah lagi selepas memperolehi zuriat. Hasil perkahwinan Arni dan Wan Mohd Hazrie, mereka dikurniakan 3 orang cahayamata iaitu Wan Muhammad Mua’dz, , Wan Ayesha Maserra, dan Wan Muhammad Mushrief. Manakala melalui perkahwinan terdahulu, Arni mempunyai dua orang puteri iaitu Puteri Aleeya Antasha, Puteri Aleefa Antasha.

Sedar tak sedar dah bergelar anak dara puteri-puteri Arni Nazira ni. Macam kembar pun ada. Semakin cantik dan ayu persis ibu mereka ketika muda. Terpesona dan tak jemu mata memandang! Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha, masing-masing kini sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej yang sama sekitar Kuala Lumpur dalam bidang event management. Disebabkan minat serta hubungan dua beradik ini sangat rapat, kedua-duanya memilih bidang pengajian yang sama.

Sebagai ibu, Arni tetap melayani anak-anak sama rata dan sentiasa berusaha menjadi ibu yang terbaik. Arni turut mendedahkan, kedua-dua puterinya itu memiliki karakter yang berbeza. Namun begitu, perbezaan itulah yang membuatkan mereka lebih rapat dan saling melengkapi.

“Memandangkan Puteri Aleeya anak yang sulung maka kami menggelarnya Kakak. Dia seorang yang lembut, kakak yang penyayang dan sangat menjaga adik-adiknya. Memang terserlah karakter ‘anak sulung’ dalam dirinya.

Puteri Aleeya juga rajin mengambil tahu tentang adik adiknya yang lain. Disebabkan itulah dirinya menjadi lebih matang, bertanggungjawab dan berdikari. Memandangkan Puteri Aleeya tinggal di asrama maka kami jarang berjumpa. Hanya pada hujung minggu jika ada masa terluang kami akan bertemu.

Manakala Puteri Aleefa pula karakternya sedikit ‘kasar’ berbanding kakaknya. Namun begitu, dia juga seorang yang sangat penyayang dengan adik-adiknya. Saya bersyukur kerana Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa mudah mendengar kata dan berfikiran matang.”

Pesona Pengantin sempat menerjah Arni dengan beberapa soalan ‘panas’ yang berkait rapat dengan dua orang puterinya yang sudah meningkat dewasa. Sebagai seorang ibu, pastinya Arni mengharapkan anak-anaknya diberikan jodoh yang terbaik dalam melayari rumahtangga. Sebagai seorang ibu, dia sentiasa mendoakan kebahagiaan untuk anak-anaknya dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.

“Anak-anak masih belajar.Tetapi InsyaAllah sebagai ibu, Kak Arni inginkan perkahwinan mereka perkahwinan yang sempurna, majlis yang meriah. Itulah doa saya sebagai seorang ibu, InsyaAllah,” ujar Arni memulakan bicara.

Ketika diajukan pula soalan mengenai kriteria bakal menantu pilihan, sambil tertawa kecil ini jawapan Arni Nazira.

“Saya serahkan pada anak-anak.Yang mana mereka rasakan baik dan sesuai dengan mereka, dan pada saya yang boleh bimbing mereka, baik, hormat orang tua, pandai ambil hati orang tua, pandai jaga anak-anak saya, InsyaAllah..Itu doa saya,” ujar Arni penuh senyuman.

Menyentuh perkembangan terbaru, ibu kepada 5 cahayamata ini mempunyai perancangan untuk memulakan perniagaan sedikit masa lagi. Melihat bisnes berkaitan dengan wanita begitu mendapat tempat di kalangan wanita, Arni turut bercadang untuk menceburkan diri dalam perniagaan tudung sedikit masa lagi.


“Segalanya masih dalam perancangan. InsyaAllah doakan yang terbaik untuk saya,” ujar Arni ketika berbicara mengenai perniagaan yang bakal diceburinya itu.

Arni atau nama sebenarnya, Arni Nazira Anuar kini bahagia bersama kehidupannya sebagai suri rumahtangga sepenuh masa. Menurutnya, dia sangat bahagia dan selesa dengan rutin hariannya sebagai isteri dan ibu. Walaupun sibuk menguruskan rumahtangga, Arni tetap mengutamakan soal penampilan diri kerana ia merupakan perkara yang penting untuk kesihatan luaran dan dalaman buat dirinya.

“Usia saya tahun ini memasuki 44 tahun ini. Saya tidak mempunyai apa-apa rahsia atau petua awet muda. Cuma saya kerap minum air masak, makan vitamin dan suka makan ulam-ulaman. serta bersenam untuk kekalkan berat badan ideal.”

Selain itu, saya memberi perhatian khusus untuk rawatan kulit wajah. Saya juga turut berkongsi tip penjagaan wajah dengan dua anak gadis yang sedang meniti usia dewasa.

“Tiada sebarang petua yang khusus cuma pesanan saya pada mereka ialah sentiasa menjaga kulit, lebih-lebih lagi di usia remaja sekarang. Kulit akan mudah bermasalah kalau tak jaga dengan betul,” kongsi Arni yang masih kekal jelita dalam usia 42 tahun. Harapan Arni buat Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa agar mereka sentiasa menjaga diri dan yang paling penting menjaga solat.

“Kalau bertemu atau sekadar berbual dalam telefon itulah pesanan utama saya buat mereka setiap hari. Kami akan video call atau bermesej di WhatsApp. Saya mendoakan mereka menjadi anak-anak yang solehah, berakhlak mulia, kental jiwanya dan tidak mudah tersasar dari landasan hidup yang sebenar, Insya-Allah. Saya mahu yang terbaik buat anak-anak, bukan saja Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa bahkan anak-anak yang lain juga,” ujar Arni seraya mengakhiri perbualan.

Published by
Rosmah Idayu