Anita Baharom Nikah 22 Disember, Dapat Restu Semua Anak-anak, Anggap Jodoh Sudah Ditetapkan Allah

Share

Selepas hampir setahun memegang status ibu tunggal, pelakon Anita Baharom sedia bergelar isteri sekali lagi. Kesungguhan bakal suami, Engku Isyamuddin Tuan Losin yang mahu menjadikannya suri hati.

Anita akan melangsungkan pernikahan dengan Engku Isyamuddin pada 22 Disember ini di Subang Jaya, Selangor. Menyifatkan jodohnya dengan bakal suami, Engku Isyamuddin sudah ditetapkan Allah SWT, Anita menerimanya dengan rasa syukur serta seikhlas hati.

Anita yang dikenali menerusi drama Dunia Baru dan Keluarga Iskandar berkata, dia juga berbincang dengan anak-anaknya lebih dulu dan penerimaan mereka masing-masing terhadap calon suami sangat baik dan positif.

ANAK-ANAK BERI LAMPU HIJAU

Karakter mudah mesra duda berusia 48 tahun itu yang disenangi anak-anaknya juga antara faktor persahabatan mereka diteruskan ke fasa pernikahan.

“Anak-anak memang rapat dengan Isyamuddin terutama putera nombor dua saya, Iskandar kerana mereka mempunyai minat mendalam dengan sukan bola sepak.

“Puteri sulung dan si bongsu pun bagi lampu hijau apabila saya memaklumkan mengenai perancangan kami mahu mendirikan rumah tangga. Sebelum ini mereka sudah beberapa kali berjumpa,” ujar Anita yang kini meniti usia 39 tahun.

“Saya pun sebelum membuat keputusan nak berumah tangga semula, ada buat solat istikarah juga dan minta pandangan kenalan yang arif dalam agama. Kata mereka, jodoh dah sampai itu perkara yang baik dan calon suami pun berstatus duda.

“Alhamdulillah, saya tak berkahwin dengan suami orang. Malah, anak-anak saya juga menerima baik dan sayang dengan Engku Isyamuddin yang saya lihat amat penyayang. Apabila anak-anak selesa dengan bakal suami, saya jadi tambah yakin,” katanya

Persiapan hari bahagia yang akan berlangsung di sebuah dewan acara di Subang Jaya, Selangor juga sudah disempurnakan dalam tempoh sebulan.

Tambahnya, tidak timbul isu cepat mencari pengganti arwah suaminya kerana ketika berkawan, mereka langsung tiada berbincang perihal hati dan perasaan.

“Jodoh ajal maut adalah ketentuan Allah dan urusan ke arah mendirikan masjid seakan dipermudahkan walaupun tarikh pernikahan dipilih pada November lalu. Apabila bakal suami ajak kahwin, saya sendiri maklumkan enggan menunggu lama.

“Persiapan termasuk urusan dokumen berjalan juga lancar. Ikut perancangan, kami mahu bernikah di masjid tetapi tukar lokasi ke dewan besar kerana mengundang 200 tetamu,” katanya.

Majlis resepsi pasangan itu akan diadakan sehari selepas akad nikah dengan mengundang seramai 500 jemputan.

Dari segi pemilihan tarikh iaitu 22.12.22, Anita, berkata, mereka sepakat memilih kerana menunjukkan nombor yang cantik selain dia dan bakal suami sama-sama menyukai nombor dua.

Ditanya detik pertemuan, Sukan Sea 2017 yang menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah mencetuskan perkenalannya dengan Isyamuddin gara-gara dia dan arwah suami ligat mencari tiket perlawanan bola sepak.

“Kebetulan waktu habis ikhtiar, Isyamuddin yang memandu kereta rasmi Sukan Sea lalu di hadapan kami. Saya dengan selamba terus bertanyakan tiket kepadanya.

“Selepas itu kami hanya ‘follow’ media sosial masing-masing. Arwah suami pun tahu tetapi setakat jadi pengikut saja sampailah dia dapat berita arwah meninggal dunia.

“Selepas edah ada beberapa kali keluar makan ditemani anak-anak hingga akhirnya bulan lalu dia menyuarakan hasrat menjadikan saya isterinya,” kongsi Anita.

Untuk info, perkahwinan Anita dengan Mohd. Ismadi dikurniakan tiga cahaya mata, Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, serta Mohamad Dhia Mikail, 8.

Suami Anita yang juga bekas penerbit program TV3, Allahyarham Mohd. Ismadi Ismail menghembuskan nafas ketika tidur pada 1 Januari lalu.

Sumber: Kosmo online dan Harian Metro

Kredit foto: Instagram Anita Baharom

Published by
Hasliza