Pelakon dan pelawak Ardini Angeline Tan berharap agar rumah tangga yang baru dibina bersama pengarah dan aktor Sabri Yunus akan kekal hingga akhir hayat. Itu doanya.
Angeline atau nama Islamnya Ardini Angeline berkata, dia percaya dengan pengalaman terdahulu, dirinya mampu untuk melayari bahtera rumah tangga kali kedua ini dengan lebih baik.
“Betul ini bukan perkahwinan pertama untuk kami berdua, saya dan suami tidak merancang apa-apa, tapi saya percaya kami berdua mampu untuk membina rumah tangga ini dengan baik dan aman berbanding rumah tangga saya yang dahulu.
“Dengan pengalaman yang saya ada dahulu dan dengan kehadiran pasangan yang lebih memahami serta menyayangi, diikuti dengan doa-doa orang ramai, peminat-peminat, semoga rumah tangga kami ini tenang dan bahagia selamanya,” kata Angeline.
Sementara itu, Sabri atau nama lengkapnya Mohd Sabri Yunus , 62, menyifatkan perkahwinannya bersama Angeline sebagai satu kenangan termahal dalam memori hidupnya.
Semoga perkahwinan ini menjadi satu perkahwinan yang mahal dalam memori hidup kami berdua.
Sehingga ke hari ini kami bergelar suami isteri, tiada satu perkara pun yang tak manis, sentiasa manis. Selama 30 tahun bersahabat dan kemudian memasuki fasa percintaan, kemanisan itu bertambah.
Pada 14 Oktober lalu, pasangan itu selamat dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza.
Sekadar info, Sabri sebelum ini kehilangan isteri, Norraya Mohd Yusuf pada 2007 akibat kanser. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Saidi, 32, Syamimi, 30, dan Syazni, 28.
Sementara itu, Angeline pula memiliki dua anak daripada perkahwinan terdahulu.
Kredit gambar: Miezipro