Sedar tak sedar dah 12 tahun penyanyi dan pelakon wanita terkenal era 90an, Arni Nazira menyepikan diri dari bidang seni setelah mendirikan rumahtangga buat kali kedua pada tahun 2009.
Arni Nazira kini bahagia bersama suami tercinta, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar yang merupakan seorang usahawan sukses. Mereka dikurniakan tiga cahayamata iaitu Wan Muhammad Mua’dz (11), Wan Ayesha Maserra (9) dan Wan Muhammad Mushrief (6).
Terdahulu, Arni Nazira pernah berkahwin dengan penyanyi rock dan pelakon terkenal, Awie pada tahun 1998 namun perkahwinan itu berakhir pada Oktober 2006. Mereka dikurniakan dua cahayamata iaitu Putri Aleeya Antasha yang kini berusia 21 tahun, dan Putri Aleefa Antasha berusia 19 tahun.
“Saya sekarang bergelar suri rumahtangga sepenuh masa menguruskan keluarga dan hal-hal rumahtangga. Semuanya saya lakukan sendiri dan tak pernah ada pembantu rumah. Sejujurnya tawaran berlakon masih ada tetapi saya menolaknya dengan cara baik.
Alhamdulillah saya sangat bahagia dan selesa dengan kehidupan sekarang, apatah lagi suami memang suka saya tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap keluarga. Dulu ada juga perancangan untuk berbisnes namun tertangguh kerana tanggungjawab terhadap keluarga lebih utama.”
Ads
12 tahun melayari bahtera rumahtangga pasti ada pasang surutnya. Sebagai isteri kena banyak bersabar, bertolak ansur dan sentiasa berbincang. Saya dan suami suka berkongsi apa jua perkara termasuk masalah. Tak sembunyi apa-apa kalau ada tak puas hati. Masing-masing kena jujur demi kebaikan bersama. Alhamdulillah rezeki saya dikurniakan seorang suami yang boleh give and take, memahami, bertanggungjawab dan sehati sejiwa.
Kalau nak tahu me-time saya hanya dengan suami. Kalau ke mana-mana pun selalu berdua atau berlima dengan anak-anak. Keluarga adalah ‘harta’ dan segala-galanya buat saya. Setiap wanita ada cara me-time masing-masing. Namun bagi saya keluarga adalah terapi. Kalau sedih atau stres saya tetap perlukan suami di sisi.
Sebagai isteri dan ibu saya sentiasa ingin menjadi yang terbaik di mata suami serta anak-anak. Begitu juga hubungan saya dengan anak-anak bekas suami iaitu Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha, kami selalu berhubung. Kalau tak berjumpa kami akan berhubung melalui Whatsapp atau video call setiap hari.
Ads
Saya mendoakan agar mereka menjadi anak-anak yang soleh serta solehah, berakhlak mulia, kental jiwanya dan tidak mudah tersasar dari landasan kehidupan yang sebenar. Seterusnya menjadi insan yang berilmu. InshaAllah.”
AWET MUDA
Beruntungnya Arni Nazira, dalam usia 42 tahun pun kecantikan dan keayuannya tidak pernah pudar. Saat ditanya apa rahsia ‘awet mudanya’ Arni Nazira tidak lokek untuk berkongsi amalannya selama ini.
“Kita wanita ni bila dah cecah usia 40 tahun dan ke atas kena beringat, jaga badan elok-elok luar dan dalam. Kerana pada usia ini badan akan mula mudah jatuh sakit. Tahap kesihatan kita dah tak sama seperti muda-muda dulu. Jadi amalkan gaya hidup sihat termasuk jaga pemakanan.
Ads
Atas nasihat ibu dan nenek saya amalkan jamu, minum air kosong secukupnya dan ulam-ulaman sejak usia muda. Alhamdulillah berkat konsisten dengan amalan itu ia telah menjadi salah satu asbab untuk kelihatan awet muda dalam usia sekarang. Paling penting kesihatan dalaman turut terjaga.
Satu lagi amalan ialah disiplin ketika berpantang. Dulu setiap kali bersalin ibu akan jaga saya sepanjang berpantang. Ibu seorang yang sangat menitikberatkan amalan berpantang. Kalau ikut cara berpantang dulu-dulu memang sangat ketat. Contohnya, cara berjalan dan makan ada pantangnya. Makanan sejuk-sejuk tak boleh ketika dalam pantang. Amalan bertungku dan ‘menyalai’ juga penting untuk kecutkan peranakan.
Arni Nazira Anuar, anak kelahiran Terengganu ini mula digilap bakatnya menerusi pertandingan nyanyian Asia Bagus 1996. Setelah bergelar penyanyi, lagu nyanyian Arni Nazira berjudul ‘Cinta Antara Benua’ mula menjadi siulan sekitar tahun 1997. Manakala filem lakonan Arni Nazira ialah Nafas Cinta (1998) dan Bara (1999).
Kredit Foto: Instagram @arninazira
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tular berita legenda dikir barat, Halim Yazid kahwin lagi dengan wanita berusia 21 tahun baru-baru ini di medsos.
Halim Yazid Kahwin Lagi
Dalam usia 64 tahun, siapa sangka pelantun lagu Anak Tupai direzekikan jodoh lagi yang mana beza jarak usia pun 43 tahun. Namun ini bukan satu halangan buat Nurul Farhana Asyikin, 21, menerima Halim Yazid.
Diijab kabul pada 8 November 2022, wanita itu tulus menerima Halim yang merupakan bapa kepada lapan cahaya mata.
Kenal Di Media Sosial
Menurut Halim yang merupakan pesara Universiti Malaya, percintaannya Nurul Farhana bermula apabila wanita itu pernah menjadi pengasuh anak sepupunya. Hubungan itu lebih erat selepas masing-masing berkenalan di laman sosial.
“Isteri berasal dari Kelantan dan merupakan peminat saya. Walaupun dia masih muda tetapi dia tetapi tahu lagu-lagu dikir barat yang saya nyanyikan,” katanya.
Perkahwinan Direstui Isteri Pertama
Pendikir barat yang berasal dari Kampung Changgai, Pasir Puteh itu menzahirkan kesyukuran perkahwinan poligami direstui isteri pertama. Namun, kedua-dua isterinya itu tidak pernah bertemu biarpun tinggal dengan jarak tiga minit sahaja di Salak Tinggi, Sepang.
“Isteri pertama dan kedua tidak pernah bergaduh dan tidak berbaik, mereka tidak berjumpa dan memang tidak bergaduh,”ujarnya yang menyambut kelahiran anak pertama bersama Nurul Farhana enam bulan lalu.
Kisah pasangan berbeza usia Halim dan Nurul Farhana menjadi perhatian para peminat. Rata-rata mendoakan agar mereka berbahagia.
Pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah atau nama komersialnya, Wany Hasrita memiliki pakej lengkap sebagai seorang penyanyi. Punya seraut wajah yang ayu serta penampilan yang sopan bertudung menjadi inspirasi kepada hijabi untuk lebih bersemangat dalam melakukan sesuatu yang diimpikan.
Memiliki suara yang lunak, mantap dan mengasyikkan, Wany berjaya memikat selera ramai pencinta lagu-lagu berentak balada. Malah buat peminat setia Wany, kebanyakan mereka tidak hanya meminati kehebatan suaranya semata-mata malah mengakui gadis ini memiliki seraut wajah yang ayu dan menawan.
Menebak tentang perasaannya ketika menyarungkan busana pengantin, akui gadis berkulit cerah ini, ada satu perasaan yang sukar diungkapkan. Pertama kali menggayakan gaun pengantin membuatkan dirinya terasa seperti tidak percaya yang dia sedang memakai gaun pengantin.
Jodoh Pilihan
Berkongsi kisah apa yang tersemat di dalam kalbu yang selama ini menjadi rahsia peribadi, ternyata seperti gadis-gadis lain yang seusia dengannya, Wany juga ingin mengecapi indahnya pelayaran alam rumah tangga. Jauh di sudut hati, sudah sesuai untuk Wany menyemai harapan untuk dirinya bertemu si dia, jodoh yang dinantikannya.
“Sesungguhnya jodoh telah ditentukan oleh Allah. Namun pilihan jodoh saya mestilah mendapat restu daripada keluarga. Restu keluarga itu amat penting untuk keberkatan ke arah membina keluarga yang bahagia. Mengenai calon suami, saya tidak kisah sama ada dia sama bidang dengan saya ataupun tidak. Saya bukanlah seorang yang terlalu selektif dalam memilih calon suami. Jika dia jodoh saya maka saya akan terima dengan hati yang terbuka.
“Jika boleh, saya mahu mengelak daripada memilih calon suami yang lebih muda daripada saya. Sebenarnya ia bergantung kepada pembawaan diri masing-masing. Yang penting cara kita berfikir dan juga bertindak. Jujurnya, tidak pernah terlintas di benak fikiran untuk saya jatuh cinta dengan lelaki yang lebih muda. Ini kerana saya mendambakan calon suami yang berumur lebih tua daripada saya iaitu sekitar lewat 20-an. Walau bagaimanapun jika sudah tersurat yang jodoh saya dengan lelaki yang lebih muda, saya terima sahaja,” ujar Wany sambil tersenyum manis mengatur pembuka kata.
Menyingkap tentang takrifan cinta, Wany punya pengertian yang tersendiri. Bagi Wany, cinta itu berkait rapat tentang sikap saling bertolak ansur dan juga memperbaiki kekurangan yang ada pada diri masing-masing.
“Tentang calon suami, biarlah atas pilihan sendiri. Bukannya saya menolak jodoh pilihan keluarga namun apabila melibatkan masa hadapan, saya lebih selesa untuk membuat keputusan sendiri. Namun begitu, jika pilihan ibu seorang jejaka yang sesuai dengan saya, apa salahnya. Yang penting perkahwinan yang saya akan bina nanti direstui oleh semua pihak,” ujar Wany penuh makna.
Pertunangan
Kata pepatah, biar mati anak, jangan mati adat. Sudah menjadi kelaziman sebelum uda dan dara disatukan, alam pertunangan merupakan tempoh untuk saling menyesuaikan diri antara satu sama lain. Apa pula pendapat Wany tentang alam pertunangan.
“Saya memilih untuk tidak melalui tempoh pertunangan kerana seperti yang kita ketahui, alam pertunangan ialah satu fasa yang amat mencabar dan penuh dengan liku-liku dugaan. Lagipun pada pendapat saya, jika alasan tempoh pertunangan itu bagi memberi peluang kepada pasangan bakal mempelai mengenali lebih rapat lagi, ia tidak relevan. Ini kerana kita hanya akan tahu sikap sebenar seseorang itu hanya apabila kita telah hidup sebumbung dengannya.
“Oleh itu saya memilih untuk terus melangsungkan perkahwinan tanpa melalui proses pertunangan. Jika ada pun majlis pertunangan, biarlah sebelum majlis pernikahan berlangsung. Ia sebagai syarat selain memenuhi permintaan ahli keluarga,” tutur Wany.
5 Ciri-Ciri Calon Suami Pilihan Wany Hasrita
1. Penyabar dengan kerenah saya.
2. Pendengar yang baik sebab saya suka bercakap.
3. Boleh membimbing saya ke arah kehidupan yang diredai oleh Allah.
4. Lelaki yang membuatkan saya selesa dan selamat bersama dengannya.
5. Berilmu agar si dia dapat mengajar saya tentang ilmu dunia dan akhirat.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hujung minggu lalu, telah berlangsung majlis resepsi sempena perkahwinan Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan suaminya Mohamed Azam Ali. Majlis tersebut telah berlangsung dalam suasana penuh meriah di Hotel Regency Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Berkonsepkan serba putih, majlis itu diadakan di luar pekarangan hotel berhampiran pantai dengan dihadiri 300 tetamu dikalangan ahli keluarga serta rakan terdekat.
Bekas personaliti penyiaran berusia 54 tahun itu bernikah dengan Mohamed Azam, yang juga ahli perniagaan, pada 2 Jun lalu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Ras Adiba merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Presiden Persatuan OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuang hak Orang Kurang Upaya (OKU).
Pasangan ini diraikan dengan acar bersiram, berinai bertemakan Bollywood serta majlis resepsi berhampiran pantai yang dimeriahkan dengan persembahan Datuk M Nasir serta Jay Jay.
“Alhamdulillah, kami dapat bersama dan disatukan, kali ini majlis dapat diadakan dengan kehadiran keluarga dan sahabat serta rakan media, saya juga bersyukur majlis dapat diadakan di kampung ayah saya di Negeri Sembilan.
“Lebih menarik adalah ramai kakitangan Bernama yang masih berkhidmat dan bersara hadir menyerikan majlis, mereka datang memberikan sokongan kepada saya dan suami, saya sangat berbesar hati, inilah silaturahim yang mesti diteruskan,” katanya.
Pasangan ini kelihatan amat mesra melayan para tetamu di majlis resepsi dan berdoa agar pernikahan itu kekal selama-lamanya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Brian McFeeters serta petugas Bernama.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain, bekas Ketua Pengarang Bernama Khairdzir Md Yunus dan bekas Timbalan Ketua Pengarang Ahmad Fuad Yahya. Bekas personaliti penyiaran seperti Zakiah Anas turut hadir dan majlis dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Datuk M Nasir serta Jay Jay.
Untuk rekod, Ras Adiba pernah berkahwin sebelum ini dan dikurniakan dua orang cahaya mata manakala Mohamed Azam juga dikurniakan enam orang anak dari perkahwinan terdahulu.
Sumber; Bernama, MStar & FB Azian Ali
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!