Sebelum pandang keburukan, kelemahan dan kekurangan mertua, pandang dulu keburukan, kelemahan dan kekurangan diri sendiri sebagai seorang menantu…Sebelum pandang keburukan, kelemahan dan kekurangan menantu, pandang dulu keburukan, kelemahan dan kekurangan diri sendiri sebagai seorang mertua…
Sebelum pandang keburukan, kelemahan dan kekurangan anak org lain, pandang dulu keburukan, kelemahan dan kekurangan anak sendiri sebagai seorang ibubapa…Sempurna ke tidak diri kita?
Jgn asyik memandang keburukan, kelemahan dan kekurangan org lain selagi kita tidak memperbaiki keburukan, kelemahan dan kekurangan diri sendiri…Perbaiki diri sendiri, kemudian baru yg lain2 akan dibaiki dgn sendirinya…
Ada wanita yang nasibnya tidak sebaik kita. Mereka dikurniakan suami kacak, baik, berkerjaya bagus, berharta dan agamanya terjaga, tetapi walaupun sudah bernikah bertahun-tahun pasangan itu tidak dikurniakan anak. Ada wanita pula, hasil perkahwinan dengan suami tercinta, dikurniakan ramai anak tetapi ekonomi mereka tidak kukuh. Tidak kurang juga wanita yang berasa tidak bahagia, walaupun dikurniakan beberapa orang anak kerana anaknya semua perempuan, sedangkan suami teringin hendak anak lelaki.
Lebih dahsyat lagi ujian Allah SWT, ada pasangan mempunyai anak lelaki dan perempuan tetapi anaknya cacat pula. Dalam hidup ini, apabila kita fokus kepada apa yang dimiliki, kita akan bersyukur. Tetapi, jika fokus kepada yang tidak ada, akan rasa kekurangan kerana asyik membandingkan diri dengan orang lain. Hasil daripada perbandingan itu, yang akan terserlah hanyalah rasa terkilan dan tidak puas hati kerana hidup tidak seindah atau sebahagia orang lain.
Ingatlah jika asyik membandingkan dan bersaing dengan orang lain, mengharapkan penghargaan manusia dan sentiasa fikir apa orang kata, hidup tidak akan tenang. Demikianlah permasalahan rumah tangga, jika tidak berpunca daripada anak, mungkin daripada sikap suami atau isteri sendiri. Apabila kita berhadapan dengan masalah, kita tidak perlu cari punca masalah. Carilah segera penyelesaian masalah dan pada masa sama cari jalan untuk menguatkan jiwa supaya tabah menghadapi serta berhadapan masalah atau musibah.
Analoginya, apabila susu tertumpah di atas meja adakah kita akan segera mengambil kain dan mengelap bagi mengelak susu tumpah ke lantai yang menyebabkan banyak lagi tempat perlu dibersihkan. Atau kita bising-bising mencari siapa dan bagaimana susu itu tertumpah? Fikirkan mana satu pilihan perlu diambil. Dalam kehidupan rumah tangga, cabaran sering ditemui ialah isteri berasa dirinya tidak dihargai, tidak dilayani dengan baik dan tidak mendapat kasih sayang daripada suami. Andai berhadapan masalah ini, pertama, tanyalah diri adakah kita telah melayan suami dengan baik?
Kita tidak akan membersihkan jiwa selagi hanya sibuk melihat keburukan dalam diri orang lain. Salah satu cara Allah SWT memberi kebaikan atau hidayah kepada seseorang adalah apabila dia sibuk melihat kesilapan diri dan melihat kebaikan orang lain hingga tidak sempat melihat keburukan orang. Jika hendak mencari kesilapan suami tentu kita akan temui banyak kesilapannya kerana kita akan dapat apa yang difokuskan. Tetapi jika kita muhasabah mencari kekurangan diri, akhirnya kita akan dapat menerima suami seadanya dan menemui banyak kebaikan suami untuk disyukuri.
Cabaran seterusnya biasa dihadapi isteri adalah berhadapan dengan suami yang ego. Hakikatnya, suami adalah ketua keluarga dan kerana itu perlu mempunyai ego tetapi janganlah berlebihan keegoan hingga menggugat hubungan suami isteri. Tanda orang yang tinggi sifat egonya, suka marah, cakap semua hendak betul dan panas baran. Orang yang marah kepada dirinya akan marah kepada orang lain. Kemarahan keluar daripada hati yang suka marah. Oleh itu, perlu pastikan kemarahan disebabkan oleh apa dan kepada siapa.
Orang yang ego sebenarnya kurang keyakinan diri dan mempunyai sejarah hitam semasa kecil yang mempengaruhi kehidupan dewasanya. Isteri berhadapan suami yang berimej negatif perlu menghargai dan melayan suami dengan kasih sayang. Puji dan hargai kehadirannya dalam hidup kita, sebut selalu kebaikannya. Tukar fokus kepada mencari kebaikan suami. Tonjolkan kebaikan, jangan sengaja mencari dan mengungkit kelemahan suami. Ramai yang suka menghukum berdasarkan perkara yang lepas.
Akaun emosi suami akan melonjak tinggi apabila suami mendapat kasih sayang dan penghargaan daripada orang terdekat dengannya iaitu isteri. Dalam proses hendak mengambil dan menambat hati suami, jangan menghukum atau bersangka buruk kepada suami. Sebaliknya, berterus terang dan cakap dari hati ke hati apa yang patut atau tidak patut dilakukan. Semarakkan rasa cinta dan jadilah isteri yang sentiasa bersyukur serta menghargai kehadiran seorang lelaki bergelar suami.