Hubungan

Atikah Suhaime Sudah Bertunang, Bakal Disatukan Dengan Datuk Lokman Teh

Share

Sampai sudah jodoh pelakon kelahiran Singapura, Atikah Suhaime yang sudah bertunang dan bakal berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh di Kuala Lumpur pada 21 Januari depan.

Pelakon yang dilihat berambut panjang sewaktu majlisnya, makin berseri dan cantik dengan tubuh slim selepas tular dengan video makanan sihat yang diamalkan dalam rutin hariannya.

Atikah Suhaime Sudah Bertunang

Menurut Atikah, 33, momen paling dinanti-nantikannya ialah majlis akad nikah yang bakal menyaksikan dia akan bergelar isteri secara sah kepada Lokman.

“Alhamdulillah saya sudah bertunang Disember tahun lalu, cuma baru kongsi hari ini.

“Perasaan saya bercampur-baur ketika ini. Ditambah pula saya orang Singapura dan berkahwin dengan orang Malaysia, rasa itu sukar untuk diterjemahkan.

“Saya pula seorang yang rapat dengan keluarga di Singapura, jadi memang rasa sebak sebab selepas ini prioriti adalah suami. Insya-Allah saya akan cuba membiasakan diri,” katanya.

Pernikahan Akan Berlangsung Di Singapura

Mengulas lokasi pernikahan yang diadakan di Kuala Lumpur dan bukannya di Singapura, dia menjelaskan perkara tersebut adalah atas persetujuan bersama kedua-dua belah keluarga.

“Majlis perkahwinan memang sudah dirancang di Kuala Lumpur dan menghimpunkan kedua-dua belah keluarga.

“Kami memilih Kuala Lumpur juga kerana keadaan kesihatan nenek Lokman yang kurang sihat.

“Insya-Allah esok saya akan adakan kenduri marhaban pengantin di kediaman di Singapura,” ujarnya.

Berlakon Ikut Keizinan Suami

Dalam pada itu, dia yang popular menerusi drama Dendam Cinta Arissa itu memberitahu, setiap tawaran lakonan perlu mendapat keizinan suami selepas berkahwin kelak.

“Isu kerja juga antara perkara perlu disesuaikan dengan status sebagai isteri nanti.

“Sebelum ini suka hati nak terima mana-mana tawaran dan hanya berbincang dengan pengurus tetapi selepas ini perlu minta pandangan suami serta minta izin.

“Bakal suami memang tidak halang saya berlakon tetapi setiap watak dan jadual perlu ikut kesesuaian,” jelasnya.

Terdahulu, hubungan Atikah atau nama penuhnya Nur Atikah Mohd. Suhaime dengan Lokman bukan lagi rahsia dan dakwaan mereka bakal mendirikan rumah tangga tercetus selepas dia memuat naik foto hadir ke kursus kahwin sekitar November lalu.

Published by
Nadia