Ketika berlaku pergaduhan dengan suami, dia ada menyatakan, “Awak nak sangat bercerai boleh, tunggu anak ini besar sikit (rujuk anak kami berusia empat tahun), tengok macam mana…”

Kini anak kami sudah berusia lima tahun. Bagaimanapun, kata-kata suami supaya menunggu sehingga anak besar itu tidak dinyatakan berapa usianya.

Adakah jatuh talak apabila kenyataan cerai seumpama itu dilafazkan oleh suami?

Anak kami juga sudah memasuki prasekolah. Adakah boleh dinilai anak sudah besar seperti dinyatakan suami itu boleh menyebabkan jatuhnya talak atau selepas anak tamat sekolah kelak iaitu ketika dia berusia 18 tahun?


“Awak Nak Sangat Bercerai Boleh, Tunggu Anak Ini Besar Sikit” Adakah Jatuh Talak?

Setiap ungkapan bermaksud cerai atau talak perlu diteliti dari aspek rukun dan syarat talak. Prosedur itu biasanya akan dilakukan Mahkamah Syariah ketika mendengar permohonan mengesahkan lafaz talak.

Mahkamah Syariah bertanggungjawab menyelesaikan setiap urusan dan masalah yang timbul dalam perkahwinan orang Islam di Malaysia.

Sebarang kemusykilan menyentuh talak hendaklah segera dirujuk kepada Mahkamah Syariah untuk diberi penjelasan dari segi hukum syarak.

Merujuk kepada persoalan mengenai lafaz yang wujud di dalamnya perkataan cerai, adakah ia benar-benar lafaz cerai dilafazkan suami terhadap isterinya? Adakah lafaz ini sah dan menjatuhkan talak?

Bagi merungkai persoalan ini, lebih baik kita fahami apakah lafaz cerai yang boleh menggugurkan talak.

Talak atau cerai ialah pembubaran ikatan perkahwinan dengan lafaz talak atau seumpamanya berdasarkan al-Quran, sunah dan ijmak ulama.

IKLAN

Perceraian boleh dilakukan dengan lafaz sarih (jelas) dan lafaz kinayah (sindiran). Begitu juga perceraian boleh dilakukan dengan talak raj’ie atau talak ba’in.

Syeikh Shamsuddin Muhammad di dalam Kitab al-Iqna’ jilid 2, halaman 287, dalam bab ‘al-Talaq’ menyebut rukun talak terbahagi kepada lima iaitu sighah (lafaz talak), mahal (orang yang ditalak atau isteri), wilayah (kekuasaan), qasad (niat) dan mutallaq (pentalak).

Persoalan sama ada gugur ataupun tidak talak yang dilafazkan itu bergantung kepada rukun dan syarat rukun sudah dipenuhi atau tidak.

Rukun pertama adalah berkaitan ‘mutallaq’ iaitu suami. Disyaratkan ke atas suami mestilah seorang mukallaf sebagaimana yang ditulis di dalam Kitab al-Iqna’ jilid 2, halaman 287 yang menyatakan: Dan disyaratkan pada orang yang menjatuhkan talak itu walaupun dengan lafaz taklik, mestilah seorang yang mukallaf, maka tidak sah talak orang yang bukan mukallaf.

Ini berpandukan kepada hadis yang bermaksud, “Diangkat qalam (tidak dikira bersalah) seseorang itu kerana tiga perkara iaitu orang yang gila sehingga ia sedar, orang yang tidur sehingga ia bangun dan kanak-kanak sehingga ia baligh.”

Dikecualikan dalam hal talak ini orang yang mabuk. Maka sah talak yang dilafazkan oleh orang mabuk sebagaimana dinyatakan di dalam Kitab Raudhah.

Rukun seterusnya adalah berkaitan wilayah iaitu kekuasaan. Seorang suami berkuasa penuh untuk menjatuhkan talak ke atas isterinya.

IKLAN

“Awak Nak Sangat Bercerai Boleh, Tunggu Anak Ini Besar Sikit” Adakah Jatuh Talak?

Kekuasaan juga membawa maksud tidak dipengaruhi atau dipaksa oleh mana-mana pihak dengan sebarang ugutan atau ancaman.

Rukun yang berikutnya adalah berkaitan sighah iaitu lafaz talak yang dibuat oleh perayu dan juga qasad atau niat untuk melakukan talak.

Terdapat dua jenis talak iaitu yang nyata dan sindiran. Talak yang nyata itu ada tiga lafaz iaitu firaq (cerai), saraah (lepas) dan talak yang nyata (sarih) yang tidak lagi memerlukan niat.

Lafaz cerai dengan perkataan talak seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 229 yang bermaksud: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk) dan memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

Lafaz sindiran atau kinayah adalah lafaz yang membawa maksud talak dan juga maksud selain talak.

IKLAN

Bagaimanapun, kemungkinan makna talak adalah lebih kuat daripada makna lain.

Merujuk kepada persoalan minggu ini, lafaz yang dibuat suami seolah-olah bermaksud talak tetapi jika diperhalusi semula, terdapat pergantungan kepada syarat iaitu tunggu anak besar (tanpa kenyataan jelas apa maksud besar itu di sisi suami).

Ayat terakhir lafaz itu juga menyebut: “Tengok macam mana.” Syarat talak bergantung kepada keadaan anak itu tidak jelas dan hanya suami yang tahu maksud dan niat beliau menyatakan sedemikian.

Sehubungan itu, suami perlu jelaskan apa maksudnya pada ayat atau syarat anak berkenaan.

Seterusnya, suami juga menggantungkan syarat anak itu besar dan tengok macam mana, seolah-olah suami perlu membuat pertimbangan semula mengenai perceraian yang diminta isterinya.

Kesimpulannya, lafaz cerai yang didakwa itu adalah salah satu lafaz berbentuk sindiran atau kinayah manakala rukun lain seperti suami, isteri dan wilayah sudah jelas.

Namun, dari segi rukun sighah, niat itu tidak jelas dan perlu diterangkan suami.

Puan dialu-alukan untuk mendapatkan pengesahan daripada Mahkamah Syariah berhubung lafaz yang dibuat suami.

Sekurang-kurangnya kedua-dua pihak mendapat penjelasan dari segi hukum yang lebih tepat dan menjadi panduan untuk masa hadapan.

Penulis ialah peguam syarie

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI