Awas! Take Note Tingkah Laku Yang Boleh Rosakkan Hubungan Suami Isteri

Share

Setiap suami isteri pastinya menginginkan hubungan yang berkekalan buat selamanya. Hubungan yang dijalin perlulah dijaga dan dipelihara untuk memastikan tiada persengketaan boleh tercetus. Namun, siapa boleh menjangka perkara yang mendatang sekali gus membuatkan perasaan cinta kian memudar.

Mungkin anda tidak sedar bahawa perangai dan tingkah laku anda mahupun pasangan mampu membuatkan hubungan cinta menjadi rosak. Ditambah pula dengan permasalahan lain yang tiada kaitan, pastinya mampu menambahkan kerunsingan.

Awas, jika dalam hubungan ada lapan perangai dan tingkah laku Ini, baik elakkan segera kerana jika tidak diatasi boleh menjadi punca rosaknya rumah tangga.

1. BERLAGAK SEPERTI ANDA MASIH BUJANG

Nama pun dalam perhubungan, haruslah ia membabitkan dua orang. Tapi, jika anda masih berlagak seperti hidup bersendirian tanpa mengambil kira perasaan pasangan, boleh buat hati pasanagn terguris. Bila anda dalam sesebuah hubungan, anda haruslah ingat sama dengan perasaan pasangan.

Adakah anda buat rancangan tanpa memberitahunya? Adakah anda suka berahsia daripada pengetahuan si dia? Tak bolehlah anda berlagak hidup seperti bujang tetapi masih mahukan manfaat berteman seranjang. Jika anda mahu hidup bujang, hiduplah bujang. Jika anda mahu komited dalam perkahwinan, kenalah komited pada setiap perbuatan anda, secara bersama-sama.

2. TERLALU SENSITIF DAN KURANG KEYAKINAN

Tiada yang lebih melukakan daripada rasa tidak bernilai dalam hubungan. Rasa kurang yakin ini lama-kelamaan boleh membibitkan perasaan cemburu. Sukar untuk mempercayai pasangan jika dia hanya membuatkan anda rasa tidak berharga. Jika keadaan ini berterusan, anda perlu tanya diri sendiri, adakah ia berbaloi untuk diteruskan?

3. HANYA BERTANGGUNGJAWAB PADA KEWANGAN SENDIRI

Isu wang memang antara cabaran terbesar dalam perkahwinan. Jika anda atau suami berterusan berbelanja tanpa memikirkan ia adalah sebahagian daripada keperluan keluarga, mulalah institusi perkahwinan akan retak dan berantakan. Ini sama kes seperti di atas, berlagak bujang.

4.KURANG KASIH SAYANG

Asyik berkepit pun tidak bagus, tapi kurang perhatian juga boleh merosakkan hubungan. Sentuhan dalam perkahwinan amat perlu, jadikan tabiat bercumbu sebelum keluar rumah seeloknya dijadikan rutin harian. Jika anda mahu selamatkan keadaan, mulakan terlebih dahulu. Berpegang tangan dan berpelukan adalah antara cara untuk mengembalikan cinta dalam perhubungan.

5. BERSIKAP SINIKAL DAN KUAT MEMERLI PASANGAN

Sekali-sekala sudah tentu tidak mengapa untuk bergurau nakal, tetapi bila asyik memerli dan memperlekehkan pasangan, itu sudah bersikap tidak menghormati hati dan perasaannya. Perbuatan sebegini akan membuatkan pasangan terluka dan defensif. Pastikan pasangan tahu jika ‘gurauannya’ itu melampaui batas.

6. TIDAK JUJUR

Ini adalah ‘punca kematian’ dalam perkahwinan. Jika anda tidak percaya kepadanya, anda tidak lagi layak berada dalam perhubungan ini. Bila anda rasa tidak dihargai, tidak dipercayai dan tidak dicintai, anda sebenarnya tidak lagi didahului dalam perhubungan ini.

Jika anda rasa tidak lagi percayakan si dia, tanya diri: “Kenapa? Adakah si dia buat anda tertanya akan nilai diri? Adakah si dia sedang curang?” Atau, adakah anda yang tidak jujur dalam perhubungan ini. Adakah anda yang curang? Jika ya, cari cara untuk menamatkan kitaran ini. Lepaskannya pergi. Pilih untuk menjadi jujur.

7. KUAT MEMBEBEL

Ini adalah pemusnah keseronokan dalam sesebuah hubungan. Laporan Wall Street Journal pernah mengatakan yang bebelan dalam interaksi di mana seorang asyik buat permintaan dan seorang lagi hanya ‘buat bodoh’ serta kedua-duanya jadi sakit hati adalah isu yang pasangan perlu lalui.

Kata pakar berkenaan, ia adalah sejenis toksik komunikasi yang boleh menenggelamkan perhubungan. Cara terbaik menamatkan bebelan adalah dengan menyelesaikan isu berkenaan.

8. SEMUA PERKARA DISAMPAIKAN MENERUSI TEKS

Teknologi dan media sosial sudah menjadi makanan harian dalam masyarakat. Namun, ia juga adalah punca ‘kematian’ banyak perhubungan. Dua orang yang tinggal serumah langsung tidak bercakap, maka matilah komunikasi.

Letak telefon ke tepi, tutup komputer dan duduk bersama apabila makan malam atau bersiar di kawasan kejiranan. Luangkan masa untuk kongsikan aktiviti harian anda. Status sosial anda boleh buat kemudian, ia takkan ke mana-mana pun. Tapi pasangan anda boleh mengosongkan rumah jika anda tidak memberikan perhatian kepadanya.

Published by
Fadhli Ismail