Pinggang ramping bak kerengga memang menjadi impian ramai wanita. Masalahnya realiti seorang wanita, suka makan tapi malas untuk bersenam. Bagaimanalah hasrat untuk memiliki pinggang ‘secekak’ mampu menjadi kenyataan.
Jalan singkat yang selalu kaum wanita ambil ialah dengan memakai bengkung. Dengan pemakaian bengkung, tubuh kelihatan ‘terbentuk’ jadi tak perlulah hendak bersenam dan menahan nafsu makan.
Melalui satu perkongsian Public Health Malaysia isu tentang pemakaian bengkung di utarakan.
Lebih ketat, lebih bahaya “Tengok, makcik sekarang dah ada pinggang.” Semalam terlihat fyp promosi pemakaian bengkung. Tak cukup satu lapisan, ada satu lagi lapisan bengkung untuk lebih ketat.
Ramai yang sangka dengan pemakaian bengkung/korset akan memperbaiki postur anda, hakikatnya pemakaian korset ketat untuk jangka masa panjang akan akibatkan otot belakang tubuh menjadi lemah dan memburukkan masalah sakit pinggang. (Melainkan dengan nasihat doktor untuk pesakit tulang belakang)
Pemakaian korset juga akibatkan tulang rusuk dihimpit dan kapasiti paru-paru berkurangan sebanyak 30-60%! Untuk jangka masa panjang akan berlaku radang di dalam paru paru yang menyebabkan masalah pernafasan kronik.
Sistem penghadaman akan terhimpit menyebkan asid dari perut naik ke esofagus menyebabkan gejala GERD. Bayangkan, jika terlalu ketat, saluran darah ke organ penting akan terganggu. Apa akan terjadi pada buah pinggang dan hati?
Anda mungkin memakai korset untuk kegunaan majlis majlis tertentu dan untuk jangka masa pendek sahaja (no problem setakat nak pakai kebaya). Untuk memakainya dalam masa yang panjang, ia adalah satu penderaan dan penganiayaan kepada tubuh yang sangat menyedihkan.
Tiada jalan singkat untuk mendapatkan tubuh yang langsing dan ramping. Hanya dengan menjaga pemakanan dan senaman, barulah bentuk badan impian menjadi kenyataan.
Sumber: Public Health Malaysia Kredit foto (top image): Pexels