Pasangan yang tidak setia boleh mengundang pelbagai masalah dan mengakibatkan hubungan berentakan hingga tidak menemukan jalan penyelesaian. Masalah orang ketiga sering dikaitkan dengan masalah utama dalam perhubungan cinta sama ada yang sedang menjalin hubungan cinta mahupun yang sudah mendirikan rumah tangga.
Namun, adakah anda sedar tanda-tanda kekasih atau pasangan mula curang dengan anda dan mempunyai orang ketiga dalam hidupnya? Mungkin sukar untuk anda menghidu perbuatan pasangan anda kerana sikapnya yang bijak dalam menyembunyikan perkara tersebut.
Oleh itu, Pesona Pengantin kongsikan 10 tanda utama pasangan anda ada pengganti atau orang ketiga dalam hidupnya.
1. PERUBAHAN TINGKAH LAKU ATAU MINAT
Si dia sudah tidak selalu mesra dan manja dengan anda seperti dahulu. Bualan di telefon juga dia lebih banyak berdiam diri. Semasa keluar bersama, si dia kurang peka dengan apa yang anda bualkan dan selalu dengan memeriksa telefon bimbitnya. Atau si dia menunjukkan minat kepada sesuatu benda yang tidak padan dengan hobi beliau atau pun anda sendiri misalnya tiba-tiba si dia suka menonton bola, atau minat muzik rock metal. Boleh jadi ada insan lain yang mempengaruhi dia.
2. CEPAT MARAH
Ada sahaja yang tidak kena dibuatnya. Bahkan sudah mula berani melontarkan kemarahan di hadapan khalayak ramai. Tidak seperti pada awal perkenalan, segalanya sudah mula dingin dan mudah emosi dengan sesuatu perkara. Bila ditanya, dimarahi pula.
Setibanya peringkat sebegini, boleh dikatakan peratusannya tinggi yang si dia mempunyai kekasih lain di luar sana. Cara terbaik untuk menyelesaikannya adalah duduk dan berikan penjelasan akan status hubungan kalian agar segalanya boleh diselesaikan dengan cara matang dan dengan baik.
3. GELISAH TAK TENTU FASAL
Si dia asyik memandang jam tangan seolah-olah ada perkara yang lebih penting. Terlalu kerap sehingga anda terganggu dengan gelagatnya yang tak ubah seperti cacing kepanasan. Ataupun apabila telefon bimbitnya berdering, segera dia berlari anak ke tandas untuk menjawabnya. Agak jelas bukan?
4. MULA TIDAK AMBIL PEDULI
Jika sebelum ini si dia sering membawa anda keluar menjamu selera, membawa anda ke klinik ketika jatuh sakit dan banyak lagi. Namun kini segalanya tiada lagi. Tatkala di tanya sering sahaja jawapannya adalah sibuk bekerja. Mungkin ya, mungkin juga ada sesuatu yang si dia cuba sembunyikan. Cuba selidik dan sebaiknya perhatikan perlakuan serta gerak-gerinya agar tidak mengundang kekecewaan di kemudian hari yang hanya diketahui akan kebenaran curang itu melalui buah mulut orang.
5. BERPURA-PURA
Bagi menutup kesalahan yang dilakukan, majoriti mereka yang curang terhadap pasangan licik dalam memainkan watak setia ketika bersama. Kemungkinan ramai ada yang ingin menutup syak yang mula dihidu dengan memberikan hadiah atau kejutan kepada pasangan mereka. Namun, jangan mudah berburuk sangka kerana takut boleh merosakkan hubungan kalian. Jadi, selidik dengan teliti terlebih dahulu.
6. TERSASUL SEBUT NAMA PANGGILAN LAIN
Selama ini, anda dan sang kekasih membahasakan diri ‘papa-mama’. Tapi kali ini si dia kerap kali tersasul memanggil anda dengan panggilan ‘baby‘ atau ‘sayang’. Mungkin si dia telah terbiasa memanggil seseorang dengan nama itu hingga nama panggilan istimewa anda pun boleh tertukar.
7. MENGELAK JIKA DIAJAK BERBINCANG
Tatkala diajak duduk untuk berbincang perihal hubungan kalian yang kian menegang, si dia asyik memberi pelbagai alasan untuk mengelak. Selalu sahaja menukar topik yang cuba anda tujukan. Mungkin si dia sudah mula bosan dengan perhubungan kalian, mempunyai teman lain atau mungkin juga si dia mempunyai masalah lain di pejabat. Selidik dan perhatikan gerak gerinya jika si dia tidak mahu bawa berbincang kerana mungkin ada sesuatu yang si dia cuba sembunyikan.
8. MEMBESARKAN MASALAH KECIL
Si dia sering merungut akan masalah yang remeh-temeh seperti memakai baju yang bukan warna kegemarannya atau lain-lain perkara biasa yang kadangkala sampai tidak masuk akal.
9. TIDAK MENGHARGAI PEMBERIAN ANDA
Hadiah anda ketika hangat bercinta yang dahulu menjadi harta paling berharga kini hanya disedekahkan saja kepada adik dan kawan si dia ataupun dibuang. Anda juga perasan yang couple ring pun sudah jarang tersemat di jari manisnya.
10. TIDAK MENGHUBUNGI ANDA
Waktu hangat bercinta dahulu, si dialah yang sering menelefon anda. Resah dan tak senang duduk katanya jika seharian tidak mendengar suara anda. Tapi kini, nak mendapat SMS darinya pun susah, apatah lagi menelefon. Malahan anda pula yang terpaksa menelefonnya dahulu, itupun nasib baik jika si dia sudi menjawab panggilan tersebut.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI