Cemburu adalah perkara yang biasa yang dialami oleh setiap pasangan bercinta. Sikap cemburu menunjukkan kasih sayang seseorang terhadap orang yang dicintainya. Namun, sikap cemburu yang berlebihan boleh menjejaskan sesebuah perhubungan itu.
Cemburu itu boleh tetapi ia perlu berpada-pada. Jangan sampai pasangan anda merasa bosan dengan sikap cemburu yang tidak berasas. Kenalpasti adakah anda seorang yang kuat cemburu dalam hubungan cinta?
Jom kita lihat 7 tanda ini!
1. TERLALU MASUK CAMPUR
Jika pun kekasih anda mempunyai kalangan teman yang asyik menyusahkan, jangan pula anda menghasut agar dia menyingkirkan rakannya dari hidup. Anda sendiri bukanlah terlalu baik untuk berkata begitu. Berbincang secara profesional dengannya dan biar dia yang menentukan hidupnya sendiri.
2. TIDAK BERI RUANG
Bagi lelaki, ruang untuk diri sendiri adalah penting. Dia juga perlu masa untuk bersama kawan lelaki lain untuk melakukan aktiviti mereka seperti bersukan dan lepak menonton perlawanan bola sepak. Jangan menyekat aktiviti yang suka dilakukannya. Berikan dia ruang untuk merasa sedikit kebebasan dan melakukan perkara yang disukainya.
3. SUKA MENYUSAHKAN
Lelaki sememangnya suka jika wanita kesayangan mereka meminta tolong kerana ia membuktikan yang anda memerlukan mereka dalam hidup. Namun, janganlah sampai hendak ambil surat di depan rumah pun minta si dia temankan. Itu mengada-ngada namanya!
4. CURIGA SEPANJANG MASA
Percaya itu penting dalam perhubungan. Merimaskan apabila semua perkara yang dilakukannya perlu mendapat persetujuan anda. Tidak semestinya bekerja lewat bererti dia keluar mencari wanita lain. Letakkan kepercayaan pada pasangan anda agar si dia rasa anda seorang yang memahami.
5. TIDAK SUKA DIA HABISKAN MASA BERSAMA RAKAN-RAKANNYA
Setiap kali si dia ingin berjumpa dengan rakan-rakannya, anda pasti melarang dan menghalang. Anda harus ingat, hidup dia bukan untuk anda seorang sahaja. Jangan sampai dia merasa anda terlalu mengongkong hidupnya kerana lelaki tidak suka wanita yang kuat mengongkong.
6. BERCAKAP DENGAN SI DIA 24 JAM
Dia juga punya kerja lain selain melayan celoteh kekasih mereka di talian. Tidak semua lelaki gemar bergayut di telefon berjam lamanya. Jangan sampai si dia berasa rimas dengan anda kerana tidak boleh berenggang walaupun 5 minit ya! Dia akan menganggap anda seorang yang mengada-ngada dan keanak-anakan.
7. HANYA DIA
Benci jika dia punya agenda selain daripada keluar bertemu janji dengan anda. Get a life! Jangan sentiasa menunggu dia untuk membuatkan hari anda jadi bermakna. Ajak kawan-kawan anda untuk beriadah dengan anda. Jangan asyik nak berkepit dengan si dia saja!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Senarai Tetamu Antara Perkara Terpenting Dalam Keseluruhan Proses Perkahwinan
Berapa agaknya tetamu yang patut diundang untuk kenduri kahwin? Pengalaman peribadi membuktikan ini bukan kerja mudah. Malah senarai tetamu adalah antara item terpenting dalam keseluruhan proses perkahwinan.
Ada mempelai, ada pelamin. Ada nasi putih, ada nasi minyak. Ada kurma, ada ayam masak merah. Ada acar buah, ada sirap bandung. Ada bunga manggar, ada kompang. Ada pulut pahar, ada telur pengantin.
Bayangkan jika semua sudah disediakan, tetapi tetamu tidak ada. Majlis warna-warni – dengan muzik dan nyanyian artis tersohor pun – pasti menjadi muram durja jika tiada tetamu bertandang.
Tanpa para undangan, nasi minyak akan dingin tidak berjamah. Ayam golek, kurma, acar buah, semua terbiar di penanggah. Pelamin dan bunga manggar pun sayu tidak diperhatikan. Hatta, telur pengantin pun terkoteng-koteng tidak disentuh.
Demikianlah pentingnya tetamu dalam mana-mana kenduri atau resepsi perkahwinan. Sebenarnya kehebatan dan kesempurnaan majlis bukan terletak pada juadah dan perhiasan, tetapi pada ramai dan meriah sambutan tetamu.
Sebab itu bukan mudah merancang siapa yang patut diundang. Kerja ini perlu dilakukan jauh lebih awal dari perkara-perkara lain. Kalau sudah ditentukan jumlah tetamu, baru boleh dibajetkan berapa gantang nasi, berapa kilo kurma daging, berapa butir telur pengantin.
Jadi, berapa kad undangan perlu dicetak? Berapa kepala patut dijemput? 500? 1,000? 1,500? Ini kena congak betul-betul. Dan biasa terjadi, betapa pun kita telah dan semak berulang kali, pasti akan ada seorang dua yang tercicir dari senarai undangan. Almaklumlah kita selalu lupa.
Apabila teringat namanya, kad undangan sudah habis diposkan. Nasib baik zaman sekarang undangan boleh diedarkan menerusi media sosial. Boleh guna WhatsApps, Facebook, Twitter, SMS, dan lain-lain. Secara peribadi, saya lebih suka menerima undangan menerusi pos.
Adat orang kita apabila berkahwin, mana boleh jemput setakat orang sebelah rumah dan keluarga rapat. Paling tidak pun kad kahwin kena edar sekampung. Saudara mara, termasuk yang bau-bau bacang pun kena jemput juga. Pendek kata, selagi ada bau, wajib dipanggil.
Kawan sepejabat terutamanya bos, patut diberitahu. Datang atau tidak belakang kira, tetapi kad mesti dihulur, kalau tidak nanti ada yang berasa hati. Perangai orang kita, kalau tidak diundang akan menjadi bahan sindiran. Kalau diundang tidak pula datang.
Selain teman pejabat, cikgu dan pensyarah pun masuk dalam senarai undangan, termasuk guru yang paling garang. Teman-teman sekolah pun kena panggil, demikian juga alumni kolej atau universiti.
Itu tidak termasuk bekas kekasih, rakan kuliah agama, penjual ikan, India surat khabar, hatta pengawal keselamatan kawasan perumahan. Wajib juga dipanggil ialah rakan dan taulan yang pernah mengundang kita ketika mereka kahwin dahulu. Kalau tidak dijemput, dikatakan tidak tahu membalas budi pula.
Tolak, campur, tolak lagi, campur lagi, maka untuk majlis kahwin biasa-biasa yang dibuat di bawah khemah depan rumah pun, paling koman kena juga undang 500. Kalau semua datang berdua, ertinya 1,000 orang. Kalau ada yang bawa anak, bawa pembantu rumah, bertambahlah lagi bilangan kepala. Lagipun dalam kad undangan biasanya dijemput “tuan/puan seisi keluarga.” Belum pernah saya terlihat dalam kad undangan dinyatakan dengan jelas “kita jemput laki-bini sahaja, anak-pinak, cucu-cicit, pembantu rumah tak boleh bawa, harap maklum!”
Maka jika yang dijemput dan hadir hanya 500 orang, itu bererti purata 500 pinggan nasi, 500 ketul lauk, 500 gelas sirap bandung, 500 pisang pencuci mulut, dan 500 telur pengantin sebagai buah tangan. Al maklumlah, perkahwinan kita tidak sah jika tiada telur pengantin.
Pendek kata, bilangan undangan ada kaitan rapat dengan kos majlis. Itu baru kos makanan. Tetapi seperti yang semua sedia maklum, perkahwinan bukan setakat makanan.
Ada penanggah, ada kanopi, meja, kerusi, itu semua kena duit. Wajib juga ada pelamin, ada pulut pahar, itu pun kena fulus. Tidak kira status mempelai, pelamin mesti ada. Mana boleh pengantin baharu hanya bersanding di atas tangga!
Kemudian ada pasukan kompang, ada tukang selawat dan tukang baca doa. Kalau di kampung, ada acara silat menyambut pengantin. Menjadi kemestian juga ada muzik, ada karaoke, dan ada juruhebah sambilan sebagai penyeri majlis. Semua itu sekarang kena duit, tidak ada yang percuma lagi.
Paling tidak pun alasan pasukan kompang: “Kenalah hulur sikit, boleh juga kita orang beli koyok sebab tangan lenguh pukul kompang…” Si juruhebah sambilan pun menuntut upah juga sebab “nak beli ubat batuk, suara serak ketika mengendalikan majlis.”
Pendek kata, majlis sederhana di kampung dengan tetamu sekitar 500 kepala pun, paling tidak kena keluar belanja sekitar RM10,000. Itu masak sendiri secara gotong-royong.
Pernah saya dan isteri diundang ke resepsi perkahwinan anak seorang VVIP di sebuah hotel terkemuka. Saya difahamkan kos per kepala RM200, dan ada lebih 1,000 tetamu.
Perihal kahwin di hotel, jamuan sudahlah RM ratus-ratus ribu, belanja lain pun kena fulus besar juga. Sebab buat di hotel serba-serbi kena yang berkelas-kelas. Pengendali majlis tidak boleh koman, paling tidak pun yang pernah menjadi pengacara di stesen TV.
Tukang selawat dan baca doa pun tidak boleh pakai imam surau, paling tidak pun calon ‘Imam Muda’ atau ‘PU’. Hatta penyanyi undangan pun mesti artis tersohor, atau paling tidak pun mana-mana finalis ‘Gegar Veganza’. Barulah putih…
Pendek kata kahwin memang semakin mahal sekarang. Baik pihak lelaki mahupun pihak perempuan kena betul-betul mengatur bajet, supaya semua berjalan sempurna, dan yang lebih penting tidak kantoi selepas kahwin. Ada yang persiapan melampaui kemampuan, akibatnya lepas kahwin dikejar ahlong.
Anak teruna masa kini menangguhkan perkahwinan, juga atas sebab fulus. Walaupun sudah berjumpa si jantung hati, sudah bersumpah setia sehidup semati, hasrat terhalang sebab orang tua gadis meletakkan hantaran di luar kemampuan. Bajet hanya RM5,000, bakal mertua mendesak RM10,000. Kantoi!
Jadi, berapa tanda harga yang patut diletakkan di batang tubuh anak gadis kita? Kalau tanya pihak lelaki pasti mereka mahu wang hantaran serendah mungkin. Alasannya, anak teruna baharu lepas universiti, baharu dapat kerja, gaji tidak seberapa. Tetapi, kena ingat anak gadis pun baharu dapat kerja, belum sempat kumpul duit. Pihak perempuan memerlukan belanja yang lebih besar sebab adat perkahwinan kita, persiapan sebelah perempuan biasanya lebih menjadi tumpuan. Tetapi, bagi pihak perempuan pula janganlah meletakkan harga terlalu tinggi.
Sebab selain harga hantaran dalam bentuk tunai, anak teruna perlu juga menyediakan hantaran-hantaran lain seperti kasut, beg tangan, kain persalinan, cincin kahwin, sirih junjung, coklat, buah-buahan dan sebagainya. Barang-barang ini pun anak teruna kena keluar paling tidak tiga empat ribu RM.
Perkahwinan – tidak kira yang pertama, kedua, ketiga, hatta keempat! – adalah benda baik. Mudahkan, jangan susahkan!
Oleh: ABD JALIL ALI
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Perkahwinan Jarak Jauh Bukan Alasan Tak Boleh Bahagia, Ini Rahsianya!
Tak semua pasangan yang berkahwin dapat tinggal sebumbung kerana ada yang tinggal berjauhan atas komitmen kerja atau belajar. Walaupun ramai yang kata perkahwinan jarak jauh sukar, tapi ia bukan alasan untuk anda berdua kekal romantis dan bahagia.
Paling penting kedua-duanya perlulah saling menghargai perasaan dan mempercayai antara satu sama lain. Baru anda berdua akan merasai kenikmatan berumah tangga.
Jika anda tergolong dalam pasangan yang terpaksa berpisah dengan insan tersayang, ayuh terapkan dalam diri enam petua ini agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan romantis seperti pasangan lain.
1. Tetapkan matlamat dalam hubungan
Sebelum anda dan pasangan tinggal berjauhan, menentukan dahulu arah hubungan, sebab-sebab kenapa tinggal berjauhan dan bilakah tarikh untuk anda berdua akan tinggal bersama. Ia penting agar anda dan pasangan ada matlamat untuk berusaha tinggal bersama seperti pasangan yang lain.
2. Perlu ekstra percaya terhadap pasangan
Hubungan dalam rumah tangga menuntut kita untuk saling mempercayai antara satu sama lain. Tidak dinafikan saat berjauhan kepercayaan akan teruji. Oleh itu belajarlah untuk meningkatkan kepercayaan dalam diri masing-masing. Singkirkan segala perasaan curiga terhadap pasangan kerana sikap tersebut jika dibiarkan boleh menjadi duri selain membuatkan anda memikirkan perkara yang buruk.
3. Sentiasalah berkomunikasi
Walaupun anda berdua terpisah disebabkan oleh komitmen kerja atau pelajaran, jangan sesekali mengabaikan komunikasi. Sentiasalah berhubung antara satu sama lain. Ceritakan kepada pasangan tentang aktiviti harian, masalah yang dihadapi ataupun luahkan rasa rindu anda kepadanya. Apatah lagi zaman yang serba moden ini lebih memudahkan kerana terdapat banyak cara untuk seseorang itu berhubung dengan orang tersayang.
4. Kirim hadiah kejutan
Apabila tiba tarikh-tarikh penting seperti tarikh lahir pasangan, tarikh mula bertemu, ulang tahun dan sebagainya, hantarkan hadiah untuknya. Jangan disebabkan anda berdua tinggal berjauhan, anda mengabaikan tarikh-tarikh penting ini. Sebenarnya kejutan sebegini boleh membuatkan pasangan rasa dihargai dan teruja apatah lagi menerima kiriman istimewa daripada insan tersayang. Cara ini akan menghangatkan lagi kasih sayang anda.
5. Ambil masa untuk mengunjungi pasangan
Jika pasangan masih dalam negara, latihlah diri anda dan pasangan untuk saling mengunjungi antara satu sama lain. Buatlah giliran agar anda berdua boleh berjumpa, mungkin seminggu sekali atau dua minggu sekali. Dengan cara ini hubungan romantis dan bahagia anda berdua bertambah semarak dan tidak akan pudar. Saat bertemu itu lakukan aktiviti bersama sepuas-puasnya seperti menonton wayang, masak makanan kegemaran suami dan sebagainya. Dengan cara ini akan membuatkan hubungan anda dan pasangan bertambah bahagia.
6. Hantarkan mesej romantis
Tentu pasangan rasa teruja apabila menerima pesanan cinta daripada anda. Anda boleh menghantar pesanan ringkas dengan mesej cinta atau kata-kata romantis di telefon bimbitnya. Kata-kata ini akan membuatkan pasangan terbuai dengan cinta anda, lantas timbul rasa tidak sabar untuk bertemu dengan anda nanti.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Masuk Umur 40, Perangai Lama Masih Tak Berubah, Selamanyalah Kita Akan Sama Begitu
Allah swt. berfirman yang maksudnya, ""Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)
Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.
Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah.
Pada ayat yang lain, firman Allah yang maksudnya, "Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan?" (al-Fathir: 37)
Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.
Menurut Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh-sungguh.
Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya) "Kematangan".
Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini.
Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas: “Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (riwayat al-Bukhari).
Nabi Muhammad saw. diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi2 yang lain, kecuali Nabi Isa as. dan Nabi Yahya as.
Mengapa umur 40 tahun begitu penting.
Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) period, iaitu
1. Kanak-kanak (sejak lahir hingga akil baligh).
2. Muda atau syabab (sejak akil baligh hingga 40 tahun).
3. Dewasa (40 tahun hingga 60 tahun).
4. Tua atau syaikhukhah (60 tahun hingga mati).
Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh.
Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama.
Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.
Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah SAW; "Seorang hamba muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi. (riwayat Ahmad)
Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah swt. sekaligus konsisten terhadap Islam, maka Allah swt. akan meringankan hisabnya.
Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati-hati juga. Ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja.
Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”
Imam asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahawa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa-sisa syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syara’ lazim bagiku. Diantara aku dan dia ada Allah.”
Lantas, apa yang harus kita lakukan ketika menginjak usia 40 tahun?
1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.
Jika ada yang mengatakan bahawa, Life began at fourty, saya cenderung berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya.
Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia. Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sialah hidup kita jika umur kita tidak panjang.
Maksud sabda Nabi Muhammad S.A.W, "Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati".
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI