Pembahagian tanggungjawab antara suami dan isteri dalam kehidupan rumah tangga sering dibahaskan. Berlaku juga keadaan di mana suami enggan melaksanakan tanggungjawabnya dalam urusan rumah tangga sehingga semua dilakukan isteri hingga kepenatan.
Namun, bagaimana jika terjadi sebaliknya? Suami melaksanakan semua tugas dalam keluarga. Bukan hanya sebagai pencari nafkah utama tetapi turut mengatur segala hal. Sehingga isteri seperti burung dalam sangkar emas. Serba-serbi lengkap namun tidak pernah berkesempatan membuat keputusan.
Bagi isteri hal ini tidak memberi kepuasan buatnya kerana dia juga berhak untuk memutuskan sesuatu perkara. Malah isteri pasti kecewa jiwa isteri tidak dianggap penting dalam membuat apa jua keputusan bersama suami.
Segalanya terjadi bermula daripada persoalan yang mudah tetapi kerana terus dihitung satu persatu, akhirnya seperti bom jangka, isteri hanya menunggu masa untuk meletus dan meluahkan apa yang terbuku di hatinya.
Idealnya, suami isteri perlu saling memahami dan mengerti posisi serta peranan antara satu sama lain. Hal ini hanya boleh wujud apabila adanya komunikasi yang baik dan peranan yang seimbang dalam rumah tangga.
Ketika salah satu pihak merasa dirinya tidak dianggap penting dalam hal ini iaitu isteri, ini bererti ada yang salah dalam pembahagian peranan di urusan rumah tangga. Namun, saling menyalahkan antara satu sama lain bukanlah jalan keluar yang bijak.
Misalnya jika isteri tidak merasai peranannya kerana suami tidak menganggap kehadirannya penting. Boleh jadi juga niat suami sebenarnya baik iaitu ingin memanjakan dan memudahkan isteri sehinggakan banyak tugas yang seharusnya dibahagi tetapi semuanya ditangani atau sebahagian besar dilaksanakan oleh suami. Meskipun suami ‘baik hati’ sebaik-baiknya janganlah sampai ke peringkat hingga mengawal semuanya.
Pembahagian tugas ini bersifat fleksibel dan bergantung pada kesepakatan suami isteri. Namun idealnya, pembahagian peranan itu haruslah setara, baik untuk soal mencari nafkah bagi keluarga mahupun tugas-tugas domestik. Mulai daripada penjagaan anak-anak, memasak untuk keperluan sehari-hari dan sebagainya.
Kredit foto (top image): Pexels