Seorang wanita di Facebook, Nur Aliah Mohd Nor baru-baru ini telah berkongsi tentang teknik powerful words di dalam doa yang patut kita gunakan setiap kali kita menadah tangan kepada Allah. Untuk bakal pengantin, mungkin inilah masa untuk anda banyakkan masa berdoa agar perjalanan majlis juga rumahtangga yang bakal dibina kekal berpanjangan.
Teknik 1: Berilah kekuatan vs lapangkan kesulitan
Sebelum ni kita selalu berdoa,
“Ya Allah berikanlah aku kekuatan”.
Jika doa begini, maka Allah akan sentiasa menguji hambaNya untuk test kekuatan kita.
Jadi doa yang kita boleh betulkan ialah,
“Ya Allah lapangkan kesulitan apa yang aku hadapi hari ini, Ya Allah keluarkanlah aku dari kesulitan ini, Ya Allah bantulah diriku ini.”
Teknik 2: Berilah vs kurniakanlah
Sebelum ni kita selalu berdoa,
“Ya Allah BERILAH aku..”
Jadi cara doa yang kita boleh betulkan ialah,
“Ya Allah KURNIAKANLAH aku..”
Sebab bila kita sebut BERI, bila-bila masa Allah boleh ambil nikmat tersebut. Jika sebut KURNIA, maka Allah akan kurniakan sesuatu pada kita sampai bila-bila masa, InshaaAllah.
Teknik 3: Dimurahkan rezeki vs dilimpahkan rezeki
Sebelum ni kita selalu berdoa,
“semoga DIMURAHKAN rezeki.”
Jadi cara doa yang kita boleh amalkan ialah,
“semoga DILIMPAHKAN rezeki yang berpanjangan dan berkat.”
Bila kita sebut “dilimpahkan”, maka benar Allah betul-betul limpahkan rezeki yang sangat banyak, berbanding dengan dimurahkan, sebab bila sebut murah, Allah berikan rezeki yang biasa dan mencukupi sahaja.
Ads
Teknik 4: Tambahkanlah
Satu lagi perkataan selain dilimpahkan, boleh juga guna perkataan TAMBAHKANLAH. Dan ini doa yang boleh kita amalkan bersama setiap kali dalam sujud terakhir kita.
“Ya Allah, TAMBAHKANLAH bagiku rezeki yang banyak lagi halal, iman yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang baik, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar.”
Teknik 5: Cara mengaminkan doa
Sebelum ni kita selalu meng’amin’kan doa begini,
“Amin Ya Rabbal Al-Amin.”
Jadi cara yang lebih baik untuk kita amalkan bersama-sama adalah,
“Amin Ya Allah Ya Mujib”.
Sebab maksud Mujib ni ialah memakbulkan. Kita bersungguh-sungguh nak Allah makbulkan doa kita ni, jadi sebut dengan penuh yakin Ya Mujib.
Teknik 6: Doa untuk orang lain
Sebelum ni kita selalu berdoa dengan cara kita ‘mengarahkan’ Allah untuk cepat-cepat keluarkan kita dari masalah-masalah yang kita hadapi.
Jadinya doa yang terbaik kita boleh amalkan sambil mendoakan juga untuk orang lain, adalah dengan cara ini,
(Allah adalah Rabb kami yang kami tidak pernah sekutukan dengan siapa pun)
Baca 100x, doa ketika beramai-ramai.
“Allah.. Allahu Rabbi.. Laa Usriku Bihi Syai’a”,
(Allah adalah Rabbku yang aku tidak sekutukan dengan siapa pun)
Baca 100x, doa apabila seorang diri.
Kenapa kita baca doa atau zikir ini adalah sebab doa ini penyingkir kesulitan, kesusahan, kegelisahan, kekhuatiran dan keresahan.
Sekali gus doa ini boleh menghilangkan beban hutang, beban hati, beban fikiran, serta sangat baik sekali buat bantu sahabat-sahabat kita dalam mencapai hajat-hajat mereka.
Teknik 7: Doa ketika bersedekah
Sebelum ni kalau di masjid nak sedekah tu, mungkin ada yang sedekah dan berlalu pergi macam tu je tanpa berdoa, atau mungkin ada yang berdoa dan terlalu mengharapkan Allah bagi rezeki cepat-cepat kat kita. Allahu.
Ads
Jadi InshaaAllah selepas ini, betulkan niat kenapa kita nak sedekah dan berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah,
“Ya Allah aku sedekahkan sejumlah ini kerana untuk digunakan demi mencari redhaMu. Semoga sedikit sumbangan ini dapat menghapuskan segala dosa-dosaku yang membuka segala pintu rezeki yang tidak pernah ku duga.”
Teknik 8: Doa orang yang terlalu sibuk berniaga
Doa di bawah ini adalah khusus untuk orang yang sibuk berniaga siang malam, solat pon kadang hujung waktu dan lebih sedih lagi sampai tak ada masa nak spend time bersama dengan keluarga tersayang.
Faktor jadi macam ini mungkin antara sebabnya doa kita tak spesifik minta kepada Allah. Jadi, InshaaAllah doa di bawah ini dapat membantu anda yang berniaga.
“Ya Allah ilhamkanlah kami dengan perniagaan ini dapat membawa kami dekat denganMu, yang membuatkan kami banyak masa untuk beribadat denganMu, banyak masa bersama suami/isteri, anak-anak kami serta ahli keluarga kami. Ya Rabb, kurniakanlah kami jutawan Islam yang kembali menegakkan ekonomi Islam. Dan Engkau kurniakanlah kami hamba-hambaMu yang menyebarkan dakwah dalam berniaga.”
Teknik 9: Doa mendapatkan zuriat
Sebelum ni kita selalu berdoa,
“Ya Allah kurniakanlah kami zuriat, anak yang soleh dan solehah”.
Dan setiap kali tak dapat pasti kita akan rasa kecewa. Jadi doa yang boleh kita amalkan bersama adalah,
“Ya Allah sekiranya dengan mempunyai zuriat dapat mendekatkan diriku dengan diriMu, maka makbulkanlah Ya Allah, sekiranya dengan mempunyai anak membuatkan Engkau melihatku, maka kurniakanlah anak yang soleh dan solehah. Kerana Engkau sebaik-baik perancang dan Engkaulah Tuhan Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu.”
Teknik 10: Zahirkan kesyukuran sebelum membuat permintaan
Paling penting sekali adalah tips yang terakhir ini, kita dah berdoa bersungguh-sungguh ni dan dah tukar cara berdoa kita. Namun kita terlupa, untuk bersyukur kepada Allah swt terlebih dahulu.
Sebab barangsiapa yang bersyukur, Allah akan tambahkan lagi nikmat buat dirinya. Waktu terbaik untuk kita ucapkan kesyukuran kita adalah setiap pagi bangun je dari tidur dan juga waktu malam sebelum tidur, buat terapi kesyukuran iaitu 7 rasa kesyukuran kita kepada Allah swt. Contohnya begini,
“Syukur Alhamdulillah terima kasih Ya Allah..
aku bersyukur masih lagi bernafas pada pagi ini, aku bersyukur Engkau kurniakanku kesihatan yang baik, aku bersyukur Engkau kurniakanku rezeki yang melimpah ruah buat diriku..”
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
DIY guna bahan-bahan yang tersedia di dapaur pun boleh rawat kulit muka.
Hasilnya, jerawat jadi cepat kecut, kulit cerah berseri-seri. Siapa suka buat rawatan traditional di rumah? Hujung minggu memang saya suka buat petua tradisional. Sental satu badan.
Saya suka guna kunyi. Kunyit ini bagus dia sebab anti-radang, anti-septik, anti-bakteria dan anti-penuaan. Jadi buat masker muka memang best. Kalau nampak jerawat macam mahu naik, terus tempek kunyit sebab ciri-ciri anti bakteria yang kuat, parut jerawat pun boleh jadi cepat pudar.
Ramai suruh saya berkongsi tips ini sekali lagi. Nah saya kongsikan lagi sekali. Mahu buat juga, boleh baca kapsyen pada setiap gambar. Tag dan kongsilah pada rakan-rakan anda supaya mereka pun dapat mencuba tips ini.
1. Kisarkan beras yang sudah direndam semalaman, setengah cawan
2. Tidak perlu menambah air sebab beras itu sudah basah kan? Takut cair sangat pula.
3. Gunakan beras pulut lagi bagus. Lagi halus kulit seperti pulut.
4. Kisarkan kunyit hidup, 2 – 3cm. Kunyit hidup lebih hebat daripada kunyit serbuk.
5. Campurkan kunyit hidup dan beras yang sudah dikisar halus tadi.
6. Setelah siap, bolehlah tempek pada muka.
7. Mahu lagi best? Tambahlah yogurt, madu, ataupun limau nipis. Pilih salah satu.
8. Tempek pada muka, lepas 30 minit terus basuh.
Amalkan selalu kakak-kakak semua. Buatlah tips ini selalu. Raya sudah dekat.
Selamat mencuba,
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Assalamu’alaikum S.S. Mufti, saya ingin bertanya adakah majlis walimah atau kenduri kahwin itu merupakan tanggungjawab suami ataupun keluarga pengantin perempuan ? Mohon penjelasan.
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:
أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Maksudnya: Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing.
Riwayat Muslim (1427)
Secara zahir dari hadis di atas, mengadakan walimah atau majlis perkahwinan adalah dituntut selepas perkahwinan dilangsungkan. Meskipun begitu, para ulama berbeza pendapat kepada implikasi tuntutan tersebut, sama ada ia membawa kepada hukum wajibnya majlis walimah ataupun hukumnya adalah sunat sahaja.
Pendapat pertama menyatakan bahawa hukum walimah adalah wajib. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan hujahnya berdasarkan zahir arahan “Lakukanlah walimah’’. Kaedah menyebut: ‘’Kata perintah membawa hukum wajib’’.
Tambahan pula, hukum menghadiri jemputan walimah adalah wajib sekiranya tiada keuzuran. Justeru, menjalankan majlis walimah itu sudah tentu turut diwajibkan.
Manakala pendapat yang kedua merupakan pandangan para fuqaha’ iaitu hukum mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Oleh kerana itu, Imam Abu Dawud dalam menukilkan hadis-hadis walimah ini beliau letakkan di bawah tajuk:
باب فِي اسْتِحْبَابِ الْوَلِيمَةِ عِنْدَ النِّكَاحِ
Iaitu ‘’Bab Pada Menyatakan Sunatnya Walimah ketika Perkahwinan’’.
Demikian juga dalam kitab Al-Feqh al-Manhaji menyebut: ‘’Hukum walimah adalah sunat muakkad’’.
Mereka juga berpendapat bahawa majlis perkahwinan ini adalah sama sahaja dengan majlis-majlis jamuan yang lain dari sudut hukum asal mengadakan majlis jamuan makan adalah sunat sahaja.
Demikian juga pada pandangan mereka, tidak tepat untuk dikatakan bahawa hukum mengadakan walimah adalah wajib disebabkan hukum menghadiri walimah adalah wajib. Ini kerana, dalam isu memberi salam ia juga dituntut dalam agama. Namun, memberi salam hukumnya sunat dan ini berbeza dengan hukum menjawab salam iaitu wajib.
Majlis Perkahwinan Tanggungjawab Siapa ?
Berkenaan isu siapakah yang bertanggungjawab melaksanakan majlis perkahwinan, terdapat dua pandangan utama dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Sebahagian berpendapat bahawa majlis perkahwinan merupakan tanggungjawab suami iaitu pengantin lelaki. Manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa urusan majlis perkahwinan adalah merupakan tanggungjawab keluarga mertua.
Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Syathiri menimbulkan persoalan sama ada walimah disunatkan kepada suami atau isteri. Lalu beliau menyatakan: ‘’Para ulama berpendapat bahawa walimah disunatkan kepada suami (pengantin lelaki). Melainkan sebahagian ulama berpendapat bahawa ia disunatkan dengan seruan yang umum (iaitu tanpa dikhususkan kepada sesiapa), bagi tujuan menzahirkan kegembiraan dan keseronokan.
Beliau turut menukilkan pendapat dari Syeikh Daud al-Zahiri yang menyatakan bahawa walimah itu wajib ke atas suami. Berdasarkan perintah Nabi S.A.W kepada Abdul Rahman bin ‘Auf.
Manakala para ulama Syafi’eyyah meletakkan arahan tersebut kepada hukum sunat (iaitu sunat bagi suami melakukan walimah). Rujuk Syarah Yaqut al-Nafis, Muhammad bin Ahmad al-Syathiri (Hlm. 597).
Pandangan yang menyatakan tanggungjawab mendirikan majlis walimah terletak pada bahu pengantin lelaki berhujahkan kepada hadis arahan Nabi S.A.W kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas. Ini kerana, baginda S.A.W menyatakan kepada beliau أولم (lakukanlah walimah). Namun dalam masa yang sama, baginda tidak menyatakan kepada pihak mertua Abd al-Rahman bin ‘Auf أولموا (lakukanlah kamu semua majlis perkahwinan). Justeru, majlis walimah itu disyariatkan kepada hak pengantin lelaki.
Selain itu, kenikmatan (perkahwinan) pada hak seorang suami adalah lebih besar berbanding kenikmatannya pada hak seorang isteri. Demikian juga menjadi kebiasaan bahawa orang lelaki yang melamar dan meminta seorang perempuan untuk menjadi isterinya, serta sangat jarang berlaku orang perempuan yang meminta orang lelaki mengahwininya.
Tambahan pula, pernikahan adalah suatu kenikmatan bagi pengantin lelaki dan antara cara menzahirkan syukur adalah dengan melakukan amal soleh. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T
اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا
Maksudnya: Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur.
Surah Saba’ (13)
Justeru, antara amalan yang dilakukan untuk menzahirkan kesyukuran dari perkahwinan adalah dengan melangsungkan majlis walimah itu sendiri.
Manakala berkaitan isu majlis walimah yang dilakukan oleh pihak mertua iaitu bapa pengantin perempuan sebagai contohnya, maka kata al-Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Umar al-Syathiri: ‘’Sekiranya majlis walimah dilakukan oleh selain suami dan wali, seperti bapa kepada isteri (pengantin perempuan), atau walimah dilakukan oleh pengantin perempuan sendiri, maka telah ditunaikan sunnah bagi pihak dirinya (pengantin lelaki). Rujuk Syarah Yaqut al-Nafis (Hlm. 598).
Penutup
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum asal bagi mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Ia disunatkan kepada pengantin lelaki iaitu suami untuk melakukannya. Meskipun begitu, sekiranya pihak pengantin perempuan atau pengantin perempuan sendiri menjalankan majlis walimah, maka telah terlaksanalah hukum sunat bagi pihak pengantin lelaki.
Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di negara kita untuk melakukan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu sekali di rumah pengantin perempuan dan juga majlis di rumah pengantin lelaki. Maka kami menyatakan bahawa secara asalnya hukumnya adalah harus selama tidak berlaku israf dan pembaziran. Hal ini kembali kepada apa yang disebutkan oleh sebuah kaedah yang masyhur:
العادة محكَّمة
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Kami turut menyatakan, hendaklah majlis perkahwinan itu dilakukan secara sederhana mengikut kemampuan dirinya sendiri (pengantin lelaki) tanpa perlu israf dan juga membazir. Inilah hikmah dari arahan Nabi S.A.W kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas bahawa biarlah diadakan walimah, sekalipun dengan seekor kambing.
Begitu juga kami nasihatkan kepada ibubapa kepada bakal-bakal pengantin supaya sentiasalah mempermudahkan urusan anak-anak dalam mengadakan majlis perkahwinan supaya mereka dapat melayari bahtera perkahwinan dengan sebaiknya.
Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
Sumber : Mufti Wilayah Perseketuan
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bila nampak harga emas turun, berpusu-pusu pelanggan masuk untuk membeli. Tak kurang juga bakal pengantin yang inginkan perhiasan emas menjadi hantaran. Tetapi, ada triknya juga untuk membeli barang kemas agar berbaloi dengan harga di bayar.
Mana-mana kedai emas sekarang ni penuh dengan pelanggan. Tak cukup beratur di dalam kedai, di luar kedai sudah tersusun kerusi untuk pelanggan menunggu. Macam nak masuk kedai makan pula. Tetapi adakah anda membeli emas hanya bersandarkan harga semasa yang dipromosikan?
Melalui perkongsian SyaQiela Fendy, membeli emas juga perlu ada ilmu. Bagus betul perkongsian ini kerana sekurang-kurangnya kita akan buat kiraan Matematik. Tak susah pun.
Menurut SyaQila, sebelum ini dia juga tidak ambil peduli tentang harga dan kiraan jual beli emas. Disebabkan ingin membantu seseorang membeli emas, akhirnya di amula pandai membuat kira-kira untuk membeli emas.
“Tadi dapat kesempatan tolong orang belikan emas kat satu kedai di kawasan Klang.
Kedai yang selalu penuh sebab harga semasa dia murah dari kedai lain. So terasa nak main kira-kira hari ni. Betul ke murah sangat kedai ni? Dan balik dari kedai tu sempat juga singgah kedai emas yang berdekatan dengan rumah semata-mata untuk bezakan harga.
Mari kita mula mengira guys..
-Kedai A harga Rm225/gm -Kedai B harga Rm238/gm
Nampak? Korang mesti la pergi kedai A kan? Aku beli tadi Gelang Tangan Gajah berat 15gm. Bila staff kira-kira tadi selepas aku nego nego nego dan nego dapat total Rm4050.”
Tidak habis di situ, SyaQiela berkunjung ke kedai emas lain untuk membuat perbandingan. Apabila ditanya tentang harga semasa, staf beritahu RM238/gm.
Yelah, tadi RM225 je kan… Jauh kan beza. Takpa, kita teruskan misi. Maka di sini adalah huraiannya.
Jom mengira!
Kiraan kedai A :-
Harga semasa Rm225/gm
Total harga yang diberi untuk gelang seberat 15gm selepas nego adalah Rm4050
15gm x Rm225 = Rm3375 (harga asal per gm)
Rm4050 – Rm3375 = Rm675 (harga upah barang)
Kedai A upah untuk seutas gelang 15gm adalah Rm675. Anda rasa murah ke mahal?
Meh check kedai B pulakk.
Kiraan Kedai B :-
Harga semasa Rm238/gm
Total harga yang diberi untuk gelang seberat 15gm selepas nego adalah Rm3800
15gm x Rm238 = Rm3570 (harga asal per gm)
Rm3800 – Rm3570 = Rm230 (harga upah barang)
Kedai B upah untuk seutas gelang 15gm adalah Rm230.
Kedai A Rm4050 (harga semasa Rm225/gm)
Kedai B Rm3800 (harga semasa Rm238/gm)
Harga upah boleh dirunding
Apa yang penting di sini adalah HARGA UPAH BARANG KEMAS.
Utk 15gm gelang tu harga upah sahaja bermula dari Rm100 hingga ke Rm900 lebih dan sebagai pelanggan, anda BOLEH menurunkan harga upah mengikut persetujuan kedai.
Jadi.. Nak beli emas lepas ni jangan terlalu pandang pada harga per gram. Ambil tahu pasal harga upah. (Upah berbeza ikut jenis dan design emas ye)
Tak semestinya kedai A harga gram lagi murah dari kedai B bermakna barang kedai A murah! Masuk dulu buat kira kira.”
Kredit: Facebook SyaQiela Fendy
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!