Akhirnya pelakon jelita, Azira Shafinaz bersedia menamatkan zaman bujang dengan kekasihnya, Yasser Khan.
Bukan tidak mahu mendedahkan tentang hubungan yang terjalin namun Azira Shafinaz menunggu masa paling tepat untuk bergelar isteri kepada lelaki yang dikenalinya sejak 12 tahun lalu.
“Saya masih bahagia sampai sekarang dengan orang yang sama, alhamdulillah. Kami pun sudah 12 tahun berkenalan.
“Sudah semestinya saya bersedia untuk ke fasa perkahwinan. Nak tunggu sampai bila pun hanya buang masa.
“Saya cuma rasa macam it’s now or never (sama ada sekarang ataupun tidak sama sekali),” katanya lagi.
Dalam masa sama, ahli kumpulan De Fam itu juga memaklumkan mereka sering berbincang mengenai soal berumah tangga namun enggan terlalu memberi perincian lanjut.
“Kami selalu bercakap-cakap mengenai hal kahwin tetapi saya tidak boleh dedahkan apa-apa lagi buat masa ini.
“Kalau semuanya sudah sahih, semestinya saya akan berkongsi berita gembira kepada semua,” ujarnya lagi.
September tahun lalu, Azira yang berumur 33 tahun pernah memberi bayangan seolah-olah bakal mengakhiri zaman bujang apabila berkongsi ucapan istimewa buat kekasihnya.
Sebelum mengakui hatinya sudah dimiliki, nama Azira acap kali dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon, Sharnaaz Ahmad sejak 2021 selepas mereka sering dilihat mengadakan sesi siaran langsung dalam media sosial.
Khabar angin mengenai hubungan cinta antara dia dengan Sharnaaz bertiup kencang selepas aktor itu kerap meninggalkan komen romantik dalam Instagram Azira.
Namun kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan hubungan mereka hanya sebagai kawan. Apa pun, Pesona Pengantin doakan semoga hubungan Azira dan pasangannya sampai ke jinjang pelamin.
Kredit gambar: Azira Shafinaz