Suka sangat bergurau suami isteri memang bagus. Orang kata itulah pengikat kasih sayang. Tetapi kena tahu juga apa yang boleh dibuat gurau, apa yang boleh menyakitkan hati isteri. Ada beberapa tip dikongsikan Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah untuk para suami yang nak ‘ikat’ hati isteri.
1) Jangan buat tidak peduli ketika isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaflah dengan ikhlas. Kalau perlu pujuk, pujuk dengan mesra. Ini kerana hati perempuan agak sensitif dan sesetengahnya mahu dipujuk.
2) Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati dan jangan sesekali bermain kayu tiga dengan perempuan lain. Ada ketikanya isteri sedar mengenai perubahan fizikal dan naluri suami.
3) Kalau tidak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegurlah secara baik, jangan asyik mahu menengking dan menyalahkannya saja. Jauhi perbuatan tidak bermoral seperti memukul isteri.
4) Kalau isteri nampak tidak sihat, cepat-cepatlah merawatnya dan jika serius bawa jumpa doktor. Tunjukkanlah anda mengambil berat mengenai dirinya.
5) Apabila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas- luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersimpan telinga kiri. Sambil itu minda suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak dan prihatin.
6) Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan emak anda kecuali masakan dan cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih daripada emak anda.
7) Kalau pasangan sudah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Jangan sekali-kali lepas tangan dan suami duduk tersandar depan TV atau relaks. Tidak salah jika suami turut menjemur kain dan menyapu sampah.
8)Sekiranya suami makan dulu, tinggalkan sedikit lauk untuk isteri dan jangan habiskan semua kerana kemungkinan si isteri belum makan lagi kecuali isteri memberitahu lebih awal dia sudah atau tidak mahu makan.
9) Kalau ada kawan dan kenalan mahu bertandang ke rumah, sebaik-baiknya beritahu isteri terlebih dulu, untuk membuat persiapan seperti memasak, mengemas rumah dan menghias diri. Ini akan mengelakkan isteri berasa malu apabila tetamu datang mengejut.
10) Jangan sekali-kali menyakat dan menyindir isteri mengenai saiz dan bentuk badannya yang semakin gemuk/ makin kurus.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI