Kalau nak badan pulih dengan cepat,luka cepat sembuh dan susu ibu yang berkualiti, amalan pantang yang menyekat makanan berkhasiat perlu dielakkan. Dr Hamid Arshat juga kongsikan kepentingan vitamin kepada kesihatan ibu dan anak.

Menurut Datuk Dr Hamid Arshat dari videonya, amalan ‘pantang’ perlu dibasmikan sebaliknya ibu-ibu perlu makan dari sumber-sumber yang berzat dan berkhasiat khususnya sayur-sayuran dan buah-buahan selepas pembed4han/ bersalin agar luka cepat sembuh dan juga susu ibu lebih banyak dan berkhasiat.

JANGAN AMAL PANTANG YANG TIADA ASAS ILMUNYA

Jangan amalkan amalan pantang yang tidak mempunyai asas ilmunya. Beliau menggalakkan wanita selepas bersalin untuk makan makanan yang berzat, di mana 70% terdiri daripada buah-buahan segar yang mentah.

PASTIKAN ADA SAJIAN BUAH-BUAHAN SEGAR
Banyak buah-buahan tempatan yang dimomokkan tidak boleh dimakan semasa pantang seperti;

Buah nanas
Buah betik
Air kelapa muda
Buah nangka
Semua buah-buahan ini mengandungi banyak vitamin. Vitamin A, B, C yang sangat penting untuk kesihatan. Ia amat penting khususnya kepada ibu yang dalam pemulihan selepas bersalin sama ada bersalin secara normal mahu pun pembedahan kerana ianya sangat membantu luka cepat sembuh.

KENAPA VITAMIN C SANGAT PENTING?
Bagi ibu bersalin yang menyusukan anak perlu mengamalkan pemakanan yang baik. Vitamin sangat penting untuk kesihatan secara keseluruhan. Vitamin C sangat penting untuk meningkatkan ketahanan badan, sebagai antioksidan, pemulihan luka dan pendinding atau penahan daripada serangan kuman.

IKLAN

Beliau amat menggalakkan wanita-wanita selepas bersalin atau pembedahan untuk makan banyak buah-buahan.

KISAR BUAH-BUAHAN SUPAYA MUDAH DIAMBIL & DIHADAM
Buatkan minuman dengan mengisar buah-buahan tersebut sama ada nanas, papaya atau tembika. Bila dikisar kita tidak kehilangan seratnya. Ia sangat penting untuk penghadaman dan kesihatan usus kita.

Memang sukar untuk makan dalam jumlah yang besar tetapi bila mengisarnya ia jadi pekat dan mudah dihadam.

AIR LIMAU NIPIS/ LIMAU KASTURI

Air limau nipis misalnya mengandungi banyak vitamin C dan antioksidan dan ia patut diamalkan sebagai minuman pertama diminum di waktu sarapan pagi. Kerana limau yang terlalu banyak di pasaran ialah limau nipis atau limau kasturi. Memang sudah dikaji yang limau kasturi mengandungi vitamin dan antioksidan yang tinggi untuk mencegah penyakit.
Selain dibuat minuman, buah-buahan ini perlu diambil pada setiap kali waktu makan seperti sarapan, makan tengah hari dan makan petang. Ini akan mempercepatkan proses pemulihan pada luka pembedahan dan luka kelahiran. Siapa yang tak mahu luka cepat sembuh boleh abaikan tip ni!

PEMAKANAN BAIK MEMPERCEPATKAN LUKA CEPAT SEMBUH DAN MEMULIHKAN BADAN.

Orang-orang dulu mungkin mengamalkan berpantang badan kerana zaman dahulu tiada antibiotik. Zaman sekarang sudah ada antibiotik sekiranya berlaku jangkitan kuman.

Sekiranya kita mengamalkan pemakanan yang baik, pemulihan akan berlaku dengan cepat dan penyusuan tidak tersekat. Ini adalah punca kebanyakan mengalami masalah susu tidak lancar atau berkurangan. Amalan pantang yang menyekat makanan yang berkhasiat disekat sedangkan pada waktu menyusukan ibu-ibu memerlukan banyak makanan berzat akan menjadikan susu yang dihasilkan baik.

IKAN AMAT DISARANKAN

Susu ibu di samping mengandungi zat, vitamin dan logam, ia juga mengandungi omega 3 dan DHA yang sangat penting untuk pembentukan otak bayi. Makanan yang mengandungi banyak protein seperti ikan yang berminyak seperti ikan kembung, tenggiri dan lain-lain sangat baik untuk dimakan sewaktu menyusukan anak. Ini sangat penting kerana melalui penyusuan ibu memindahkan antibodinya kepada bayi. Jadi bayi akan lebih kuat antibodi dan tahan daripada penyakit, di samping menguatkan hubungan(bonding) antara ibu dan anak.

Datuk Dr Hamid amat menyarankan kaum wanita yang mahu luka cepat sembuh untuk membasmi amalan berpantang makan sebaliknya mengamalkan ambil makanan segar, yang mentah berkhasiat dan berzat sewaktu pemulihan selepas bersalin.

Sumber: FB Dr Hamid Arshat