Setiap orang tentu sahaja mendambakan berat badan yang sempurna dan ideal. Jika badan terlalu kurus, pasti ia merunsingkan anda kerana anda dianggap sebagai orang yang tak sihat dan badan kekurangan zat.
Perlu anda ketahui bahawa tidak semua lemak itu jahat. Menyimpan lemak sebagai cadangan tenaga merupakan salah satu daripada kebanyakan cara tubuh berfungsi dengan maksimum.
Lemak dikatakan jahat kerana menyebabkan berat badan berlebihan dan obesiti. Tenaga yang tersimpan dalam lemak membantu anda untuk melakukan pekerjaan atau senaman berat.
Lemak yang baik juga memainkan peranan penting untuk perkembangan otak, mencegah inflamasi dan pembekuan darah. Bersyukurlah jika tubuh anda miliki lemak baik dalam kadar yang mencukupi.
Namun bukan semua orang beruntung! Ada ramai orang yang kekurangan lemak. Orang sebegini cenderung bertubuh kurus dengan indeks massa tubuh di bawah normal.
PENYEBAB BERAT BADAN RENDAH
Berat badan kurang daripada ukuran normal standard kesihatan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Penting untuk anda ketahui bahawa tidak semua orang bertubuh kurus, menderita masalah kesihatan yang harus ditangani.
Berikut merupakan beberapa kemungkinan seseorang miliki berat badan rendah menurut kesihatan Family Doctor yang dikelolakan oleh American Academy of Family Physicians.
Genetik
Jika badan anda terlalu kurus sejak sekolah dan rata-rata keluarga anda juga demikian, kemungkinan memang anda dilahirkan dengan metabolisme lebih tinggi daripada orang lain. Secara semula jadi, mungkin anda juga memiliki nafsu makan kurang daripada orang lain.
Aktiviti fizikal yang kerap
Latihan dan aktiviti fizikal dapat mempengaruhi berat badan. Jika anda sering bergerak, ini bererti tubuh anda membakar lebih banyak kalori daripada orang yang lebih banyak duduk. Dalam erti kata lain, metabolisme anda lebih tinggi dan tubuh anda cenderung untuk lebih langsing.
Penyakit
Sakit dapat mempengaruhi nafsu makan serta kemampuan tubuh untuk mengelola makanan. Jika anda baharu saja kehilangan banyak berat badan tanpa diet atau olahraga, itu mungkin merupakan tanda adanya penyakit seperti masalah tiroid, diabetes, penyakit pencernaan atau barah. Pastikan anda berjumpa doktor untuk membincangkan tentang penurunan berat badan anda yang banyak dan mendadak.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan tertentu dapat menyebabkan mual dan muntah. Beberapa jenis rawatan seperti kemoterapi juga dapat mengurangkan nafsu makan.
Masalah psikologi
Faktor-faktor seperti stres dan depresi dapat mengganggu kebiasaan makan yang sihat. Rasa tidak percaya diri juga dapat menyebabkan gangguan makan. Jika anda menderita masalah emosional yang merosakkan kebiasaan makan yang sihat, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat pakar.
CARA TAMBAH BERAT BADAN
Sekadar menambahkan berat badan, sebenarnya tidaklah sesukar mana. Makan kentang goreng yang banyak ditambah dengan minuman manis setiap hari, dijamin berat badan anda akan bertambah dalam waktu yang singkat.
Tapi, tujuan anda bukanlah sekadar menjadi lebih gemuk. Apa yang penting, anda mencapai berat ideal dengan cara yang sihat. Ini lima cara sihat dan berkesan yang boleh anda amalkan untuk menambahkan berat badan.
Tambahkan kalori yang sihat
Tanpa harus mengubah pola makan secara radikal, anda dapat meningkatkan pengambilan kalori dengan menambahkan ekstra kacang-kacangan, susu penuh krim, avokado, telur atau gandum ke dalam menu harian anda.
Pilih makanan padat zat
Alih-alih makan junk food, apa kata anda fokuslah pada makanan yang kaya nutrisi seperti daging lembu rendah lemak, daging ayam tanpa kulit dan keju. Pilih sumber karbohidrat rendah seperti beras merah dan biji-bijian.
Waktu makan
Ada baiknya anda makan di antara waktu sarapan dengan makan tengah hari dan antara makan tengah hari dengan makan malam. Pilih makanan yang mengandungi banyak protein dan karbohidrat sihat seperti protein bar, kacang rebus atau minum milk shake buatan anda sendiri.
Makan dalam bahagian kecil
Jika anda sedang berjuang untuk mengatasi masalah emosi, makan dalam bahagian biasa atau jumlah besar mungkin sukar untuk dilakukan. Pertimbangkan makan dalam jumlah kecil tapi lebih kerap untuk meningkatkan pengambilan kalori anda.
Senaman beban
Latihan aerobik dapat membantu dalam membakar kalori dan menurunkan berat badan. Sebaliknya, latihan beban dan yoga pula dapat membantu menaikkan berat dengan cara membangunkan otot-otot anda. Hasilnya, tubuh anda akan menjadi lebih mantap dan berisi. Sebelum memulakan program menaikkan berat badan, pastikan anda mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.
Tubuh yang kurus mungkin bererti ada masalah kesihatan yang tidak boleh dibetulkan oleh perubahan pola makan. Doktor boleh membantu anda untuk program “menjadi lebih gemuk”.