Setiap pasangan yang berkahwin mahukan keberkatan dalam perkahwinan. Barulah kehidupan sentiasa dilindungi dan barakah dalam rumahtangga yang dibina.
Barakah menjadi kunci kejayaan bagi sebuah rumahtangga hingga semua yang berada di dalam bahteranya menghuni surga. Bahagia bersama. Kekal di dalamnya.
Tiada siapa pun yang mengetahui, apakah perkahwinan anda diberkati atau tidak.
Kunci Utama
Niat. Untuk apa berkahwin? Sudah mantapkah persiapan diri? Bagaimana menentukan calon?
Bagaimana proses dalam perkenalan, pernikahan, hingga proses setelah akad nikah.
Berkahwinlah kerana Allah Ta’ala. Menikahlah dengan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam. Nampak mudah secara teorinya, tetapi cabarannya adalah pada pelaksanaanya.
Jika anda telah pun berkahwin sekarang, dan sebelumnya telah ‘tersalah niat’ di awalnya, jangan putus asa. Bertaubatlah.
Kembalilah ke jalan Allah Ta’ala dengan sebenar-benarnya taubat. Hanya dengan itu keberkahan akan muncul perlahan-lahan kerana iman yang diperbarui.
Proses
Dimanakah anda mencari calon pasangan anda? Apakah anda mencari calon isteri atau suami di tempat hiburan?
Apakah pertama kali mengenal calon pasangan di pusat beli belah? Apakah bertemu setelah di’matchmaking‘kan oleh pihak ketiga yang dipercayai agamanya?
Apakah pertama jumpa dengannya di masjid dalam program pengajian agama, majlis zikir, atau i’tikaf Ramadhan?
Setelah pertemuan pertama, apa yang anda lakukan? Apakah bergegas mendatangi wali atau ibu bapanya dan untuk mengetahui latarbelakang calon, atau mencuba terus menghampiri calon kerana sudah tak kuat menahan perasaan?
Apakah setelah tertarik dengan calon pada perjumpaan pertama itu, dan anda mendapati diri belum mampu berkahwin, bagaimana kesungguhan anda untuk memperbaiki diri hingga layak berkahwin dengannya?
Apakah anda benar-benar memohon doa kepada Allah agar dipermudahkan urusan pernikahan dengannya atas nama cinta kepada-Nya?
Jangan sampai, sentuhan pertama di saat pertama kali bersalaman selepas akad nikah seperti tiada apa kerana sudah terbiasa berpegangan tangan, berpelukan sebelum pernikahan lagi.
Sentuhan, berpegangan tangan, berkucupan malah yang lebih teruk, melakukan hubungan seks telah pun menjadi kebiasaan. Kejutan dan nikmat syurga yang diawalkan itu sudah pernah dilakukan sebelum akad.
Jadi bagaimana mungkin adanya barakah dalam pernikahan yang dicemari dengan perkara sebegini? Proses yang dicemari maksiat dan dosa.
Ingatlah, Allah tidak hanya menilai hasil. Dia Maha Adil. Dia menilai proses. Allah melihat kesungguhan.
Setiap usaha kita; sama ada untuk mempercepatkan hubungan halal itu, ataupun mujahadahnya melawan nafsu untuk menjauhi langkah-langkah ke arah zina, pasti diberi balasan sesuai oleh Allah.
Amatlah sukar menggapai barakah, jika prosesnya saja sudah rosak.
Apalagi berlama-lama menjalin hubungan tanpa status yang jelas, berkali-kali jalan berduaan, saling berbalas mesej melalui whatsapp tanpa keperluan yang jelas dan beralasan saat diingatkan agar menjaga hubungan tersebut.
“Biarkanlah kami. Bukannya kami buat apa pun. Allah Maha Mengetahui apa yang kami buat.”
Akad Nikah dan Walimah
Cuba tanyakan kepada diri sendiri, saat anda menjadi tetamu kepada sebuah walimah perkahwinan seorang sahabat, adakah anda telah mendoakan agar keberkatan melimpahi bahtera perkahwinan sahabat itu?
Sekarang, bayangkan anda pula adalah pengantin pada walimah di hari bahagia tersebut, adakah tetamu anda mendoakan keberkatan buat anda dan pasangan di dalam majlis tersebut.
Bagaimana memastikan jumlah mereka yang mendoakan anda itu bukanlah sekadar beberapa orang daripada ratusan malah ribuan tetamu jemputan?
Padahal, doa barakah itu yang paling utama. Doa-doa itulah yang menjadi salah satu sebab disyariatkannya walimah dan anjuran untuk menghadirinya.
Itu tidak ditambah lagi dengan hiburan yang melalaikan semasa majlis walimah. Bukanlah tidak dibenarkan langsung sedikit hiburan untuk menceriakan majlis, tetapi bagaimana pengerusi majlis walimah ataupun DJ mengawal keadaan agar tidak menyalahi syarak dalam berhibur.
Di sinilah peranan DJ majlis walimah, untuk sentiasa mengingatkan tetamu untuk memperbanyakkan doa untuk pasangan yang baru bernikah.
Kan lebih baik berbanding celoteh yang tidak mempunyai isi yang sia-sia.
Jika sedemikian yang berlaku, dimana letaknya barakah?
Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita. Semoga Allah memberkati pernikahan dan rumahtangga kita.
Sumber:quranicgen.com