Solat itu tiang agama. Solat juga merupakan amalan pertama yang akan dihisab akhirat kelak. Jika amalan solat kita di jaga, maka baik lah seluruh amalan kita. Sudah tentu solat fardu adalah wajib bagi umat Islam. Namun, entri kali ini ingin mengupas dan berkongsi sedikit sebanyak tentang solat sunat dan apa kelebihan dan fadhilatnya. Solat sunat itu mempunyai keistimewaan yang tersendiri, termasuklah ganjaran dan hikmah bagi siapa yang mengerjakannya. Moga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.
1 Solat Sunat Dhuha
Bangun pagi adalah perkara yang paling sukar bagi sesetengah hamba Allah di dunia ini. Namun ketahuilah bahawa barang siapa yang tidak tidur selepas menunaikan solat fardu Subuh, Allah akan bukakan pintu rezeki buat mereka. Allahuakbar! Di tambah pula dengan menunaikan solat sunat Dhuha, insyaAllah pintu rezeki akan terbuka luas buat anda dan banyak fadilatnya. Solat sunat Dhuha boleh dilakukan selepas matahari sudah naik tinggi dan berakhir ketika tergelincir matahari iaitu setelah masuk waktu Zuhur.
Rasullullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud,
“Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan” dan “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya, nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih di lautan” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
2 Solat Sunat Sebelum Subuh
Ramai yang terlepas pandang tentang kelebihan menunaikan solat sunat sebelum Subuh. Sama seperti solat sunat rawatib, solat sunat sebelum Subuh boleh ditunaikan dengan 2 rakaat. Solat sunat 2 rakaat sebelum solat Subuh itu boleh dilakukan secara ringkas, dengan membaca surau-surah yang pendek tetapi dijaga ketertiban dan tamakninah dalam setiap rukun. Berdasarkan Hadis Muslim (Kitab solat) meriwayatkan Rasulullah S.A.W menunaikan solat sunat sebelum Subuh dengan membaca Surah Al-Kafirun pada rakaat pertama, dan membaca surah Al-Ikhlas pada rakaat kedua.
Diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan sanadnya daripada Saiyidatina Aishah r.a., isteri Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud:
“Solat dua rakaat (sebelum) Solat Subuh itu lebih baik daripada dunia dan segala isi buminya”.
3 Solat Sunat Isyraq
Selain solat sunat Dhuha, solat sunat Isyraq juga boleh ditunaikan pada waktu pagi, iaitu selepas waktu Syuruk, anggaran 12 minit setelah terbit matahari. Tempoh masa setelah terbit matahari diberikan agar ia tidak menyamai orang yang menyembah matahari. Waktu ini juga adalah haram untuk melakukan sebarang solat kerana tanduk syaitan berada di antara matahari. Tempoh masa solat sunat Isyraq adalah sangat singkat iaitu 15 minit sahaja (12 minit – 27 minit setelah Syuruk), bersamaan sehingga masuk waktu Dhuha. Solat sunat Isyraq juga ditunaikan sebagai tanda syukur kepada Allah kerana menganugerahkan pada hambanya satu hari lagi untuk mengecapi alam ini walaupun dalam hari-hari berlalu kita banyak melakukan dosa.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna.” (Hadis Riwayat, At-Tirmidzi r.a.)
4 Solat Sunat Istikharah
Solat sunat Istikharah ditunaikan untuk meminta petunjuk dan pilihan terbaik daripada Allah. Jadikan Allah sebagai tempat berbincang dan tempat mengadu. Solat sunat Istikharah menggambarkan kebergantungan hati seorang hamba dengan Tuhannya. Namun begitu, ada yang memahami, bahawa dengan menunaikan so lat sunat Istikharah , maka jawapan paling tepat adalah melalui mimpi. Tidak semestinya, Istikharah adalah penyerahan hati seorang hamba terhadap segala ketentuan Tuhan. Solat sunat Istikharah dilakukan setelah usaha secara optimum terhadap perkara yang ingin kita lakukan. Besar fadilat solat sunat istikharah ini. Hidup pastinya diberkati Allah dan insyaAllah dipermudahkan segala urusan.
Daripada Imam Bukhari, mafhum Hadis: Dari Jabir R.A:
“Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat…’’
sumber : https://www.sitikhadijah.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI