Bakal Pengantin Boleh Tarik Nafas Lega, Harga Rumah Dijangkakan Semakin Turun Menjelang 2021

Share

Harga hartanah kediaman dijangka akan terus susut dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang berikutan lambakan unit rumah tidak terjual di Malaysia yang kini mencecah nilai sebanyak RM29.47 bilion.

Pengarah Penyelidikan dan Perancangan Strategik di Rahim & Co International, Sulaiman Saheh, berkata trend penyusutan itu dijangka berterusan sehingga 2021 sehingga pasaran kembali pulih dengan peningkatan kadar pembelian rumah.

“Trend penurunan harga rumah bermula sejak 2016 pada kadar satu hingga lima peratus bergantung kepada faktor lokasi serta nilai hartanah di kawasan itu.

“Harga rumah terus merosot disebabkan kadar pembelian yang kurang, dipengaruhi beberapa faktor antaranya ketidakmampuan kewangan pembeli, kesukaran mendapatkan pinjaman dan kelemahan elemen nilai tambah hartanah terbabit seperti kekurangan kemudahan pengangkutan dan jaringan lebuh raya yang baik,” katanya pada taklimat media liputan pasaran hartanah Malaysia oleh Rahim&Co International Sdn Bhd dan tinjauan prospek 2019, di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan syarikat perunding hartanah itu, terdapat 149,889 transaksi bernilai RM67.74 bilion dicatatkan pada separuh pertama 2018.

Melihat kepada tiga tahun sebelum, trend penurunan sudah menyusut dengan ketara sejak tempoh separuh pertama 2015/separuh pertama 2016 di mana peratusan penurunan adalah setinggi 12 hingga 16 peratus bagi bilangan dan nilai transaksi.

Laporan itu menyatakan, ia menunjukkan petanda baik bagi 2019 dan ia dijangka dapat menghasilkan pergerakan positif walaupun tidak ketara.

Bagi suku ketiga 2018, pergerakan bertambah perlahan dilihat dengan bilangan transaksi mengalami penurunan kepada -0.3 peratus, manakala nilai kepada -1.4 peratus.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata pasaran hartanah pada tahun ini dijangka masih mendatar tetapi mempunyai harapan berterusan ke arah pemulihan.

Beliau berkata, pasaran dijangka akan pulih dengan adanya pengenalan dasar dan insentif baharu yang menyasarkan kepada pasaran hartanah seperti Dasar Perumahan Negara (DRN) 2.0 dan platform pendanaan awam hartanah (property crowdfunding).

“Secara keseluruhan, tindak balas bercampur dilihat dalam pasaran hartanah Malaysia mencerminkan pasaran berada dalam fasa penyesuaiannya dengan persekitaran ekonomi dan politik semasa.

“Justeru, secara kolektif, kesinambungan kepada sentimen tunggu dan lihat serta kesukaran berterusan pembeli bagi mendapatkan pinjaman perumahan menyumbang kepada kemerosotan pasaran dan kenaikan tahap inventori,” katanya.

SUMBER : BERITA HARIAN

Published by
Kim