Bakal Pengantin Jangan Diet Keterlaluan, Nanti Boleh Menyebabkan Haid Tidak Teratur

Share

Kitaran haid wanita tidak selalunya berjalan dengan lancar. Sesetengahnya mempunyai tempoh yang tepat mengikut jadual setiap 28 hari, sesetengah wanita lagi haid mereka agak sukar diramal.

Sekurang-kurangnya 30 peratus wanita mengalami haid yang tidak teratur semasa usia reproduktif. Walaupun kebanyakan kitaran yang tidak teratur biasanya tidak mendatangkan masalah, tetapi ia kadang-kadang memberikan isyarat yang anda mungkin menghadapi masalah kesihatan.

Apakah yang dimaksudkan dengan haid tidak teratur ?
Satu kitaran haid yang normal berkitar di antara 21- 35 hari. Aliran haid dianggap tidak teratur jika ia berlaku lebih cepat dari 21 hari atau lebih lama dari 35 hari. Sekiranya terlewat berbulan bulan atau haid berlaku 2 kali sebulan ia dianggap tidak teratur.

Untuk menentukan sama ada haid anda teratur atau tidak, kira dari hari pertama haid anda sehingga hari pertama haid yang seterusnya. Ulang pengiraan ini untuk tiga bulan. Jika tarikh haid anda sangat berbeza dan tidak jatuh dalam lingkungan 21-35 hari, anda mengalami haid tidak teratur.

Punca Haid tidak teratur
Dalam banyak kes, haid yang tidak teratur adalah berkaitan dengan keadaan yang dipanggil anovulation atau tidak bertelur dan ia selalunya berkait dengan ketidakseimbangan hormon.

Haid tidak teratur di kalangan gadis belasan tahun sangat kerap terjadi. Selalunya disebabkan tahap hormon yang tidak stabil. Biasanya ia akan beransur pulih secara semulajadi walaupun mungkin memakan masa bertahun-tahun.

Haid juga boleh menjadi sangat tidak teratur di lewat usia reproduktif anda. Ramai wanita sedar bahawa mereka menghampiri menopos apabila haid mereka menjadi tidak seimbang. Apabila haid tidak datang selama 12 bulan berturut, anda dikatakan sudah menopos.

Hamil dan keguguran pula kerap menjadi penyebab kepada haid yang tidak teratur terutama sekiranya anda dalam lingkungan usia 20-40an. Pastikan dahulu anda tidak hamil dengan menjalani ujian kehamilan sebelum bergegas ke klinik doktor anda.

Faktor-Faktor lain

SENAMAN ATAU BERDIET KETERLALUAN.
Terlalu banyak bersenam boleh menyebabkan haid menjadi tidak teratur atau ia berhenti terus. Ini kerap berlaku pada ahli sukan yang berbadan kurus dan tidak berlemak. Kehilangan berat badan yang keterlaluan dari diet yang melampau boleh memberi kesan yang sama.

TEKANAN.
Tekanan perasaan yang kronik atau kebimbangan luar biasa tentang masalah tertentu boleh menyebabkan hormon anda tidak stabil seterusnya kitaran haid yang tidak teratur.

TEKANAN FIZIKAL.
Sekiranya anda baru pulih dari penyakit yang berat atau mengalami pembedahan, kitaran haid anda mungkin terjejas tetapi ia tidak memakan masa yang lama.

KAEDAH MERANCANG KELUARGA BERHORMON
Seperti Pil Perancang, Implanon atau Depo-provera boleh membuat tempoh haid anda menjadi singkat, berlaku sekali sekala atau tiada langsung untuk berbulan-bulan lamanya. Intrauterine Contraceptive Device (IUD) atau alat dalam rahim juga boleh menyebabkan haid tidak teratur.

POLYCYSTIC OVARIAN SYNDROME (PCOS).
Sindrom ovari Polisistik iaitu satu masalah perubatan yang menyebabkan sista kecil pada ovari dan mengganggu ovulasi anda. Wanita dengan PCOS biasanya mempunyai sejarah haid yang tidak teratur selama bertahun-tahun. Selain dari sukar hamil disebabkan tidak bertelur, PCOS boleh meningkatkan risiko penyakit kencing manis dan jantung.

MASALAH KETUMBUHAN DALAM RAHIM.
Fibroid rahim, polip dan endometriosis kerap dikaitkan dengan haid tidak teratur.

MASALAH PERUBATAN.
Gangguan tiroid boleh menyebabkan haid yang tidak teratur jika tahap darah hormon tiroid terlalu rendah atau terlalu tinggi. Keadaan kesihatan lain yang boleh menyebabkan kitaran yang tidak teratur termasuk penyakit buah pinggang, penyakit kencing manis dan masalah prolaktinemia.

MENYUSU BADAN.
Mereka yang menyusukan badan kerap mengalami haid yang tidak teratur tetapi haid anda akan pulih dengan sendiri sekiranya anda berhenti menyusu.

Jumpa Doktor Anda
Haid tidak teratur boleh menjadi petunjuk pertama bahawa anda mungkin mengalami masalah perubatan. Sekiranya anda mempunyai berat berlebihan dan haid yang tidak teratur bertahun-tahun lamanya anda mungkin mengalami PCOS. Kajian mendapati 10 peratus daripada wanita dalam usia reproduktif mengalami PCOS.

Anda juga perlu disaring untuk mengesan gangguan tiroid, prolaktin dan penyakit lain yang boleh dikaitkan dengan haid yang tidak teratur.

Kitaran haid yang tidak teratur juga boleh menyebabkan anda sukar hamil kerana anda tidak bertelur (ovulasi) secara semula jadi. Ujian ultrasound dan darah boleh memberikan diagnosa yang tepat terhadap masalah ini.

Rawatan Haid tidak teratur
Rawatan bergantung kepada punca kenapa haid anda tidak teratur. Jadi amat penting untuk anda berjumpa dengan doktor agar rawatan yang tepat dapat diberikan.

 

SUMBER : alamhamilblog.com

OLEH : Dr R Juhaidah adalah Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Columbia Asia Puchong dan mempunyai 17 tahun pengalaman sebagai Pakar.

Published by
webadmin