Kesihatan adalah harta paling berharga yang perlu kita pelihara. Dalam situasi pandemik yang semakin menekan, ramai yang hilang pertimbangan sehingga mengabaikan kesihatan diri. Ada juga bakal pengantin yang terlalu stres dek kerana hilang pekerjaan dan pada masa sama, desakan untuk meneruskan majlis perkahwinan datang dari pihak keluarga pasangan.
Tekanan darah tinggi adalah di antara penyakit yang termasuk dalam senarai penyakit kronik. Ada yang mendapat tekanan darah tinggi ketika masih muda tetapi biasanya ia diserang golongan yang lebih berusia.
Seperti perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad di Facebooknya, ini info mengenai penyakit darah tinggi yang perlu anda ambil tahu.
TEKANAN DARAH TINGGI
Darah tinggi atau nama lainnya hipertensi ialah suatu kondisi dimana tekanan darah pesakit adalah lebih dari normal iaitu lebih dari 140 mmHg untuk sistolik dan lebih 80 mmHg untuk diastolik. Diagnosis dibuat apabila doktor mendapati bacaan tekanan darah tinggi dan lebih dari 2 kali bacaan pada 2 masa yang berbeza.
.
Walau bagaimanapun, tekanan darah mungkin berbeza mengikut umur pesakit. Secara praktikalnya, bacaan tekanan darah normal mengikut umur adalah berbeza dan bagi pesakit yang berumur 60 tahun ke bawah ialah tidak melebihi 140/80 mmHg dan bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas, bacaan yang normal tidak sepatutnya melebihi 150/90 mmHg. Bacaan tekanan darah perlu dibuat semasa pesakit dalam keadaan tenang dan bukan dibuat ketika pesakit sedang sakit seperti sedang mengalami sakit kepala, sakit gigi, selepas bersukan dan sebagainya.
FAKTOR-FAKTOR
1. Umur: Apabila umur meningkat, tekanan darah juga akan meningkat kerana saluran darah menjadi lebih keras dan sempit disebabkan oleh plak yang tersumbat dari semasa ke semasa.
2. Saiz dan berat badan: Semakin besar atau berat seseorang, semakin banyak kuantiti atau kandungan darah dalam badan dan semakin tinggi tekanan darah.
3. Jantina: Lelaki lebih terdedah untuk mendapatkan masalah ini pada usia muda berbanding wanita yang lebih terdedah untuk mendapatkannya pada usia yang lebih tua.
4. Masalah kesihatan yang sedia ada: Masalah kesihatan seperti masalah buah pinggang, kencing manis dan masalah tidur “sleep apnea” juga boleh meningkatkan tekanan darah.
5. Kekurangan aktiviti fizikal: Mereka yang kekurangan aktiviti fizikal selalunya memiliki kadar denyutan jantung yang lebih tinggi dan hal ini mengakitbatkan jantung bekerja dengan lebih keras dan memberikan tekanan yang tinggi kepada saluran darah dan juga tekanan darah itu sendiri.
6. Pemakanan yang tinggi kandungan garam, kolesterol, dan makanan yang diproses.
7. Makan makanan yang rendah kandungan potasium: Terlalu rendah potasium dalam darah menyebabkan kandungan sodium meningkat dan hal ini boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi.
8. Sejarah keluarga: Tekanan darah tinggi merupakan penyakit keturunan dimana apabila ada ahli keluarga yang menghidapinya, risiko untuk ahli keluarganya memiliki masalah yang sama juga meningkat.
9. Merokok: Kandungan tembakau di dalam rokok bukan sekadar boleh menaikkan tekanan darah malah bahan kimia di dalam rokok tersebut boleh merosakkan lapisan di saluran darah dan menyebabkan saluran menjadi sempit dan meningkatkan risiko untuk mendapat sakit jantung.
SIMPTOM DAN GEJALA DARAH TINGGI
Kebanyakkan mereka yang menghidapi penyakit darah tinggi tidak mempunyai sebarang simptom atau gejala walaupun tekanan darah telah mencecah bacaan yang merbahaya. Walaubagaimanapun, terdapat sesetengah individu yang mengalami sakit kepala, sesak nafas atau pendarahan di hidung akibat daripada masalah tersebut. Gejala ini tidak spesifik dan mungkin terdapat hanya pada individu yang tertentu sahaja dan selalunya tidak berlaku selagi tekanan darah tidak mencapai bacaan atau tahap yang teruk.
KOMPLIKASI DAN KESAN TEKANAN DARAH TINGGI Kesan jangka panjang tekanan darah tinggi boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi yang disebabkan oleh ruang salur darah menjadi lebih sempit akibat daripada pembentukan plak (atherosclerosis). Hal ini juga mengakibatkan tekanan darah menjadi lebih teruk kerana jantung perlu mengepam darah dengan lebih kuat. Antara komplikasi tekanan darah tinggi ialah:
1. Serangan jantung dan strok: Kerana salur darah menjadi sempit akibat daripada kesan jangka masa panjang darah tinggi, kuantiti darah dan oksigen yang sampai ke organ jantung atau otak menjadi terhad. Hal ini akan mengakibatkan kematian sel-sel otak atau jantung dan menyebabkan kegagalan jantung dan otak untuk berfungsi dengan baik.
2. Aneurisme: Apabila tekanan darah meningkat, ia boleh menyebabkan saluran darah menjadi lemah dan mengelembung membentuk aneurisme. Jika aneurisme pecah, ia boleh mengakibatkan kematian akibat daripada pendarahan yang teruk.
3. Kegagalan jantung: Untuk mengepam darah ke seluruh badan melalui saluran yang sempit, jantung perlu melakukannya dengan kuat dan dalam jangka masa yang panjang jantung akan menjadi bengkak dan gagal berfungsi dengan baik.
4. Kegagalan buah pinggang.
5. Rabun atau masalah penglihatan.
6. Masalah memori dan dimensia
Apabila saluran darah ke organ menjadi sempit dan kurang efektif akibat daripada masalah darah tinggi, ianya akan mengakibatkan kegagalan organ tersebut untuk berfungsi dengan baik.
RAWATAN
Ubat-ubatan yang selalu digunakan untuk menurunkan tekanan darah ialah penghalang beta “beta-blocker”, perencat ACE (ACE inhibitors), diuretik, penghalang reseptor angiotensin 2 (Angiotensin 2 receptor blocker), dan penghalang saluran kalsium (calcium channel blockers). Doktor akan memberi preskripsi dan memilih ubat mengikut keadaan semasa pesakit kerana kesemua ubat mempunyai fungsi dan kesan sampingan yang tersendiri dan tidak boleh diguna pakai oleh orang lain.
Secara amnya, tiada makanan atau ubat-ubatan yang mampu menyembuhkan penyakit darah tinggi sepenuhnya. Walaupun risiko untuk mendapatkan penyakit darah tinggi meningkat akibat daripada faktor-faktor yang tidak boleh dielakkan, namun tekanan darah tinggi boleh dikawal melalui penggunaan ubat yang betul dan berdisiplin. Kesan dan komplikasi akibat daripada permasalahan ini juga boleh dikawal dan dielakkan jika pesakit mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat.
PENCEGAHAN
Beberapa amalan yang boleh dibuat untuk mengurangkan tekanan darah ataupun mengelakkan tekanan darah tinggi adalah:
1. Kekal berat badan ideal. Jika anda berlebihan berat badan, anda perlu berusaha untuk menurunkan berat badan anda sehinggalah ia masuk ke dalam kategori berat badan yang normal.
2. Kurangkan pengambilan makanan yang mempunyai garam dan berlemak.
3. Lakukan senaman 3 kali/minggu.
4. Berhenti merokok. Nikotin dalam rokok boleh meningkatkan tekanan darah. Malah bahan di dalam rokok akan mempercepatkan pesakit hipertensi untuk mengalami komplikasi.
5. Elakkan penyalahgunaan dadah.
6. Kurangkan pengambilan makanan yang manis. Kerana ia boleh meningkatkan berat badan anda.
Kesihatan itu mahal harganya. Janganlah diabaikan penjagaan kesihatan anda kerana ini adalah amanah yang diberikan Allah Taala untuk kita pelihara.