Bakal Pengantin Kerap Bersin, Resdung Anda Perlu Dirawat Sebelum Majlis Anda Tiba

Share

Resdung adalah radang pada lapisan membran meliputi dinding ruang sinus.

Ia berpunca daripada jangkitan kuman atau virus, alergi atau kelemahan sistem imun badan seseorang.

“Keadaan ini menyebabkan pesakit resdung menjadi lebih sensitif kepada persekitaran seperti habuk, bulu binatang, perubahan cuaca terutama sejuk, pencemaran alam sekitar dan jangkitan bakteria atau virus.

“Apabila ini berlaku penghidap resdung akan mengalami gejala selesema seperti hidung tersumbat, rasa sakit pada pipi, sekitar mata dan kepala. Ini banyak berlaku terutama waktu pagi,” katanya.

Walaupun gejala ini tidak mendatangkan masalah serius tetapi ia memberi kesan kepada gaya hidup dan keyakinan diri seseorang.

Bayangkan apabila selesema berlanjutan tanpa mengira waktu. Sudah tentu ia mengganggu rutin harian di pejabat. Cecair kerap mengalir menerusi hidung, mata menjadi merah dan telinga berasa gatal.

Rawatan

Resdung boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan seperti antibiotik, antihistamin atau ubat analgesik bagi mengurangkan radangan. Selain meminimumkan alahan, ubat-ubatan ini berfungsi untuk membuka ostia (ruang) tersumbat.

Kebanyakan sinus dapat diredakan dengan rawatan menerusi antibiotik yang berfungsi untuk membunuh kuman yang sedang membiak.

Sebaliknya, jika tidak dapat dirawat dengan ubat-ubatan, pesakit perlulah dirujuk kepada pakar.

Menurutnya, pakar ENT akan menggunakan endoskop dan meletakkan ubat-ubatan di pintu ostia terus masuk ke rongga hidung untuk membuka ostia ini.

Bagaimanapun, sekiranya prosedur ini tidak berjaya, doktor terpaksa melakukan pembedahan kecil iaitu dengan menusuk jarum masuk ke dalam rongga sinus maksila dan menyembur air untuk mengeluar dan membasuh rongga sinus. Melalui kaedah ini, ia dapat melegakan sakit yang dialami serta-merta dalam tempoh 24 jam.

Selain itu kaedah terbaru dalam rawatan sinus menerusi pembedahan yang dikenali sebagai pembedahan endoskopi sinus untuk membesarkan pintu ostia.

Menerusi kaedah ini, doktor dapat melihat lebih dekat pintu ostia dan faktor penyebab resdung. Ini kerana punca-punca inilah yang menyebabkan ostia tersumbat. Kaedah pembedahan ini bukan saja dapat membuka ostia menjadi lebih besar, malah ia dapat membesarkan pintu ini supaya ia tidak tersumbat lagi.

Jika tidak dirawat resdung akan memberi kesan serius kepada penghidap sama ada kanak-kanak atau dewasa.

Antaranya boleh merebak ke dalam mata hingga menyebabkan jangkitan bakteria dan mata bernanah. Dalam kes sangat kronik, resdung boleh menyebabkan buta.

Published by
Kim