Disebabkan COVID-19 yang membawa kepada penutupan sekolah, pejabat, kedai dan sebagainya, secara tidak langsung memberi kesan besar kepada pendapatan isi rumah.
Suami atau isteri mungkin dipotong gaji, jadi pendapatan berkurang. Paling terkesan jika pekerja yang menerima gaji harian dan tidak mempunyai simpanan. Bantuan daripada kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) memang ada tetapi sejauh mana kita dapat berjimat cermat dengan wang yang kita ada sekarang?
.
Jom kami kongsikan 5 Tips Jimat Wang Semasa Perintah Kawalan Pergerakan
1. Beli Barang Keperluan Sahaja
Pada masa sekarang, perkara paling utama dan penting adalah makanan dan minuman. Fokus pada keperluan bukannya kehendak diri.
Beras, ikan, sayur, ayam, gula, tepung, susu, lampin anak dan senarainya anda sendiri tahu. Itu paling mustahak. Anda tidak bekerja, wang adalah terhad. Dengan membeli barangan keperluan ini, terjamin kelangsungan hidup untuk tempoh yang lebih panjang.
2. Beli dalam Kuantiti Borong atau Banyak
Satu keluarga hanya seorang sahaja dibenarkan keluar. Kita tiada pilihan jika ingin benar-benar hidup normal seperti sebelum ini. Jadi, peluang yang ada ini perlu digunakan sebaiknya.
Buat senarai barangan keperluan dan beli secara borong, pukal atau dalam kuantiti yang banyak. Harganya jauh lebih murah. Jika orang tanya, kenapa beli banyak-banyak, membazir sahaja? Jangan bimbang, benda anda beli akan digunakan juga sebab tahan lama. Bukannya semua barang perlu beli banyak seperti Roti Gardenia yang boleh tahan 3 – 4 hari sahaja.
Contohnya, pada kebiasaan anda membeli susu formula anak hanya sekotak. Kini, mungkin boleh beli 3 kotak pada harga yang lebih jimat (harga sekotak). Atau mungkin beli ubat gigi 2 kotak pada harga jimat RM2 atau RM3 ringgit. Atau cari barangan yang dipakej seperti:
Beli 2 percuma 1
Beli sekotak dan percuma 300g
Beli 3 dan jimat 50% pada item berikutnya.
Motifnya, selagi anda dapat harga murah, teruskan. Harga murah dapat jimat wang anda.
3. Henti Beli Barangan Tidak Berfaedah
Sebab itu pentingnya senarai barangan ketika membeli-belah. Ia supaya kita berdisplin dan tidak mudah beli barang yang tidak perlu. Barang tidak perlu ini ada kalanya tidak berfaedah langsung kepada keluarga.
Contoh paling mudah adalah barangan mainan anak-anak, gula-gula dan makanan segera. Bukan tidak boleh tetapi tempoh PKP sekarang kurang sesuai. Utamakan yang perlu dan bermanfaat kepada keluarga.
Duit yang ada bukan sentiasa bertambah tetapi sebaliknya berkurang setiap kali anda membuat pembelian. Jika membeli barangan tidak berfaedah, anda sebenarnya ‘membuang’ duit dan merugikan keluarga sendiri.
4. Henti Beli Barang Kehendak
Sudah nama manusia, jadi barangan kehendak ini perlu ada untuk memenuhi nafsu diri. Untuk tips berjimat musim COVID-19, barangan kehendak adalah perkara utama perlu dijauhi.
Anda sendiri boleh berfikir yang mana satu barangan keperluan dan kehendak, bukan?
Contoh barangan kehendak adalah pakaian mahal, sport rim kereta, handphone mahal dan sebagainya. Sudahlah tiada duit, berbelanja pula pada barang sebegini. Sangat tidak sihat untuk kewangan keluarga. Hentikan dahulu buat masa sekarang.
5. Jangan Malu Mohon Bantuan
Waktu sekarang bukan masanya malu tak bertempat. Jika tidak cukup keperluan, mohon bantuan. Ada banyak organisasi dan individu berhati mulia akan tampil memberi sumbangan.
Ada sumbangan barangan keperluan, duit dan sebagainya. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan kita. Kita perlu fikirkan anak isteri di rumah yang kelaparan jika tiada apa-apa tindakan dari ayah di rumah.
Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Maksud: Cita-cita tanpa usaha tidak akan tercapai.
Jika buat carian di internet, anda akan jumpa banyak penderma dan pertubuhan sedia memberi bantuan kepada sesiapa sahaja. Asalnya anda tampil memohon. Mereka mungkin terlepas pandang anda kerana terlalu banyak keluarga yang perlu dibantu tetapi tindakan anda boleh memberi kesenangan kepada keluarga.