Sembelit berlaku apabila seseorang itu mengalami kesukaran untuk membuang air besar dan mempunyai tekstur najis yang sangat keras. Sekiranya lebih tiga hari dalam seminggu tidak membuang air besar, bermakna seseorang individu itu sedang berdepan dengan masalah sembelit.
Masalah sembelit tidak boleh dibiarkan tetapi perlu dirawat kerana gangguan itu menjejaskan kesihatan dan mengganggu aktiviti seharian. Jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan ia boleh menyebabkan buasir.
Ada beberapa cara yang kita boleh lakukan untuk mengelakkan sembelit dan melawaskan pembuangan najis tanpa perlu makan ubat.
Berikut petua yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Niza Hamid. Petua yang beliau kongsikan hanya menggunakan bahan-bahan di dapur sahaja.
SUSU PANAS
Susu merangsang pergerakan usus dan membantu cepat sembuh sembelit.
Caranya:
Pagi ketika perut kosong, minum segelas susu panas. Jika anda tidak suka rasa susu, anda boleh menambah sedikit gula atau madu.
CUKA EPAL
Banyak manfaat cuka epal ini. Kalau boleh biar sentiasa ada di rumah. Cuka epal sangat cepat melegakan sembelit. Cuka epal juga membantu meningkatkan penghadaman selain mempunyai kesan positif terhadap kesihatan keseluruhan saluran gastrousus.
Caranya:
Campurkan dua sudu cuka epal dengan segelas air suam. Amalkan setiap kali sebelum makan. Boleh diamalkan sebelum sarapan, makan tengahari dan makan malam.
JUS LEMON
Jus lemon memang mampu melegakan sembelit. Lemon juga mudah untuk didapati.
Caranya:
Masukkan jus lemon secukupnya ke dalam segelas air suam. Lebih berkesan jika menggunakan air yang panas (tetapi jangan panaskan). Minuman campuran air dan lemon ini sangat berkesan menangani sembelit apabila diambil beberapa kali sehari.
AIR KOSONG
Ramai yang terlepas pandang. Kurang air adalah punca berlakunya sembelit dan penawarnya yang paling baik ialah banyakkan minum air masak. ‘Ubat’ mudah ini membantu bukan sahaja membantu melegakan masalah sembelit tetapi juga bagus untuk kesihatan.
Masyarakat di negara Jepun sangat memberi perhatian terhadap pengambilan air dalam kehidupan harian mereka. Mungkin ini adalah rahsia tubuh mereka yang sihat.
Caranya:
Minumlah setiap hari jumlah air yang disyorkan, 30 ml untuk setiap satu kg berat badan.
TIP MENCEGAH MASALAH SEMBELIT:
Makan pelbagai jenis makanan. Makan banyak kekacang, bijirin penuh, buahan segar dan sayuran.
*Lakukan senaman secara berkala.
*Jangan menahan untuk membuang air besar.
*Sekiranya tabiat membuang air besar anda berubah, dapatkan pemeriksaan doktor.
*Minum banyak air.
*Ketahuilah yang tabiat membuang air besar yang normal adalah berbeza mengikut individu.
Sumber: Niza Hamid dan myhealth.gov Kredit foto (top image): Pexels
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI