Setiap kali balik raya, pasti terselit kenangan paling mahal dengan keluarga tersayang. Yang adik beradik ramai dengan cara berhimpit dan yang sedikit mungkin beza pula ragamnya.
Bak kata Fazlia Ramli, semuanya akan bergerak selari dengan peredaran masa dan zaman. Jom baca perkongsiannya sejenak untuk mengimbau kenangan kita dulu-dulu.
Ingat lagi tak? Mungkin 30 tahun lepas, mungkin 50 tahun lepas. Bila balik raya, kita duduk berhimpit dengan adik beradik dalam kereta. Ayah bawa kereta balik kampung, ibu duduk dekat sebelah. Seronok kita masa tu.
Dah masuk kereta dalam beberapa minit perjalanan, ayah dah start pasang lagu dia. Semua lagu-lagu zaman dia yang konfem bukan jiwa kita.
Kejap artis ni kejap artis tu. Bapak aku dulu dia minat Muhamad Rafi, penyanyi hindustan lama. Sampai besar lah lagu dia aku terngiang dalam kepala otak.
Kita pun akur dengar lagu-lagu bapak kita pasang ni sampai tertidur. Tau-tau dah sampai kampung, tak sabar kita nak belari dekat rumah atuk nenek. Masa tetap bergerak, bawa kita ke dunia tua.
“Dulu kalau pergi mana-mana, mesti babah yang drivekan. Tapi hari ni kerusi driver tu dah bertukar orang. Dah bukan lagi babah..”
Ayat ni aku agak terkesan. Betul-betul mencucuk. Aku macam baru lepas kena renjis air dekat muka. Tiba-tiba tersedar.
Sambil bawa kereta pulang ke kampung, aku pandang sebelah tengok isteri aku tengah kendong anak kecik aku. Aku tengok cermin belakang ni, tengok anak-anak tengah tidur. Dulu macam tu lah aku berhimpit dengan adik beradik. Aku adik beradik 8 orang kot. Kira waktu tu 6 orang lah selalu berhimpit. Bergaduh tu biasa lah sebab mana boleh semua bersandar. Kena sorang kedepan, sorang kebelakang. Baru muat.
Tempat yang aku duduk sekarang ni tempat ayah aku dulu.
Termenung panjang. Tak perasan pun semua ni berubah.
Sekarang tak merasa lagi dah ayah kita drive kita bawa balik kampung. Tak rasa dah ibu kita pot pet pot pet suruh kemas-kemas barang nak balik beraya.
“Siapa nak kencing, pergi kencing dulu! Dah gerak kang takda nak berhenti-henti dah!”
“Bangde, pergi kunci gate tu. Lock! Kang pencuri masuk kang!”
“Apa bising-bising ni? Kan elok baca doa naik kenderaan. Baca lah doa apa-apa nak jalan jauh ni!”
Ayat ni pun popular. Tapi tinggal kenangan lah. Kita je lah akan gunakan balik ayat-ayat ni pada anak-anak kita.
Perasan tak?
Tahu-tahu hari ni semuanya dah berubah. Agaknya ayah kita pun terasa benda sama, dulu bila raya je, anak dah penuh dekat tempat duduk belakang kereta. Hari ni bila raya, kereta dah takda siapa. Berteman ibu je. Itu pun kena tunggu anak-anak balik.
Semua ni jadi tanpa kita sedar pun. Tahu-tahu je semua dah berubah. Anak-anak dah ada keluarga masing-masing. Dah jadi pemimpin keluarga dan dah jadi isteri-isteri pada suami diorang. Dah mula berkerjaya. Komitmen pun dah start banyak.
Esok-esok semua magik ni akan jadi pada kita pulak. Tunggu lah. Serius tak lama mana pun.
Tahu-tahu je anak dah besar-besar, masing-masing dah ada kereta sendiri, dah ada rumahtangga sendiri. Kita tak lagi jadi pemandu pada diorang. Diorang tak lagi dengar lagu-lagu evergreen kita sepanjang balik kampung bersama kita yang kita pasang kuat-kuat nak hilangkan mengantuk.
Nota: Semua yang lepas-lepas tinggal kenangan. Yang tak mungkin dapat diputarkan lagi. Hari ni, aku tengah ulang balik semua apa yang bapak aku lalu dulu. Lagu-lagu dia pasang dulu semua jadi lagu-lagu yang akan aku pasang sepanjang drive jauh balik kampung.
Cuma yang berbeza sikit satu je, dulu masa aku kecik-kecik, apa lagu bapak aku pasang aku kena dengar jugak sebab takda pilihan. Tapi anak-anak hari ni dah ada headset. Aku pasang lagu macam mana pun, telinga diorang dah di sumbat dengan headset. Dengar lagu genre diorang yang diorang pilih melalui handphone.